Sejak Perlis Indera Kayangan mewar-warkan keterbukaannya dalam soal amalan poligami, isu ini terus menjadi suatu perkara yang begitu kontroversi dan seakan tiada penghujungnya. Walau bagaimanapun, pada pengamatan penulis keadaan kontroversi ini masih mengundang kesan yang positif dan yang nyata, masyarakat menjadi semakin berilmu apabila poligami ini dibincangkan. Tidak kiralah sama ada ia dibincangkan melalui perspektif undang-undang mahupun sosio-budaya. Bagi pihak lelaki yang berhasrat untuk berpoligami, mereka akan menimbang perkara tersebut dengan lebih berhati-hati dan berwaspada kerana isteri mereka dan wanita yang bakal dikahwini lebih memahami hak dan tanggungjawab mereka.
Baru-baru ini penulis telah menghadiri satu seminar di UPM yang membincangkan mengenai isu-isu poligami. Perbincangan ini tidak memusatkan mana-mana sudut perbincangan, dan ahli-ahli panel bebas untuk mengajak peserta membincangkannya menurut perspektif masing-masing. Apa yang amat menarik perhatian penulis, Dato� Prof. Dr. Mahmood Zuhdi telah membincangkannya dari aspek falsafah dan pemikiran terutamanya di kalangan orang-orang Islam di Malaysia. Prof. Mahmood Zuhdi menyatakan bahawa isu poligami ini sebenarnya merupakan suatu kecelaruan dan kita tidak akan dapat membincangkannya dengan cara yang teratur kecuali dengan cara yang bercelaru juga. Tanggapan ini kalau dilihat pada mata kasar semacam agak aneh tetapi pada pendapat penulis ada benarnya.
Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa, apabila isu poligami dibangkit dan diperbahaskan, kesimpulan yang boleh dibuat ialah kaum lelaki menyenanginya manakala kaum wanita mencemuhnya. Sehubungan dengan kesimpulan yang dibuat ini juga, jika kita membaca perbincangan-perbincangan yang diketengahkan oleh media massa, kita akan mendapati bahawa kaum lelaki akan menanggung seratus-peratus tanggungan yang berkaitan dengan hal-hal poligami.
Hakikatnya, kita perlu menyedari bahawa apabila poligami diamalkan, seorang lelaki akan terlibat bersama sekurang-kurangnya dua orang wanita. Itulah penglibatan paling minimum dalam pelaksanaan poligami. Adakah di sini kita akan memberi justifikasi bahawa kedua-dua wanita ini akan mencemuh pelaksanaan poligami? Lazimnya, yang akan mencemuh adalah isteri yang ‘senior’, manakala isteri yang ‘junior’ sekurang-kurangnya akan mengatakan “I have no comment!”, kecualilah isteri yang junior ini tidak mengetahui lelaki yang dikahwininya itu bukanlah lelaki bujang. Maka mungkin lebih diterima sekiranya kita menyimpulkan isu poligami ini sebagai isu yang lazimnya memang disenangi oleh kaum lelaki dan sebahagian kaum wanita sahaja yang menolak pelaksanaannya, manakala sebahagian wanita yang lain pula amat menyokongnya kerana dari segi praktikalnya kaum wanita jugalah yang menyempurnakan pelaksanaan poligami. Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan wanita yang menerima secara rasional hakikat poligami sebagai suatu perkara yang diharuskan oleh syarak dan apabila mereka terlibat di dalam pelaksanaan ini, mereka akan meminggirkan perasaan yang emosional dan rasa kurang selesa.
Jika dilihat melalui perspektif sosio-budaya masyarakat kita, berbagai-bagai faktor menjadi sebab mengapa poligami diamalkan. Lazimnya, kita hanya merujuk poligami berlaku kerana fitrah lelaki yang mahu memiliki lebih daripada seorang isteri. Kenyataan ini memang ada benarnya dan ini diakui oleh beberapa lelaki yang penulis temui. Namun begitu, sebenarnya banyak lagi sebab dan sukar untuk kita buat satu generalisasi mengapa poligami diamalkan kecuali jika kita melakukan kajian secara terperinci. Lantaran itu apa sahaja faktor secara induktif mahupun deduktif perlu diambil secara saksama kerana itulah yang menjadi sebab berlakunya poligami di Malaysia.
