Cinta dan kesetiaan – dua perkataan dan dua perasaan yang perlu digabung untuk mencapai kebahagian. Dalam keadaan biasa, secara lumrahnya, di mana adanya cinta, di situlah juga lahirnya kesetiaan. Bagi sebuah negara Persekutuan, cinta dan kesetiaan ini menjadi dilema yang berpanjangan. Dalam negara Persekutuan, adakalanya cinta dan kesetiaan terbelah dua. Rakyat sesebuah negeri dalam Persekutuan tetap cinta kepada negeri mereka, tetapi kesetiaan mereka kepada Persekutuan juga sentiasa dituntut.
Oleh itu, dalam sebuah negara persekutuan, keseimbangan antara cinta dan kesetiaan itu adalah isu penting dan hendaklah sentiasa dihayati oleh semua. Sudah tentu keseimbangan antara kedua itu bukan mudah untuk dicapai. Ini kerana sebuah Persekutuan itu dibentuk bukan semata-mata atas dasar penerimaan secara perundangan dan boleh dipaksa-paksa, tetapi ia dibentuk dengan sentimen dan persetujuan. Selebihnya ada pengaruh politik. Namun begitu, walau bagaimana susah sekalipun, keseimbangan antara cinta dan kesetiaan kepada negeri dan Persekutuan itu yang perlu dihidupkan untuk kesejahteraan negara.
Persekutuan ialah sebuah negara yang dibentuk dengan persetujuan dan perjanjian negeri-negeri; dalam kes pembentukan Malaysia, persetujuan rakyatnya juga. Persekutuan pada asalnya tidak memiliki apa-apa; tiada tanah dan tiada rakyat. Persekutuan hanya menuntut kesetiaan daripada negeri-negeri dan rakyatnya dengan prinsip kerakyatan Persekutuan.
Secara prinsipnya pentadbiran secara Persekutuan merupakan satu sistem yang terdiri daripada beberapa kawasan atau negeri yang merdeka dan berdaulat. Maksudnya, semua negeri yang membentuk Persekutuan itu mempunyai tarikh dan waktu kemerdekaan masing-masing. Dengan adanya kemerdekaan dan kedaulatan itulah negeri-negeri tersebut bebas memilih untuk bersetuju dan bersama-sama membentuk sebuah negara persekutuan.
Seterusnya, negeri-negeri yang membentuk Persekutuan itu berjanji untuk mewujudkan kerajaan pusat yang mempunyai kuasa ke atas isu-isu penting, seperti dasar luar, ekonomi dan pertahanan. Dalam beberapa sistem persekutuan di dunia, negeri-negeri yang membentuk Persekutuan juga diberikan kuasa autonomi dan memegang sesetengah kuasa, walau tidak melibatkan kuasa-kuasa berkaitan perkara-perkara penting.
Sistem persekutuan juga dikatakan sebagai penubuhan satu sistem politik yang terdiri daripada kerajaan umum (pusat) dan kerajaan tempatan (negeri) yang diberikan kuasa-kuasa tertentu tanpa memberi sebarang kedudukan perundangan atau politik yang lebih istimewa kepada satu negeri dengan negeri yang lain. Maksudnya semua negeri yang membentuk Persekutuan itu dilayan samarata – tiada negeri yang lebih istimewa daripada negeri yang lain. Dalam kata lain, menurut prinsip umum negara persekutuan, setiap negeri hendaklah dilayan sama rata dan mendapat perhatian yang sama daripada kerajaan persekutuan.
Oleh yang demikian, secara umumnya setiap negara persekutuan menyediakan pembahagian kuasa antara dua peringkat kerajaan dan memaktubkannya dalam Perlembagaan negara. Dalam sebuah negara Persekutuan, Perlembagaan adalah perjanjian antara Persekutuan dan negeri dan seterusnya diisytihar sebagai undang-undang tertinggi. Penjelasan tentang pembahagian kuasa dalam perjanjian atau undang-undang tertinggi ini adalah bagi mempastikan kedua-dua kerajaan tersebut dijamin hak-hak mereka.
Perjanjian antara negeri-negeri yang dimeterai menerusi Perlembagaan telah melalui proses perbincangan dan rundingan. Maksudnya, sebelum proses perundangan dimaktubkan, terdapat perundingan dan persetujuan. Proses ini sudah tentu melibatkan banyak perkara yang difikirkan penting oleh pihak-pihak yang terlibat. Segala keputusannya bergantung kepada rundingan semasa pembentukan negara Persekutuan tersebut.
Prinsip umum yang dinyatakan di atas hanyalah garis panduan yang tidak semestinya mengikat. Segala perincian pembahagian kuasa dan ketentuan dalam sesebuah negara persekutuan itu bergantung kepada persetujuan di dalam proses penubuhannya.
Kelangsungan sesebuah negara Persekutuan sangat bergantung kepada cinta dan kesetiaan. Kesetiaan bukan sahaja kepada Persekutuan, tetapi kesetiaan kepada janji-janji yang telah diangkat sebagai wa’ad dan disytiharkan dalam perundangan. Negeri dan Persekutuan perlu taat kepada janji-janji tersebut.
Bagi negara kita, Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah satu janji, begitu juga dengan pembentukan Malaysia 1963. Kesetiaan pada wa’ad yang dicapai pada 1957 dan 1963 itu hendaklah ditaati oleh negeri beserta rakyatnya. Persekutuan juga hendaklah menghormati janji tersebut. Rakyat hendaklah menyemarakkan kesetiaan. Formula cinta kepada negeri dan setia kepada Persekutuan dan janji serta wa’ad dalam Perlembagaan akan mengukuhkan sistem persekutuan kita.