Malaysia adalah sebuah negara yang sedang pesat membangun. Rancangan Malaysia ke Sembilan yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini juga menggambarkan hasrat negara menuju Wawasan 2020 melalui lima teras Misi Nasional yang mesti dilaksanakan demi mencapai matlamat cita-cita negara.
Faktor paling utama bagi menjadi sebuah negara maju ialah keupayaan dan keperibadian masyarakat. Malaysia tidak boleh lagi dilihat sebagai sebuah negara yang memiliki ‘infrastruktur kelas pertama” tetapi “mentaliti kelas ketiga”. Penerapan pendekatan yang menyeluruh terhadap pembangunan modal insan, menekankan bukan saja ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga nilai etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi.
Justeru penekanan pada adab dan nilai-nilai etika perniagaan sememangnya tidak lari dairpada cita-cita negara menuju pembangunan modal insan yang menyeluruh. Malah, konsep-konsep moral dan etika telah juga mula diterapkan dalam sistem perniagaan konvensional. Buktinya, terdapat buku-buku serta bahan bacaan yang membincangkan tentang ini. Apa yang pasti, agama Islam dari awal lagi amat menekankan tentang akhlak dalam perniagaan.
Manusia mempunyai pelbagai keperluan dalam hidup dan memerlukan kepada pasaran untuk menyediakan keperluan-keperluan ini. Dan sememangnya agama Islam adalah agama yang menggalakkan perdagangan, perniagaan atau bisnes. Ianya merupakan suatu pekerjaan yang amat disukai Islam. Nabi Muhammad SAW sendiri adalah seorang saudagar sehingga digelar Al-Amin bererti “Yang jujur/benar”. Rasullulah SAW telah menegaskan bahawa kedudukan perniagaan adalah merupakan satu kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sembilan persepuluh sumber rezeki(boleh diperolehi) melalui perniagaan.”(Hadis Riwayat Tirmizi).
“Bagaimanapun budaya berniaga” hendaklah yang berasaskan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam. Rasulullah SAW telah menghalang orang yang melakukan jual beli daripada bersumpah dan mengatakan sesuatu yang tidak benar. Baginda bersabda yang maksudnya: “Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya”.(Hadis Riwayat Bukhari). Oleh itu pengguna adalah dilindungi dari ditipu oleh janji-janji manis(palsu) yang semata-mata untuk melariskan barangannya.
Rasululllah SAW juga mengingatkan para peniaga supaya memberi kemudahan dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Di dalam hubungan ini Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang memberi tangguh kepada orang yang susah, mahupun dilangsaikan hutang tersebut, Allah SWT akan memayungkannya di hari kiamat di bawah bayangan arashNya”. Seandainya hadis ini diamalkan oleh para peniaga mereka tidak akan menagih hutang dengan cara yang akan memberi tekanan kepada pengguna . Bagi pengguna yang betul-betul tidak mampu membayar hutang, digalakkan agar peniaga menghalalkannya terus. Perbuatan sedemikian akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Rasulullah SAW juga melarang umatnya daripada melakukan ihtikar. Ihtikar ialah mempunyai kuasa monopoli ke atas barangan keperluan dan menyembunyikannya untuk menunggu harga naik supaya dapat mengaut keuntungan yang banyak apabila dijual. Baginda bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menyorok(barangan), dia telah melakukan kesalahan”(Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi & Muslim). Ini kerana apabila perbuatan menyorok barang dilakukan, ia akan menjejaskan kepentingan awam (sebab kekurangan barang keperluan asas di pasaran) dan dengan sendirinya Allah SWT akan menurunkan balasan yang buruk ke atasnya.
Jelas di sini Islam melindungi pengguna dari dianiaya dan terpaksa membayar lebih untuk barang keperluan mereka apabila terdapat kegiatan menyorok barangan. Apabila konsep persaudaraan Islam dijalin dengan bersungguh-sungguh sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan rasulNya, sudah pasti tidak akan timbul masalah yang tidak diingini di kalangan sesama orang Islam.
