Secara umumnya, masyarakat lebih memberi perhatian kepada penderaan fizikal berbanding kepada penderaan emosi. Masyarakat manusia melihat penderaan emosi sebagai amat berbeza daripada penderaan fizikal. Ini kerana penderaan emosi itu bukan sahaja tidak kelihatan pada pandangan mata kasar mereka, tetapi juga tidak memberi sebarang impak dan kesan secara jelas jika dibandingkan dengan penderaan fizikal. Penderaan fizikal mudah kelihatan dengan pelbagai tanda seperti luka dan pendarahan, lebam dan patah anggota serta lain-lain kecederaan fizikal. Namun, keadaan ini tidak berlaku dalam kebanyakan kes yang melibatkan penderaan emosi, menjadikan ia amat sukar untuk dikenalpasti dan diadili. Walhal, kes penderaan emosi lebih banyak berlaku berbanding kejadian penderaan fizikal.
Keadaan ini juga berlaku kerana kelompok manusia lebih peka dan sensitif terhadap kejadian penderaan fizikal berbanding penderaan emosi, sesuai dengan fitrah kecederaan emosi yang mudah tersorok berbanding dengan kecederaan fizikal yang begitu ketara kelihatan dan menjadikan ia lebih banyak mengundang keprihatinan masyarakat. Namun, rasa keprihatinan ini tidak berlaku dalam aspek penderaan emosi, lalu tiada jaminan bahawa penderaan emosi itu dapat dielakkan dan dicegah, atau dapat dibendung dari berlaku, seandainya masyarakat tidak mendapat maklumat dan kesedaran yang tepat tentangnya serta langkah-langkah pelaksanaan pencegahan awal sebelum ia berlaku. Cara pencegahan awal yang diajarkan Islam telah dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W melalui sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud yang bermaksud ‘seorang mukmin itu bukanlah seorang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji, dan suka berkata kasar’.
Memang benar bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat, dan kecederaan emosi perlu dirawat, serta ada cara dan kaedah yang terbaik dan terbukti serta mampu untuk merawatnya, namun sebelum ia menjadi terlambat dan kronik, masyarakat perlu dididik dengan kesedaran terhadap keburukan penderaan emosi. Akibatnya, dalam banyak keadaan, kes penderaan emosi terlepas begitu sahaja dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya, lalu berterusan dan berleluasalah kezaliman dan penganiayaan dalam masyarakat. Namun, perlu diingat bahawa penderaan dalam apa jua bentuk sekalipun, sama ada secara fizikal atau pun mental dan emosi, ia adalah aktiviti keganasan dan tetap merupakan jenayah yang boleh menerima balasan dan hukuman serta dakwaan di mahkamah. Ia adalah tindakan kezaliman dan penganiayaan terhadap individu lain.
Penderaan emosi difahami sebagai sebarang bentuk perilaku yang melibatkan kejadian seperti pengasingan atau pemulauan dan penyisihan ke atas mana-mana individu secara sengaja dan sedar, strategik dan terancang, berlaku serangan secara lisan yang berterusan, sebarang penghinaan dan intimidasi, atau apa-apa perilaku lain yang boleh mendatangkan perasaan kerendahan moral dan kehilangan maruah keperibadian dan identiti, serta harga diri pada individu tertentu atau sesiapa sahaja. Penderaan emosi ini juga dikenali sebagai penderaan psikologikal, atau sering diungkap bagi menggambarkan pembulian emosi. Seringkali juga ia dinyatakan sebagai penderaan lisan yang dilakukan secara agresif dan melampau.
