Ditulis oleh : Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz Diterbitkan :
Mampukah Perlembagaan mendepani cabaran atau ancaman yang mendatang sama ada dari dalam negara atau juga dari luar negara?
Setelah hampir enam puluh tahun mencapai kemerdekaan, dengan puluhan pindaan kepada Perlembagaan (pindaan terutamanya berkaitan pembentukan Malaysia dan pemisahan Singapura) Perlembagaan seolah sudah menjadi ‘home-grown’ atau tempatan.
Kalau dilihat kepada harfiahnya Perlembagaan mampu menghadapinya. Walaupun begitu, agak sukar juga untuk menjawab persoalan di atas. Ini kerana Perlembagaan itu cuma tulisan atau catatan yang tidak boleh bergerak sendiri. Ia bukan undang-undang biasa. Perlembagaan hanya boleh digerakkan oleh kuasa lain, iaitu kuasa politik. Saya tidak semata merujuk kepada kuasa parti politik, tetapi kuasa pentadbiran negara umumnya.
Kuasa politik inilah yang menentukan gerak kerja menjaga ketertinggian dan kemuliaan Perlembagaan. Selagi mana kekuasaan politik itu mantap dalam menjaga harfiah Perlembagaan, maka selagi itulah Perlembagaan dapat mendepani apa juga cabaran atau ancaman yang mendatang. Selagi mana kuasa politik itu tegas dalam menghidupkan prinsip dan semangat Perlembagaan tersebut, maka selagi itulah Perlembagaan berupaya menghadapi segalanya.
Perlembagaan bukan semata-mata undang-undang, tetapi menyediakan tatacara hidup bernegara. Perlembagaan bertujuan menjamin kestabilan politik, pembentukan sistem pemerintahan negara yang saksama serta menyediakan formula perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan juga menjaga dan melindungi kepentingan semua kumpulan masyarakat.
Justeru, jika diperhati peruntukan Perlembagaan yang kita ada, saya amat optimis bahawa segala cabaran dan ancaman dapat didepani oleh Perlembagaan kita. Tetapi dengan syarat. Syaratnya ialah, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menunaikan amanah hendaklah berupaya dan berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
Semasa proses gubalannya, Perlembagaan kita telah mengambil kira dan memberi perhatian yang amat khusus kepada beberapa perkara pokok dalam pembentukan sebuah negara.
Antara perkara pokok yang diberikan perhatian khusus ialah kestabilan negara dengan menjaga kepentingan perpaduan kaum. Perpaduan kaum adalah satu aspek yang dibincang secara tuntas sejak dari mula kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948 lagi. Bagi mempastikan Perlembagaan merdeka itu mampu mendepani cabaran dan ancaman pasca merdeka, beberapa peruntukan penting telah dimasukkan dalam Perlembagaan. Peruntukan berkaitan perpaduan dan peruntukan berkaitan ancaman subversif adalah dua contoh paling ketara.
Perkara 32 mencipta takhta Yang di-Pertuan Agong, dilantik melalui Majlis Raja-Raja, sebagai Ketua Utama Negara. Bagi membolehkan seorang raja itu bersemayam di atas takhta Yang di-Pertuan Agong itu, baginda hendaklah mengambil sumpah yang begitu mulia dan tanggungjawab yang begitu besar, iaitu mentadbir negara dengan bersandarkan kepada Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan juga melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan saksama.
Dalam kontkes perpaduan kaum, Perkara 153 menyediakan peruntukan yang begitu dalam maksud dan tujuannya. Perkara 153 merupakan satu peruntukan yang menjamin kesaksamaan (equity) antara kaum, bukan kesamarataan (equality) antara kaum. Diletakkan dalam Perkara 153 itu tanggungjawab Perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menyempurnakan perpaduan antara komponen masyarakat atau warganegara Malaysia.
Dalam Perkara 153(1) itu disebut bahawa “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini”.
Peruntukan 153, walaupun rata-rata dianggap begitu sensitif, ia perlu dibawa ke hadapan untuk difaham dalam masa dan massa semasa. Prinsip yang perlu ditegaskan ialah, ia bukan samata-mata menjaga keisitimewaan Melayu, tetapi mengambil berat tentang kestabilan negara dan bertujuan mengelak persengketaan kaum.
Perkara kedua penting ialah hal berkaitan subversif. Kemerdekaan dicapai dalam keadaan darurat. Dalam keadaan subversif begitu jelas dengan ancaman pihak komunis. Bersedia dengan keadaan itu, Perlembagaan ada Perkara 149 hingga 151 bagi menangani subversif. Dalam keadaan semasa, kegiatan subversif masih ada, cuma dengan modus operandi berbeza. Namun begitu, sekiranya Perlembagaan ditaati, Perlembagaan kita mampu menghadapi ancaman subversif. Tetapi, sebagai peruntukan yang hanya menggariskan prinsip umum dalam tatacara pentadbiran negara, Perlembagaan perlu disokong oleh undang-undang lain bagi tujuan pelaksanaan hasrat Perlembagaan itu.
Rumusannya, Perlembagaan akan mampu menghadapi cabaran dan ancaman sekiranya semua prinsipnya dilaksana dengan sempurna.