Selain lelaki yang telah berkahwin ini mempunyai naluri semulajadi untuk menghimpun jumlah isteri, “jatuh cinta sekali lagi”, faktor kesihatan isteri, isteri tidak mampu menyambung zuriat, bekerja di luar daerah, faktor perniagaan adalah antara punca poligami diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Terdapat juga kes yang dirujuk kepada penulis bagaimana poligami berlangsung adalah disebabkan kompromi persetujuan di antara ibu dan anak lelakinya. Lelaki ini tadi telahpun mempunyai pilihannya sendiri sebagai calon isteri, tetapi si ibu berkeras supaya anak lelakinya turut mengahwini calon menantu pilihan ibu tadi. Dalam usia yang sangat muda lelaki ini terpaksa menanggung lebih tanggungjawab demi mendapatkan restu daripada si ibu dalam kehidupannya. Bagi kes terpencil sebegini, penulis tidak merasakan lelaki muda ini selesa dengan kehidupannya yang terpaksa berpoligami dan kemungkinan berlaku konflik dalam dirinya bagaimana dia ingin membahagiakan orang yang terpaksa dikahwininya dan pada masa yang sama, apakah nasib diri isteri yang menjadi pilihan si ibu tadi?
Juga tidak dinafikan poligami dilaksanakan kerana faktor ingin membantu wanita-wanita yang malang. Sekalipun alasan ini tidak dapat diterima oleh sebahagian pihak, tetapi ia tetap wujud dan seharusnya juga diambil kira. Pihak yang menafikan alasan ini berpendapat bahawa terdapat pilihan lain sekiranya seseorang lelaki itu benar-benar ingin membantu wanita-wanita malang. Persoalannya, wanita-wanita malang ini merupakan manusia biasa yang dijadikan Allah bersama naluri semulajadi seorang manusia. Mereka mempunyai perasaan untuk berkasih-sayang, menerima perlindungan dan kehendak batiniah dan semuanya ini tidak dapat diberikan secara alat, persatuan atau khidmat nasihat semata-mata tetapi daripada seorang manusia yang bergelar suami. Itulah yang diamalkan dalam poligami Rasulullah s.a.w. yang antara tujuan baginda adalah untuk memberi perlindungan dan martabat yang tinggi terhadap status wanita.
Mungkin terdapat pembaca yang tersinggung jika penulis nyatakan sesetengah poligami tidak dapat dielakkan disebabkan godaan yang kuat dari kalangan wanita yang tidak mempedulikan status lelaki yang disukainya, sama ada masih bujang ataupun telah mempunyai keluarga sendiri. Mungkin dengan kejelitaan, harta dan kerjaya yang dimilikinya wanita ini tadi mampu mencairkan kesetiaan si lelaki terhadap isterinya. Tetapi, inilah antara fenomena yang berlaku di kalangan masyarakat kita.
Agak mengejutkan juga apabila penulis dimaklumkan terdapat lelaki yang berpoligami disebabkan mereka ini mahu mendapatkan ‘kos-kos melepas’ dalam kehidupan seharian mereka. Mengahwini beberapa wanita yang berkedudukan, bekerjaya dan berharta menyebabkan lelaki-lelaki ini mempunyai ‘back-up’ dari aspek kewangan. Perkahwinan ini memang sah dari segi hukumnya tetapi apakah nilai sebenar perkahwinan ini di sisi Allah? Apa yang pasti, poligami seumpama ini begitu menyimpang dari tujuan sebenar poligami yang diharuskan oleh syarak!
Disebabkan pelbagai faktor menjadi sebab berlakunya poligami, maka ia mewujudkan berbagai-bagai bentuk keluarga yang mengamalkan poligami. Kadangkala, apabila poligami dilaksanakan disebabkan ‘jatuh cinta sekali lagi’ (ataupun si lelaki memberikan alasan bahawa pernikahannya dengan isteri yang sedia ada adalah dalam keadaan terpaksa) maka isteri yang senior ini akan dipinggirkan secara langsung ataupun tidak langsung. Tentulah lebih menyakitkan apabila si suami ini bernikah lagi setelah mereka berada dalam keadaan yang stabil disebabkan sokongan dan pengorbanan isteri yang senior. Fenomena seperti inilah yang menyebabkan sesetengah pihak seolah-olahnya berhasrat untuk menghapuskan amalan poligami sehingga hampir-hampir menafikan bahawa poligami juga sebenarnya merupakan salah satu penyelesaian terhadap masalah sosial.
Persoalannya di sini, apakah kaedah yang boleh digunakan bagi membentuk amalan ini kepada bentuknya yang lebih stabil, selesa ataupun sekurang-kurangnya tidak menyakitkan hati apabila poligami tetap mahu dilaksanakan oleh pihak suami? Ini kerana mereka enggan untuk menimbang permintaan atau mungkin rayuan isteri mereka? Bagi suami yang salih, yang mengetahui hukum-hakam secara terperinci tentulah masalah ini tidak begitu timbul. Masalahnya, apabila si suami hanya berpegang kepada zahir ayat al-Quran yang mengatakan bahawa amalan ini diharuskan tanpa melihat kepada asbab al-nuzul (sebab turun ayat) dan juga syarat-syarat yang diketengahkan oleh fukaha.