Secara ketara, penderaan emosi boleh berlaku akibat dari perbuatan seperti mengejek dengan nama panggilan yang tidak elok, menghina keperibadian dan maruah, mendatangkan ancaman, kritikan menghina secara keterlaluan, sindiran yang mengaibkan, ungkapan kasar dan kata-kata yang menyakitkan, meletakkan tuduhan palsu dan pembulian emosi, serta lain-lain, yang akan mendatangkan kecederaan emosi dan kehilangan identiti moral. Kecederaan emosi akan berlaku dengan pelbagai tanda di mana mangsa akan berasa takut dan cemas, berasa rendah diri akibat hilang maruah dan harga diri, serta pelbagai simptom trauma lain yang menyentuh isu kesihatan, akhirnya menjejaskan kesejahteraan mental dan emosi serta fizikal. Ia juga akan menjejaskan komunikasi, perhubungan dan interaksi sosial sesama umat Islam serta menjurus kepada perpecahan perpaduan di kalangan mereka.
Sebagai kesan daripada penderaan jenis ini, ia mengakibatkan mangsa mengalami kesan trauma penderaan emosi. Penderaan emosi ini sama juga seperti penderaan fizikal yang mengakibatkan kecederaan fizikal, namun, penderaan emosi akan mengakibatkan kecederaan emosi dan mengundang lebih banyak kemerbahayaan yang tidak terjangkau oleh pemikiran manusia. Hakikatnya, kecederaan emosi yang dialami ini sukar kelihatan walaupun ia benar-benar dialami oleh mangsa dan memakan masa yang lama untuk pulih serta memerlukan banyak sokongan dan intervensi, sama seperti kecederaan fizikal lain.
Mangsa penderaan emosi akan turut mengalami kekeliruan identiti diri, dan memiliki tahap kerendahan harga diri dan moral yang amat lemah dan kronik. Jika tidak dibantu dan dipulihkan sewajarnya, ia akan mengakibatkan gejala gangguan mental dan emosi lain seperti penyakit kebimbangan dan kemurungan yang akhirnya boleh juga membawa kepada kejadian bunuh diri. Ini kerana di sebalik setiap kejadian bunuh diri, akan tersingkap kecederaan emosi yang terselindung oleh penderaan emosi dan tekanan mental yang mendorong kepada peristiwa sadis tersebut. Ini juga bermakna, tekanan mental dan penderaan emosi yang kita lakukan kepada mereka turut mendorong seseorang itu untuk berfikir dan merancang keputusan membunuh diri.
Masyarakat perlu memahami bahawa penderaan emosi adalah satu malapetaka senyap kerana ia memberi kesan secara merbahaya. Sebarang kejadian yang melibatkan penderaan emosi ini perlu dirujuk kepada pakar untuk urusan pemantauan oleh pihak berkuasa. Kecederaan emosi yang tidak terawat seumpama api dalam sekam, yang akan mencetuskan lebih banyak keburukan secara tanpa diduga dan disedari, namun semua sudah terlewat. Mahukah kita semua menerima tanggungjawab kesan buruk kecederaan emosi orang lain yang berlaku akibat daripada kekhilafan dan kejahatan kita sendiri? Apakah jaminan bahawa kita akan terlepas daripada siksaan tersebut, akibat daripada kecuaian kita sendiri?
Namun, Islam telah diturunkan oleh Allah kepada kita umat-Nya dan hamba-Nya, awal sebelum kita dilahirkan lagi, bagi menyediakan diri kita dengan persediaan dan teknik untuk mencegah penderaan emosi ini. Pelajarilah dan hayatilah ia, dan sematkan diri untuk kita aplikasikan dalam urusan kehidupan harian kita semua. Apakah teknik tersebut? Di sini, Islam menganjurkan bahawa kemuliaan seseorang Islam itu dilihat dari betapa baik akhlak dan tingkahlakunya serta mulia tutur katanya. Inilah gambaran kepada jiwa dan rohnya. Ia bersesuaian dengan sebuah hadis rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bermaksud ‘seorang muslim yang baik itu ialah apabila orang muslim lain berasa selamat dari kejahatan lidah dan tangannya’. Berhati-hatilah dalam pertuturan dan ungkapan agar tidak menyakiti. Sebarang keterlanjuran, perlulah diakui dan mohonlah kemaafan kerana permohonan maaf juga satu terapi yang merawat gejala kecederaan emosi.