Pengguna juga perlu dilindungi daripada ditipu oleh peniaga melalui kadar sukatan dan timbangan. Perkara ini telah ditegaskan dalam Al-Quran dalam Surah al-Isra’, ayat 35. Allah SWT akan mencela mereka yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli(Surah al-Mutaffifin ayat1-6). Sungguhpun di zaman ini sukatan dan timbangan makin kurang diamalkan, namun terdapat suatu garis panduan untuk menimbang, mengukur dan menentukan saiz sesuatu produk, iaitu penjual hendaklah melakukannya dengan tepat, sempurna dan dengan sifat bertanggunagjawab. Apabila mengukur dan menimbang sesuatu dengan neraca yang benar dan melakukan transaksi perniagaan mengikut landasan Islam, ia akan dapat mengelakkan daripada berlakunya penipuan, penindasan dan kezaliman.
Amalan riba (usury) jelas menindas pengguna dan ianya adalah haram dalam Islam. Riba adalah suatu amalan yang memberikan keuntungan kepada pemberi pinjaman/pembiaya walhal pihak pemberi pinjaman tidak terdedah sedikit pun kepada sebarang risiko. Riba perlu dijauhi kerana tergolong dalam dosa-dosa besar. Setiap orang Islam mestilah mencari jalan untuk membebaskan dirinya daripada sistem dan juga amalan riba. Bagi mereka yang terpaksa kelonggaran diberikan untuk sementara waktu. Tetapi dalam masa yang sama hendaklah ada usaha untuk meninggalkannya secara mutlak. Allah SWT mengaitkan amalan bebas riba dengan keimanan kepadaNya. Jika seseorang itu mengetahui hukum memakan riba adalah haram tetapi tidak pula berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya, Allah SWT akan menganggap mereka telah mengisytiharkan perang terhadap Allah dan rasulNya.(Surah al-Baqarah ayat 278-279).
Peniaga juga dikehendaki jujur dan bercakap benar dalam penjualan di mana disebutkan bahawa peniaga yang jujur akan dibangkitkan di hari kiamat bersama para nabi, orang yang benar, para syuhada dan orang yang soleh. Sebaliknya Rasullulah SAW mengingatkan bahawa peniaga yang tidak jujur akan dibangkitkan sebagai orang yang zalim. Oeh itu para penjual diingatkan supaya tidak menipu apabila menjual sesuatu barangan. Sekiranya berlaku penipuan, pembeli atau pengguna berhak untuk mendapat balik wang bayarannya atas prinsip khiyar al-aib iaitu pilihan(option) untuk membatalkan kontrak yang disebabkan oleh berlakunya kecacatan pada barangan yang dijual.
Penjual juga perlu bersifat pemurah dalam jualbeli iaitu sentiasa memberi lebihan kepada pembeli dengan niat untuk membersihkan perkara-perkara yang tidak bersih dalam perniagaan(yang tidak diketahui). Rasulullah SAW telah menyeru supaya para pedagang menghapuskan dosa-dosa mereka akibat daripada banyak bersumpah di pasar dengan cara memberi hadiah kepada pelanggan mereka.
Kegiatan jual beli yang mempunyai unsur gharar adalah juga dilarang dalam Islam. Gharar ialah sesuatu yang tidak pasti, tidak tentu dan tidak jelas. Contohnya, menjual ikan semasa ikan masih di laut, menjual burung yang belum ditembak atau memajak buah semasa ia masih berputik atau berbunga. Kesemua ini adalah sesuatu yang tidak jelas, dan larangan ini bertujuan melindungi� pengguna dari berada dalam situasi ketidakpastian.
Satu lagi aspek perlindungan pengguna dalam perdagangan Islam dilihat apabila peniaga digalakkan bersedia memenuhi permintaan pihak yang lain untuk membatalkan kontrak walaupun kontrak sudah terbentuk dan ini disebut sebagai iqalah, di mana Rasulullah SAW telah memberitahu bahawa barangsiapa yang sanggup dan bersetuju untuk membatalkan kontrak atas permintaan pihak yang lain tanpa sebarang ganti rugi, Allah SWT akan memudahkan urusannya di hari kiamat.