Di dalam hal ini, pada pendapat penulis cadangan yang diutarakan ini mungkin boleh menjadi salah satu jalan penyelesaiannya. Setiap diri manusia dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan-kelebihan dan kelemahan-kelemahan yang tertentu. Seseorang wanita (dan juga isteri) sebenarnya boleh mengukur diri sendiri, di mana kekuatan diri mereka. Bagi golongan isteri yang mampu untuk bertawar-menawar dengan pihak suami yang menyuarakan hasratnya untuk berpoligami, dan isteri ini tadi melihat bahawa suaminya tidak berhalangan untuk melaksanakannya, mengapa tidak dibuat permintaan supaya poligami yang akan dilaksanakannya itu turut memberi faedah kepada si isteri dalam jangka masa yang panjang, atau sehingga akhir hayat? Sebagaimana pihak suami yang dapat menikmati faedahnya (mempunyai teman hidup tambahan) sehingga akhir hayat? Sejumlah wang ‘pampasan’ atau ‘sagu hati’ sebenarnya tidak memadai, kerana ia akhirnya akan lenyap!
Umpamanya, serahkan anak-anak untuk dijaga oleh madu sekiranya dia tidak bekerja. Sekiranya si isteri ini tadi merupakan wanita bekerja yang kadangkala balik sehingga lewat, minta si madu supaya menemani anak-anak membuat kerja-kerja sekolah mereka. Pada hemat penulis, tidak salah meminta ‘bayaran’ dari madu kerana pihak isteri yang senior telah ‘menyerahkan sebahagian milik diri mereka’ kepada isteri suami yang baru, di mana dengan serahan itu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya. Bayaran yang diterima ini sekurang-kurangnya akan menjadikan wanita yang dimadukan tetap mengakui bahawa amalan yang diharuskan Islam ini memberikan manfaat kepada kehidupannya dan keluarga keseluruhannya.
Begitu juga bagi pihak suami yang berhasrat untuk berpoligami dan mereka mendakwa bahawa mereka layak untuk melaksanakannya, maka pihak suami perlulah menjadikan poligami itu sebagai suatu perkara yang memberi manfaat kepada setiap ahli keluarganya. Apakah bentuknya, terpulang kepada budi bicara si suami sebagai seorang ketua rumah tangga. Sememangnya di dalam Islam dinyatakan syarat bahawa poligami yang akan dilaksanakan itu tidak akan menjatuhkan kedudukan atau taraf isteri yang sedia ada, tetapi, adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya setiap isteri menerima kebaikan dari pelaksanaan tersebut.
Bagi mereka yang kurang mampu untuk membuat tawar-menawar dengan pihak suami, keberanian perlu ada. Dapatkan bantuan, sokongan dan ‘back up’ dari sesiapa yang dirasakan boleh. Jadilah isteri yang berilmu yakni, yang mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Fahamilah undang-undang dan prosedur undang-undang keluarga Islam bagi mendapatkan bantuan sekiranya suami tidak berlaku adil.
Sehari dua yang lepas, penulis telah membaca suatu rintihan seorang doktor wanita yang acapkali didatangi oleh wanita-wanita yang didera dan kebanyakan mereka adalah isteri senior dengan suami telah berkahwin lain dan mengabai malah menyiksa isteri-isteri yang senior ini. Penulis pada dasarnya bersetuju dengan pendapat doktor ini. Walaupun demikian, perlu disedari bahawa poligami bukanlah faktor yang mengubah sikap seseorang lelaki menjadi agresif atau tidak berlaku adil. Ketidakadilan berlaku disebabkan kurangnya ilmu agama dan juga iman. Di sebalik nasib wanita-wanita yang malang ini sebenarnya masih wujud wanita-wanita yang terlibat dalam pelaksanaan poligami hidup dengan aman dan tenteram. Bukanlah menjadi keperluan bagi mereka untuk mewar-warkan kepada masyarakat di luar sana bagi menyeimbangkan tanggapan yang negatif terhadap amalan poligami.
