KITA kini berada dalam bulan kemerdekaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita Baru-baru ini saya telah melawat sebuah penjara di Pahang. Sebelum itu telah juga melawat beberapa penjara di Johor dan Pusat Tahanan Kemunting, Perak.
Dalam kerangka Pelan Pembangunan Insan, yang telah dijadikan pelan untuk semua penjara di Malaysia, Fasa Pertama iaitu Pembinaan Disiplin – tempoh masanya tiga bulan. Fasa Kedua, Pengukuhan Sahsiah – dalam tempoh enam hingga dua belas bulan. Fasa Ketiga, Kemahiran dan Fasa Keempat, Prabebas.
Tujuan kunjungan saya lebih menumpu kepada aspek kebebasan mengamalkan dan melaksanakan tuntutan agama, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara Sebelas Perlembagaan Persekutuan (1) tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tertakluk kepada fasal (4), mengembangkan agamanya.
Apabila seseorang telah disabitkan atas suatu kesalahan jenayah dan dihukum penjara bagi tempoh tertentu, dari sudut tanggungjawab diri sebagai seorang Muslim tidak terlepas.
Pertanyaan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa penjara ialah sama ada banduan Islam diberi kemudahan dan kebebasan untuk melaksanakan tuntutan agama seperti sembahyang. Dalam taklimat yang diberikan menyatakan bahawa mereka tidak dihalang daripada menunaikan sembahyang.
Bagaimanapun didapati sedikit masalah dalam melaksanakannya, kerana uniform yang mereka pakai, berbaju dan berseluar pendek. Untuk menunaikan sembahyang perlu menutup aurat, sedangkan mereka tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk mengagihkan seluar panjang. Kain seperti yang biasa dipakai ketika sembahyang sememangnya tidak dibekalkan.
Semasa saya membuat lawatan ke bilik-bilik tahanan, yang ukurannya lebih kurang 10 x 12 kaki yang pada lazimnya boleh memuatkan tiga hingga empat banduan telah ditempatkan seramai sepuluh hingga dua belas orang. Betapa sesaknya bilik-bilik tahanan ini. Perkara ini diakui oleh pihak penjara.
Saya bertanya kepada penghuni bilik berkenaan, sama ada antara mereka ada yang beragama Islam. Mereka menyahut dengan lantang “ada Datuk.” Kepada mereka saya tanyakan sama ada sembahyang atau tidak? Mereka menjawab sembahyang. Bagaimana menunaikan sembahyang? Mereka menjelaskan bersembahyang dalam bilik dan mereka yang beragama lain memberi ruang kepada banduan Islam menunaikan sembahyang.
Walaupun tiada bilik air, akan tetapi air ada disediakan di dalam baldi, cuma mereka tidak mendapat peluang untuk berjemaah.
Perkara yang mereka terhalang melakukan ialah menunaikan solat Jumaat. Bagi sesetengah negeri seperti Perak dan Johor sememangnya ada fatwa menyatakan banduan di penjara tidak wajib menunaikan solat Jumaat.
Di penjara pada umumnya disediakan guru agama atau ustaz. Cuma bilangannya agak sedikit berbanding dengan jumlah banduan Islam yang begitu ramai.
Secara umumnya banduan Islam mewakili 60 peratus daripada jumlah tahanan. Persoalannya iaitu sejauh mana keberkesanan program ini.
Ada dijelaskan bahawa objektif modul halakah iaitu pemulihan teras dalam bentuk terapi keagamaan bagi penghuni beragama Islam. Modul ini dilaksanakan dalam tempoh enam bulan hingga dua belas bulan. Kumpulan sasar utama adalah penghuni yang mempunyai tahap pengetahuan yang cetek dalam bidang keagamaan. Tujuan utama adalah untuk melahirkan penghuni yang berpengetahuan tinggi dalam bidang keagamaan.
Seperti juga di sekolah agama, subjek seperti akidah, tauhid, fikah, sirah, al-Quran, tajwah dan hafazan diberikan. Apabila dibawa memerhatikan suasana bilik halakah agama, pada umumnya memuaskan. Banduan duduk bersila di atas tikar. Saya telah mengambil kesempatan untuk memberi ceramah pendek kepada mereka.
Bagi penjara yang mempunyai surau contohnya Penjara Air Molek, Johor Bahru, tahanan dikumpulkan dalam surau untuk mendengar ceramah agama. Bilik juga disediakan untuk sesama mereka menelaah kitab seperti di Penjara Simpang Renggam, Johor.
Menurut taklimat yang diberikan, kemudahan pemulihan yang amat terhad seperti bilik ceramah, dewan, surau adalah di antara halangan-halangan yang menyebabkan pelaksanaan pemulihan yang berkesan ke atas banduan tidak dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi banduan-banduan adalah terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan peringkat. Mereka juga mempunyai pengetahuan yang berbeza tentang agama. Bahkan ada di antara mereka yang sangat lemah tentang pengetahuan agama sehingga menyebut waktu-waktu sembahyang ada yang tidak betul.
Menurut pihak berkuasa penjara, dari semasa ke semasa pesalah-pesalah dihantar ke penjara, sedangkan fizikal penjara tidak berkembang dengan mudah, walaupun berlaku penambahan banduan secara berterusan. Penjara telah menjadi begitu sesak. Begitu juga latihan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna lantaran kekurangan tenaga mahir. Bahkan bilangan guru agama pula amat terbatas.
Masyarakat di luar menaruh harapan dan peka kepada peranan pemulihan di penjara. Ini merupakan cabaran besar kepada institusi penjara di Malaysia. Masyarakat mengharapkan penjara dapat melahirkan banduan yang terlatih dan telah pulih sahsiahnya. Jika ini tidak berlaku akan ada sebilangan masyarakat yang mempersoalkan keberkesanan fungsi Jabatan Penjara.
Sebenarnya masyarakat, terutamanya keluarga pesalah memainkan peranan dalam membentuk masa depan banduan yang telah tamat tempoh menjalani hukuman. Banduan yang mempunyai jati diri yang kuat dan keimanan yang teguh akan dapat menahan dugaan yang bakal mereka terima apabila keluar dari pintu penjara sebagai insan yang bebas. Hakikat yang berlaku tidak ramai keluarga yang menunggu mereka di pintu keluar. Justeru masing-masing akan mencari destinasinya sendiri.
Masyarakat dan keluarga sepatutnya mempunyai perasaan dan sikap yang tabah menerima kepulangan ahli keluarga dari tahanan. Jiran dan masyarakat sepatutnya dapat menerima mereka kembali ke pangkuan masyarakat dengan hati terbuka dan tidak memandang rendah dan serong.
Pelbagai pihak patut memberi ruang kepada kepulangan dan kehadiran mereka. Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan. Imam di masjid memberikan pendidikan agama, penghulu atau ketua kampung memberi perhatian kepada aspek sosial, pihak kerajaan dan korporat membantu mendapatkan pekerjaan.
Rakan-rakan membantu supaya mereka tidak terjebak ke lembah yang pernah mereka lalui. Semoga mereka tidak kembali ke tempat yang selama ini memenjarakan kebebasan hidup.
Dengan adanya dasar Islam Hadhari, diharapkan ia akan juga melebarkan sayapnya sampai ke pusat-pusat pemulihan. Mereka ini sangat memerlukan nilai-nilai murni untuk menjadi warga yang bertanggungjawab kepada negara yang bermaruah tinggi.