Penulis : Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz Diterbitkan :
Kebijaksanaan mahkamah dalam mentafsir Perlembagaan amat diperlukan. Ini kerana institusi tersebut merupakan institusi terpenting dalam urusan tafsiran Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 128 menyatakan tentang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan “tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan (Persekutuan)”. Maksudnya hanya Mahkamah Persekutuan yang boleh memutuskan tentang tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
Kesannya, walaupun semua orang yang mempunyai pengkhususan dalam bidang undang-undang Perlembagaan boleh mencadangkan tafsiran kepada Perlembagaan, tetapi semua cadangan itu tidak mengikat dan tidak memuktamadkan tafsiran Perlembagaan. Tafsrian tersebut hanya boleh membantu mahkamah, bukan mengikat keputusan mahkamah.
Walaupun dahulu saya tidak begitu cenderung untuk menyokong penubuhan mahkamah Perlembagaan atau mahkamah khusus yang mengendalikan isu-isu perlembagaan, tetapi, apabila semakin banyak kes yang melibatkan soal Perlembagaan, maka saya mula menyokong penubuhan mahkamah Perlembagaan. Justifikasinya ialah supaya kes-kes melibatkan tafsiran Perlembagaan ditangani dengan lebih berwibawa dan bijaksana oleh para hakim yang dilatih dan dilantik khusus untuk mengendalikan kes-kes dan juga kajian-kajian berkaitan Undang-Undang Perlembagaan dan Perlembagaan negara, dari segi sejarah, semangat dan matlamat, serta falsafah negara.
Pada asalnya saya tidak begitu menyokong penubuhan mahkamah khusus bagi mengendalikan isu-isu berkaitan Perlembagaan kerana pada pendapat saya Mahkamah Persekutuan itu adalah juga Mahkamah Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan tanggungjawab dan kuasa yang khusus kepada Mahkamah Persekutuan untuk membolehkan Mahkamah tersebut mentafsir Perlembagaan.
Namun begitu, apabila meneliti keputusan-keputusan atau penghakiman semasa dari dalam dan luar negara berkaitan tafsiran Perlembagaan, ia memberikan saya dorongan untuk mengetengahkan isu ini untuk tatapan pembaca. Ia juga telah menyebabkan kecenderungan saya menyokong penubuhan Mahkamah Perlembagaan.
Ada beberapa isu yang boleh dibahaskan tentang perlunya penubuhan mahkamah khusus untuk mengendalikan kes-kes yang melibatkan Perlembagaan. Antara lain, soal nilai, norma, sistem hidup masyarakat tempatan, sifat tempatan Perlembagaan, sifat atau elemen-elemen warisan, elemen-elemen asli dan semangat, matlamat serta falsafah negara adalah berkaitan. Falsafah negara yang diisytiharkan dalam prinsip rukun negara adalah ringkasan kepada intipati Perlembagaan.
Walaupun kita tidak menolak prinsip kesejagatan dalam mentafsir Perlembagaan, tetapi kita juga tidak boleh lupa bahawa negara kita juga mempunyai matlamat untuk dicapai dan mempunyai prinsip kenegaraan.
Sekiranya mahu melihat kepada keputusan-keputusan mahkamah dari luar negara tentang Perlembagaan, mahkamah kita perlu mendekatinya sebagai panduan sahaja, tidak mengikat. Ini kerana tidak semua Perlembagaan di dunia adalah serupa. Sebagai contoh, tidak mungkin kita boleh menerima prinsip tempatan Perlembagaan Amerika Syarikat dalam mentafsir Perlembagaan Persekutuan. Tidak juga semua nilai-nilai yang dikatakan sejagat itu berpatutan dengan nilai, norma dan sifat-sifat tempatan serta falsafah negara kita. Walaupun dalam kelas-kelas akademik perbahasan ini tidak akan berakhir, tetapi, dalam kita menyelusuri abad ke-21 yang membawa gelombang “New World Order”, kita memerlukan ketegasan para hakim untuk mengekalkan sifat asal dan mengekalkan jatidiri negara, terutamanya prinsip-prinsip asas kenegaraan atau falsafah negara kita.
Penubuhan Mahkamah Perlembagaan ini bukan bermaksud semata-mata menubuhkan mahkamah. Ia merangkum prosedur latihan dan pelantikan hakim serta pengkhususan dalam bidang undang-undang Perlembagaan hendaklah diambil berat. Sekiranya kita menubuhkan mahkamah Perlembagaan, tetapi tidak menyediakan frasarana personel atau tidak menyediakan sistem latihan serta lantikan khusus kepada para hakim yang akan bertugas mengendalikan Mahkamah Perlembagaan tersebut, maka ia tidak menepati maksud penubuhannya.
Para hakim yang mengendalikan kes-kes yang melibatkan tafsiran Perlembagaan perlu mempunyai prosedur lantikan berbeza daripada hakim-hakim di mahkamah lain. Latihan-latihan khusus tentang ciri-ciri unik Perlembagaan, falsafah, matlamat dan jati diri negara perlu diperkasa dalam lantikan hakim Mahkamah Perlembagaan. Perkara-perkara yang saya sebut di atas sangat bergantung kepada penghayatan hakim yang mentafsir Perlembagaan. Oleh itu, latihan yang lebih mendalam tentang Perlembagaan negara amatlah diperlukan bagi hakim-hakim tersebut.
Hakikatnya ialah, menghidupkan semangat Perlembagaan serta mentaati falsafah negara bukan sahaja bergantung kepada teks Perlembagaan dengan maksud literal atau harfiah atau petunjuk konteks makna dalam Perlembagaan itu sendiri, tetapi ia mengharapkan juga kepada perspektif kehakiman yang menghayati jatidiri negara dan meletakkan falsafah negara pada tempat tertinggi.