Masyarakat Islam di Malaysia memang peka terhadap isu halal-haram barangan dan perkhidmatan harian yang mereka gunakan. Akan tetapi dari segi ekonomi dan muamalat terutamanya yang berkaitan dengan pengeluaran barangan keperluan pengguna Muslim, pengetahuan kita sememangnya amat daif sekali.
Memang kita ada banyak akta yang melindungi pengguna seperti Akta Perihal Dagangan
1972 – Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan ‘Halal’) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975; Akta/Enakmen Syariah Wilayah-wilayah persekutuan – Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]; Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya. Akan tetapi akta-akta ini lebih berfungsi untuk melindungi pengguna daripada penipuan atau penyalahgunaan label dan logo halal oleh para pengusaha yang tidak bertanggungjawab.
Dengan kata lain, sebelum bermulanya alaf 2000, usaha untuk memajukan kemampuan konsep halal dari segi ekonomi tidak wujud dalam satu bentuk perancangan teratur dan tersusun.
Hanya pada 2 Oktober 2002, kabinet Malaysia telah memutuskan melantik Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) untuk menyelaras satu jawatankuasa bagi menjadikan Malaysia sebagai markaz untuk barangan halal.
Langkah tersebut dilihat sebagai satu langkah awal Malaysia untuk meneroka kemampuan pasaran barangan halal dunia. Sebelum ini, belum ada sebarang usaha secara bersungguh-sungguh di pihak kerajaan mahupun syarikat-syarikat milik orang Islam untuk memajukan kemampuan barangan halal.
Akan tetapi di pihak industri terutamanya syarikat-syarikat pengeluar makanan hatta penyedia perkhidmatan milik bukan bumiputera dan yang bertaraf multinasional yang rata-rata dimiliki oleh pemodal bukan Islam, mereka telah lama menyedari kemampuan ini.
Jumlah masyarakat Islam yang merupakan bilangan terbesar penduduk Malaysia selain barangan dan perkhidmatan halal ini turut digunakan oleh penduduk bukan Islam, mendorong pengusaha-pengusaha ini mengambil pendekatan sambil menyelam minum air.
Berdasarkan kepada maklumat permohonan syarikat untuk mendapatkan pensijilan dan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bilangan terbesar permohonan diterima daripada syarikat bukan bumiputera.
Ini dapat diperhatikan menerusi jadual berikut:
Maklumat Permohonan Syarikat Untuk Persijilan dan Logo Halal JAKIM
Kategori | Multinasional | Industri kecil dan sederhana | Industri kecil | Jumlah |
Bumiputera | 59 | 299 | 381 | 739 |
Bukan Bumiputera | 170 | 723 | 720 | 1613 |
Jumlah Besar | 229 | 1022 | 1101 | 2352 |
Sumber: http://www.halaljakim.gov.my/islamicbody.php
Berdasarkan kepada jadual di atas, secara keseluruhannya, 68.58% permohonan untuk pensijilan dan logo halal diterima daripada pengusaha bukan bumiputera. Hanya 31.42% syarikat bumiputera yang membuat permohonan yang sama. Begitu juga dari segi kategori syarikat, baik yang bertaraf multinasional; industri kecil dan sederhana; mahupun yang berskala kecil.
Walaupun maklumat yang terdapat pada lamam web JAKIM ini tidak menyatakan berapa jumlah bilangan syarikat bumiputera dan bukan bumiputera yang diluluskan permohonan mereka, ia secara tak langsung menggambarkan keadaan sebenar siapa yang menguasai pasaran halal di Malaysia.
Penguasaan bukan Islam dalam pengeluaran barangan halal ini bukan wujud dalam bentuk syarikat-syarikat sahaja, ia turut wujud dalam keadaan yang lebih besar lagi iaitu negara. Negara-negara bukan Islam mengambil kesempatan daripada jumlah umat Islam yang besar iaitu 1.48 billion orang atau 23.52% daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia untuk memasarkan barangan halal.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pasaran untuk barangan dan perkhidmatan halal dunia amat besar sekali. Malah dianggarkan jumlah pasaran antarabangsa untuk barangan makanan halal dan bukan makanan adalah bernilai RM7.98 trillion di mana untuk sektor makanan sahaja ia bernilai RM570 billion.