Di dalam hal ini kalau kita perhatikan secara halus sebenarnya terdapat segolongan wanita yang bersembunyi di belakang sikap berat sebelah suami mereka dan mengambil kesempatan dengan keadaan yang tidak adil ini. Sekiranya mereka sedar bahawa suami mereka tidak adil dan hak yang mereka nikmati itu sebenarnya milik bersama yang perlu dikongsi dengan isteri yang lain, sudah pasti keadaan yang timbul tidaklah begitu rumit, malah mungkin menjadi lebih seimbang. Di dalam hal ini, pada pengamatan penulis masyarakat tidak boleh menuding jari ke arah suami ini sahaja, tetapi juga kepada mana-mana pihak yang bersekongkol dengan sikapnya yang tidak adil ini. Tetapi, di manakah ruang bagi isteri yang teraniaya dan juga masyarakat secara umumnya untuk menghukum si suami dan ‘sekutu’nya ini?
Di dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan kesalahan bagi suami yang meninggal langsung isteri. Contohnya seksyen 126 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan bahawa:
Jika seseorang telah diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup bersama dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.
Begitu juga diperuntukkan bagi kesalahan menganiaya isteri dan tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri. Seksyen 107 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983 memperuntukkan bahawa:
Seseorang suami yang dengan sengaja tidak memberi keadilan sewajarnya kepada isterinya mengikut Hukum Syarak adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan dikenakan tidak melebihi daripada RM500 atau penjara selama tempoh lebih 4 bulan atau kedua-duanya sekali.
Apa yang penulis nyatakan ini adalah kesalahan bagi pihak suami yang melakukan penganiayaan atau ketidakadilan terhadap isterinya. Apakah bentuk amaran bagi isteri satu lagi yang ‘bersembunyi’ dan mengambil kesempatan dengan tumpuan lebih yang diberi oleh suaminya sedangkan dia mengetahui bahawa si suami ini mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap isterinya yang lain?
Golongan isteri sebegini juga sebenarnya perlu sedar bahawa hukuman yang menanti bukannya di Mahkamah Akhirat semata-mata, yang begitu kabur disebabkan iman yang tipis. Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri di Malaysia sebenarnya memperuntukkan kesalahan yang pada pendapat penulis boleh terpakai kepada keadaan seumpama ini. Enakmen Kesalahan Jenayah Selangor umpamanya telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu yang antaranya ialah:
a) menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, dan
b) menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan.
Penulis pernah menerima suatu ‘akuan’ dari calon isteri kedua, yang mengatakan bahawa beliau tidak akan ambil peduli tentang haknya sebagai seorang isteri junior. Beliau tidak akan mengharapkan keadilan dari segi giliran, pulang bersama ketika Hari Raya dan perhatian yang secukupnya. Apa yang diinginkannya, hanyalah status sebagai seorang isteri bagi seorang lelaki yang memiliki nama. Malah, ada yang sanggup untuk berkahwin di luar daerah dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia. Hakikatnya di sini, pada awal-awal lagi dia telah membuka ruang yang sangat luas bagi kaum lelaki untuk menganiyainya. Inilah ‘angan-angan’ yang tidak berpijak di bumi nyata. Rasionalnya telah diletakkan di bawah emosi yang berselindung atas nama ‘cinta’.
Di mana-manapun, kita boleh terserempak dengan situasi ini. Seorang isteri muda yang menjeruk hati, keadaan mereka seperti separuh ibu tunggal, tiap kali balik beraya di rumah ibu bapa hanya sendirian atau bersama anak-anak sendiri ataupun hanya seorang ‘lunch-wife’. Bagi mereka yang mempunyai pendirian seperti di atas, haruslah menyedari bahawa setiap wanita sebenarnya mewakili wanita-wanita lain yang ada di muka bumi. Beralah tanpa ada rasional malah sehingga meminggirkan hukum Tuhan hanya akan memberi kekalahan kepada diri sendiri dan juga wanita yang lain. Lazimnya keadaan ini berlaku apabila isteri yang sedia ada ‘agak dominan’ dan suami takut untuk berterus-terang tetapi degil dengan hasrat mereka.
Bagi wanita yang separuh tenggelam dengan perasaan cinta ini, haruslah berfikir sejenak tentang hak diri sendiri. Sedangkan Sayydina Ali karrama Allahu wajhah pernah menyatakan bahawa ‘berikanlah hak kepada matamu’ kepada seorang sahabat yang enggan berehat (tidur) kerana memaksa dirinya melakukan ibadat, apatah lagi kepada diri, yakni tubuh yang turut merangkumi psikologi, emosi dan rohani.
Desak bakal suami yang sudahpun memiliki isteri ini untuk bersikap berani, adil dan bertanggungjawab. Ingatkan kepadanya tentang tanggungjawab suami yang memiliki lebih isteri. Mungkin hari ini wanita ini merasakan yang dia boleh beralah dengan madunya yang tua, tetapi perasaan untuk menuntut hak menurut syarak akan timbul tidak kira bila masanya. Ini kerana ia adalah fitrah dan Undang-Undang Islam diturunkan Allah menurut fitrah kejadian manusia. Mengapa seorang wanita yang fitrahnya merupakan golongan yang dipimpin mengundang untuk dipimpin oleh seorang lelaki yang dipertikaikan kewibawaan, rasa bertanggungjawab dan sikap adilnya? Bukankah mencegah itu lebih baik dari merawat?
Selain mendesak bakal suami untuk berlaku jujur, perlulah dirisik bagaimana keadaan suami dengan keluarganya yang sedia ada. Ini boleh membantu wanita yang akan bermadu untuk mengagak bentuk kehidupannya selepas bergelar isteri. Jangan sekali-kali mengasingkan kehidupan suami dengan keluarga yang sedia ada kerana, mahu tidak mahu seorang isteri junior sebenarnya adalah sebahagian daripada ahli keluarga suaminya. Dia sebenarnya memasuki ke dalam sebuah keluarga dan bukan menjadikan suaminya memiliki dua dunia yang berbeza. Masalah akan timbul apabila kematian berlaku, apatah lagi bila ia berlaku terhadap suami.
Kesimpulannya, isu yang sentiasa mengundang kontroversi ini sebenarnya tidak boleh dibuat suatu generalisasi. Konsep Satu Suami = Satu Isteri pada pendapat penulis sebenarnya kurang tepat bagi menangani masalah yang berlaku di dalam poligami. Ini kerana pelaksanaan poligami disebabkan oleh pelbagai faktor. Justifikasi harus diberikan mengikut keadaan setiap poligami. Penyelesaian bagi setiap masalah poligami perlu dilihat pada setiap bentuk keluarga yang mengamalkan poligami. Mekanisme yang diperlukan bukan semata-mata dalam bentuk undang-undang, malah dalam bentuk sokongan masyarakat, persatuan, agensi-agensi kerajaan, jiran tetangga, saudara-mara dan sesiapa sahaja yang merasakan mereka boleh menyumbang dan memperbaiki kepincangan yang berlaku.
Beberapa wanita pernah merujuk kepada penulis mengenai masalah mereka berkaitan dengan sikap suami masing-masing. Begitupun, apabila dinyatakan apakah bentuk-bentuk tindakan yang perlu dilaksanakan ataupun kepada siapa mereka perlu merujuk, apa yang penulis dapati, semangat mereka hanya sekerat jalan. Tidak betah dengan masa yang lama yang diambil di mahkamah, tidak sabar dan akhirnya akur dengan sengsara yang dialami. Sikap yang sebegini selama-lamanya tidak akan dapat mengajar mereka yang tidak bertanggungjawab. Meskipun pampasan yang diterima seakan tidak berbaloi, perlu diingat bahawa perkara ini sebenarnya jihad. Ini kerana jihad adalah memperjuangkan yang hak, setiap jihad bukanlah suatu perkara yang mudah. Menyelesaikan masalah semasa di dunia juga akan memudahkan urusan di akhirat nanti. Malah pihak yang satu lagi juga akan terlepas dari menanggung bebanan yang tidak terlangsai ketika di dunia.
Apapun, pada pendapat penulis poligami hanya layak dilaksanakan bukan sahaja pada lelaki yang adil dan beriman, tetapi juga oleh wanita-wanita yang adil, tegas dan beriman. Sekalipun ia diamalkan oleh lelaki yang kurang hartanya, tetapi penglibatan oleh orang-orang sebegini, tidak akan menimbulkan penganiayaan sesama mereka. Lihat sahaja ‘Madu Tiga’, apabila isteri-isteri bersatu dan tegas dengan prinsip mereka, si suami pula yang terkial-kial. Ibarat cencorot yang tidak berjumpa lubang untuk meloloskan diri!
Dalam situasi hangat ketika seminar yang berlangsung itu, penulis terfikir sejenak, jika hukum perkahwinan itu pada asalnya harus dan umat Islam digalakkan berkahwin, tetapi sekiranya seseorang lelaki itu tidak mampu terutamanya dari aspek kewangan untuk berkahwin maka Islam menganjurkan bagi golongan lelaki sebegini untuk berpuasa. Persoalan yang timbul adalah, mengapa pendekatan ini tidak diambil perkiraan bagi golongan lelaki yang tidak mampu untuk berpoligami? Seingat penulis menghadiri perbincangan mengenai poligami, pendekatan ini tidak pernah dibangkitkan. Fikirkan.