KOMUNIKASI penting dalam kehidupan manusia. Tanpa komunikasi, sesuatu mesej atau maklumat tidak dapat disampaikan atau disebarluaskan.
Kepentingannya juga diakui oleh Islam. Tanpa komunikasi berkesan, agama Islam tidak akan menjadi anutan seramai 1.7 bilion penduduk dunia hari ini.
Pada masa ini, melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), komunikasi dan penyebaran sesuatu maklumat menjadi lebih berkesan.
Penggunaan teknologi internet menerusi world wide web (www) dan komponennya seperti e-mel dan IRC memudahkan kita berkomunikasi dan bertukar-tukar maklumat dengan sesiapa saja di dunia dengan pantas dan menjimatkan masa dan wang.
ICT ini dilihat sebagai suatu teknologi yang banyak memberi kelebihan kepada sosioekonomi manusia.
Ia telah menjadikan dunia hari ini sebagai sebuah perkampungan kecil, tetapi padat dengan maklumat yang boleh dicapai dengan mudah.
Sesuatu bermanfaat itu tidak ditegah oleh Islam walaupun tidak disebut secara langsung atau jelas dalam al-Quran atau hadis. Begitu halnya dengan aspek penggunaan ICT.
Mungkin bentuk komunikasi dan maklumat serta teknologi yang disebut dalam al-Quran tidak secanggih yang kita ada pada hari ini, namun, teknologi itu dimanifestasi secara tersirat.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita dengan menggunakan akal dan kepintaran kurniaan Allah untuk mereka cipta teknologi itu berdasarkan pemahaman serta pengkajian masing-masing.
Apa yang perlu kita semua awasi ialah penggunaannya mesti dalam bentuk beretika dan selaras dengan ajaran al-Quran dan sunnah.
Perkara ini bagi memastikan maklumat yang dihantar serta komunikasi yang berlaku tidak bertentangan dengan semangat yang dibawa oleh Islam.
Hakikatnya, ada segelintir pengguna ICT yang menyalahgunakan teknologi ini untuk kegiatan tidak sihat seperti menyebar surat, e-mel layang, mewujudkan laman web tidak bermoral atau blog diskusi yang menganjurkan forum yang boleh mewujudkan sentimen perkauman dalam masyarakat.
Perkara ini ditambah pula dengan kegiatan yang dilakukan oleh penggodam laman web, masalah pengintipan (eavesdropping) serta mencuri maklumat peribadi individu lain untuk penipuan.
Mungkin disebabkan terlalu ghairah untuk mewujudkan masyarakat celik ICT, maka kita terlupa untuk memasukkan aspek penggunaan ICT secara beretika dalam proses pembelajaran di sekolah atau universiti.
Begitu juga dengan proses pemantauan. Dalam hal ini, kita mungkin boleh mencontohi pendekatan yang diambil oleh China.
Ia walaupun bukan negara Islam, melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat, negara Tembok Besar ini mampu mengawal ketat laman webnya daripada dibanjiri oleh laman web lucah.
Jika menyelusuri apa yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah, kita akan menemui panduan berkaitan dengan komunikasi dan teknologi yang berkaitan dengannya. Salah satunya ialah yang berlaku pada zaman Nabi Sulaiman.
Baginda mengutus surat kepada Puteri Balqis melalui burung Hud-hud. Apa yang menarik, surat itu mengandungi nama pengirimnya iaitu Nabi Sulaiman dan dimulakan dengan lafaz yang mulia iaitu Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. (Surah an-Naml, ayat 30)
Teknologi yang digunakan hanya melalui perantara burung Hud-Hud (teknologi yang bersesuaian dengan suasana pada masa itu), namun apa yang ingin ditekankan di sini ialah aspek etika yang mana Nabi Sulaiman meletakkan namanya pada awal surat itu.
Perkara ini selaras dengan etika penulisan surat atau e-mel yang diamalkan pada masa ini. Begitu juga dengan tutur kata ketika berkomunikasi baik secara berdepan atau secara online.
Orang yang kita berhadapan walaupun dengan musuh, tutur kata kita perlu dijaga. “Nabi Musa pula ketika diarah berjumpa Firaun, diajar oleh Allah supaya menggunakan kata-kata yang lemah lembut walaupun Firaun ialah seterunya.” (Surah Taha, ayat 44).
Dalam aspek pengintipan untuk mencuri maklumat dan memaki hamun, ada larangan dalam al-Quran mengenai hal ini iaitu dalam surah al-Hujurat, ayat 12.
Jelasnya aturan dan etika ini sudah ada dalam al-Quran. Cuma umat Islam masih kurang dari segi penghayatannya.
Begitu juga dengan aspek penguasaan teknologi itu sendiri. Sebagai umat Islam, kita perlu memastikan proses komunikasi ini berterusan sampai bila-bila.
Perkara ini selaras dengan ajaran Islam, yang dilihat sebagai agama bersifat menggesa umatnya supaya berterusan menyampai mesej baik kepada sesama Muslim mahupun bukan Muslim.
Jadi, dalam konteks ini, penghayatan etika komunikasi yang baik akan menjadi pembimbing kepada setiap Muslim supaya tindakan yang diambil mencerminkan semangat yang terkandung dalam ajaran Islam.