Ketika Malaysia baru berura-ura untuk menjadi markaz halal di rantau ini pada 2002, negara Australia telah maju kehadapan. Dalam satu kajian kes perniagaan yang dijalankan oleh AUS-MEAT Limited yang bertajuk Australia’s Halal Food Industry : Current and Potential Contribution to The Australian Economy’ (Industri Makanan Halal Australia: Sumbangan Semasa dan Potensinya Kepada Ekonomi Australia), ia telah melaporkan bahawa pada tahun 2002, Australia telah mengeksport makanan yang bernilai $3.7 billion ke negara-negara Islam. Daripada jumlah ini, lebih $330 juta merupakan nilai eksport daging lembu dan biri-biri dan lebih $1 billion merupakan eksport bahan tenusu.
Kerajaan Australia juga telah memperuntukkan sebanyak $120 juta untuk tempoh lima tahun bagi memastikan pertumbuhan industri makanan terutamanya untuk meningkatkan jumlah pasaran di negara-negara Islam.
Selain Australia jiran Malaysia iaitu Thailand turut tidak melepaskan peluang yang tersedia ini. Thailand yang jumlah terbesar penduduknya beragama Budhha dan hanya 14% penduduknya beragama Islam yang kebanyakannya tinggal di kawasan selatan yang sentiasa bergolak, tetapi di kalangan negara ASEAN, Thailand merupakan pengeksport terbesar makanan yang diproses ke Arab Saudi dengan nilai eksport pada 2002 berjumlah SR109.5 juta. Ini diikuti Malaysia dengan nilai eksport sebanyak SR31.3 juta dan Indonesia sebanyak SR23.6 juta.
Selain daripada Thailand negara-negara bukan Islam yang lain seperti Amerika Syarikat. Perancis, Jerman, Switzerland, New Zealand dan Belanda merupakan antara negara-negara pengeluar makanan utama dunia yang bergiat pesat di Arab Saudi. Begitu juga dengan Argentina dan Brazil yang turut serta meraih pasaran untuk keluaran daging segar di sana.
Apa yang jelas pengusaha-pengusaha bukan Islam telah maju begitu jauh ke hadapan dalam segi pengeluaran dan pemasaran barangan halal ini. Mereka terlebih dahulu membuat kajian kemungkinan pasaran berbanding orang Islam sendiri dan berdasarkan kepada kajian kemungkinan tersebut mereka melaksanakan langkah-langkah yang berkesan untuk menguasai pasaran yang ada di negara Islam.
Penulis merasakan punca utama kenapa umat Islam lebih selesa menjadi pengguna berbanding menjadi penjual atau pengeluar – sedangkan kita dituntut oleh agama untuk berusaha menghasilkan sendiri barangan keperluan harian – adalah disebabkan sikap kita yang suka berkerja dengan majikan (makan gaji) berbanding bekerja sendiri atau menceburi bidang keusahawanan atau perniagaan.
Penyakit “suka jadi pengguna”, “suka makan gaji”, atau “takut untuk berniaga” perlu diubah. Justeru itu umat Islam di Malaysia memerlukan satu suntikan semangat yang dapat mendorong mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan atau pengeluaran.
Jadi saranan Perdana Menteri baru-baru ini supaya kegiatan koperasi dijadikan sebagai satu matapelajaran di sekolah perlu diambil berat oleh pihak yang berkaitan. Pendedahan awal kepada kegiatan koperasi dapat membiasakan pelajar dengan dunia perniagaan. Ini seterusnya dapat menanam semangat keusahawanan di dalam jiwa mereka apabila dewasa kelak.