Pada 11 Februari 2019, satu persidangan meja bulat dengan tajuk “Penyepaduan Agama dengan Sains dalam Kurikulum Pendidikan” telah dianjurkan oleh IKIM dengan objektif untuk mengenalpasti modul-modul yang telah dibangunkan dalam usaha penyepaduan agama dengan sains dalam kurikulum, di samping membincangkan kaedah penerapan nilai kedalam sains menerusi pendidikan bertempat di Dewan Besar IKIM.

Dalam sesi pertama dengan tema “Integrasi Agama dengan Sains dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Perkongsian Pengalaman”, Encik Zolkofli Awang, mantan guru Biologi di MRSM Ulul Albab Kepala Batas membentangkan mengenai “Modul Bioda’i dan FThink” yang dibangunkannya manakala Ustaz Mohammad Syukor Mohammad Ghulam, guru agama di SMK Sungai Besi pula berkongsikan inisiatif beliau untuk “Mengintegrasikan Elemen Sains Kesihatan ke dalam Pendidikan Islam.” Kertas ketiga dalam sesi ini dengan tajuk “Islamisasi dalam Perubatan Klinikal dan Sains Perubatan: Manual Guru” dibentangkanoleh Dr. Mohammad ArifShahar dari Hospital Pakar Avisena berdasarkan pengalaman beliau semasa sebagai pensyarah di Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Dalam sesi kedua yang bertemakan Penerapan Nilai Agama dalam Sains Menerusi Pendidikan”, dua lagi kertas kerja dibentangkan iaitu “Penerapan Nilai dalam Pengajaran Sains: Teladan dan Amalan di Jepun” oleh Profesor Madya Dr. MohdZulkefeli Mat Jusoh yang merupakan Dekan, Fakulti Farmasi, Universiti Perubatan Antarabangsa; dan “Logik Soalan dalam Inkuiri Sains: Pengajaran daripada Tradisi Sains Islam” oleh Dr. Amran Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Islam danStrategik.
Persidangan meja bulat ini mendapat sambutan yang baik dengan perbincangan yang berkualiti. Peserta yang hadir terdiri daripada golongan pendidik pada peringkat sekolah dan universiti di samping pembuat dasar dalam bidang pendidikan.

