IKIM menganjurkan Persidangan Antarabangsa “Religion and Civilisational Sustainability” dari 20–21 Februari di Dewan Besar IKIM bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 IKIM. Objektif utama persidangan ini adalah untuk memberi kefahaman dimensi agama dalam isu-isu sains dan sosial yang menyumbang kepada kelestarian peradaban. Persidangan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak. Beliau menegaskan kepentingan dialog antara sains dan agama, serta perlunya golongan agamawan untuk terlibat sama dalam pembangunan negara melalui TN50 sejajar dengan tuntutan Islam (maqasid al-syari’ah) yang diukur melalui Indeks Syari’ah Negara misalnya. YAB Perdana Menteri turut melihat peranan besar IKIM sebagai “thought leader” dalam memberi kefahaman Islam yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berharap agar persidangan seumpama ini dapat dijadikan landasan kukuh dalam mencari idea-idea baharu ke arah penyatuan ummah dan negara bangsa yang majmuk, serta keharmonian kefahaman agama dengan pemikiran saintifik dalam menangani isu-isu penting yang menggugat kelestarian dan ketamadunan.
Persidangan ini mengumpulkan pakar-pakar dari bidang sains dan sosial dalam dan luar negara, antaranya dari Bahrain, Arab Saudi, Afrika Selatan, Kuwait dan Amerika Syarikat. Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan merangkumi dua sesi ucaptama dan tiga sesi pembentangan melibatkan tema sains, kesihatan dan ekonomi. Perbincangan berkisar berkenaan konsep pembangunan lestari menurut perspektif Islam, pendidikan agama dan sumbangannya terhadap kelestarian peradaban, etika kesihatan dan rawatan pencegahan dari aspek perubatan yang menyeluruh, serta peranan waqaf ke arah pembangunan ekonomi negara yang mapan.
Empat (4) buah buku dan rekabentuk logo baharu penerbitan karya asli oleh Penerbit IKIM turut dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri.