Pengubahsuaian Bajet 2016, pemberian BR1M, Bantuan Persekolahan, Pengurangan Potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pengurangan kos sara hidup antara isu yang melibatkan soal kewangan. Sudah menjadi realiti kehidupan segala-galanyanya memerlukan wang. Tanpa wang mana mungkin kita dapat menjalani kehidupan yang selesa.
Apatah lagi dilema soal kewangan menimpa-nimpa apabila saban hari, kos kehidupan terutamanya di bandar semakin meningkat. Kos tempat tinggal, pengangkutan, makanan, pakaian, pendidikan dan sebagainya semakin hari semakin bertambah. Bagi yang berkeluarga pula, bilangan ahli keluarga yang bertambah besar meningkatkan lagi kos sara hidup terutama dalam memenuhi keperluan persekolahan anak- anak.
Bagi seorang pekerja, bekerja mencari pendapatan sehari-hari kadang-kala tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos sara hidup yang semakin menekan keluarga. Demi desakan hidup, bagi menyara kehidupan dengan bekerja dan makan gaji semata-mata tidak mencukupi, sehinggakan ada yang terpaksa menjalankan dua atau tiga kerja sehari untuk menambah pendapatan. Apabila melakukan lebih dari satu kerja berkemungkinan kesihatan pekerja akan terganggu dan terjejas. Hal ini pula akan menambah lagi kos perubatan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Pun begitu ada juga pekerja yang mengambil risiko untuk menambahkan lagi pendapatan dengan membabitkan diri dalam perniagaan. Namun ada kalanya perniagaan tidak berjaya, sebaliknya bebanan kewangan pula yang semakin bertambah. Cuba perhatikan dalam media-media sosial berapa ramai pekerja yang cuba menjalankan perniagaan sampingan menerusi talian (online) untuk menambah pendapatan yang ada walhal mereka sudahpun mempunyai pekerjaan tetap.
Ini menggambarkan bahawa faktor kewangan merupakan tunjang utama dalam kehidupan pekerja. Bahkan, faktor kewangan jugalah yang menyebabkan persatuan-persatuan pekerja sering kali memperjuangkan nasib pekerja seperti kenaikan gaji dan elaun serta pemberian bonus untuk para pekerja. Masalah kewangan para pekerja sebeginilah mampu menjejaskan prestasi kerja seseorang. Sebaliknya pula, jika faktor kewangan yang baik sebenarnya boleh memotivasikan para pekerja agar bekerja dengan lebih produktif.
Namun, dengan keadaan persekitaran ekonomi dan kehidupan harian yang sungguh mencabar kini, menyediakan kewangan yang secukupnya untuk perbelanjaan diri dan keluarga adalah satu tanggungjawab dan cabaran yang sukar sekali, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Justeru, adalah dicadangkan supaya majikan sentiasa memantau kewangan para pekerja terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Majikan juga sewajarnya menjaga kebajikan pekerjanya. Bagi pekerja yang berpendapatan tetap sebolehnya menyimpanlah 10 peratus daripada pendapatan sebelum dibelanjakan. Hal ini kerana setelah kita melakukan pengasingan pendapatan untuk simpanan terlebih dahulu, maka perbelanjaan seterusnya ialah berdasarkan baki yang ada di tangan sahaja. Jika baki itu sedikit ataupun tiada, maka kita akan sentiasa berhati-hati dengan setiap perbelanjaan.
Di samping itu dalam ekonomi yang tidak menentu ini juga penting untuk kita cuba berjimat dengan cara menyimpan sedikit demi sedikit secara harian, mingguan ataupun bulanan sama ada RM1 sehari, atau RM10 seminggu atau RM50 sebulan yang mana selesa. Kemudian, apabila sudah mula selesa dengan tabiat menyimpan setiap bulan atau mungkin juga pendapatan semakin bertambah, maka bolehlah dinaikkan jumlah simpanan dari semasa ke semasa.
Jika dasar berhemat ini dititikberatkan, maka masyarakat juga dapat memberi hak-hak kebajikan yang sewajarnya kepada golongan fakir dan miskin untuk sama-sama berkongsi manfaat ekonomi dalam sesebuah negara. Sepertimana firman Allah SWT “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau” (al-Israa’:26).