Adalah dimaklumkan bahawa YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah bersetuju melantik semula YABhg Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi sebagai Pengerusi IKIM berkuatkuasa pada 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018.
Sementara itu, YAB Perdana Menteri juga telah bersetuju melantik Y. Bhg. Prof. Datin Dr. Azizan binti Baharuddin sebagai Ketua Pengarah IKIM yang baharu selama dua tahun berkuat kuasa pada 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2017. Beliau menggantikan Y. Bhg. Datuk Nik Mustapha bin Haji Nik Hassan yang menjawat jawatan tersebut pada 2 Ogos 2009 hingga 1 Ogos 2015 selama tiga penggal.
YBhg. Prof. Datin Dr. Azizan binti Baharuddin, 60, sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah IKIM sejak 1 November 2011, professor di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Lancaster, United Kingdom selain mempunyai Sarjana Sains dari Kolej Universiti, Universiti London, UK dan Sarjana Muda Sains Universiti Tasmania, Australia.
Beliau yang mula berkhidmat di Universiti Malaya sejak 1978 mempunyai banyak pengalaman dan pendedahan di peringkat nasional mahupun antarabangsa dalam bidang agama dan sains, dialog peradaban dan alam sekitar. Beliau dilantik sebagai Profesor dan Pengarah di Pusat Dialog Peradaban dari Januari 2000 hingga 1 September 2011.
Prof. Datin Dr. Azizan juga menjadi ahli Sidang Editor dalam Jurnal Sains Fakulti Sains, Jurnal Katha Pusat Dialog UM, Ahli Lembaga Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Kumpulan Pakar Falsafah Sains Dewan Bahasa & Pustaka. Ahli Rangkaian Antarabangsa, Ahli Falsafah Wanita UNESCO pada 2009 hingga kini, Panel Anugerah Akademik Negara Kementerian Pengajian Tinggi dari 2009-2015, Ahli Majlis Sains dan Penyelidikan Negara, Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di Antara Penganut Agama (JKMPKA) dari 2014 -2015, Pengerusi Majlis Bioetika Negara dan Ahli Jawatankuasa Bioetika Antarabangsa UNESCO, 2014-2017.
Pengalaman beliau di peringkat nasional dan antarabangsa akan membantu IKIM meningkatkan kefahaman Islam kepada semua masyarakat di dalam dan di luar negara. IKIM yang ditubuhkan pada 18 Februari 1992 bertujuan untuk menjelaskan kepada umum bahawa Islam agama yang mendukung kebenaran, dinamik, toleran dan mempunyai nilai-nilai murni yang bersifat universal.
Barisan Ahli Lembaga Pengarah IKIM mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg Datuk Nik Mustapha bin Haji Hassan atas khidmat cemerlang beliau menerajui IKIM.
Unit Perhubungan Korporat
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)