PRASYARAT menjadi ummah terbilang dalam era moden ini adalah kekuatan mental, fizikal dan kerohanian. Sukar untuk mencapai kekuatan ini jika tidak sihat.
Atas kesedaran ini, kerajaan menunjukkan kesungguhan untuk menggalakkan budaya hidup cergas di kalangan rakyat. Pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) sebagai antara usaha membudayakan gaya hidup sihat di kalangan penduduk Malaysia.
Bagi masyarakat Islam, kempen sebegini amat relevan dan kena pada masanya. Lebih-lebih lagi, apabila melihat kepada keadaan kita yang sangat jarang memberi perhatian kepada kesihatan berbanding bangsa lain.
Contoh mudah adalah berkaitan sarapan pagi. Ramai bersetuju bahawa orang Melayu (yang sebahagian besarnya beragama Islam) tidak mementingkan sarapan pagi. Kadangkala anak mereka ke sekolah tanpa bersarapan pagi.
Perkara ini dikatakan sebagai salah satu faktor kemunduran pelajar Melayu. Umat Islam kini menghadapi cabaran yang pelbagai. Selain dituduh sebagai bangsa yang ganas, umat Islam jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang, terutama ekonomi, sains dan teknologi.
Oleh itu, sebahagian besar umat Islam di seluruh dunia hidup dalam kemiskinan dan kemunduran. Mereka lemah dalam banyak aspek kehidupan. Atas sebab ini mereka juga sering berhadapan dengan masalah kebersihan, kebuluran dan penyakit.
Kelemahan yang ditunjukkan tadi menyebabkan umat Islam kini tidak setanding dengan umat Islam terdahulu.
Umat terdahulu kuat, gagah dan perkasa. Apabila diminta untuk mempertahankan agama dan tanah air, mereka tidak segan silu menawarkan diri. Umat Islam dulu kuat fizikal dan mindanya.
Tidak hairan, banyak cabang ilmu kini yang lahir daripada kepintaran dan ketinggian ilmu masyarakat Islam dulu. Siapa yang tidak kenal dengan ilmuwan Islam seperti al- Khawarizmi, al-Khindi, al-Biruni dan al-Razi.
Kekuatan yang ditunjukkan oleh umat Islam terdahulu, ditambah pula dengan keimanan tinggi, menjadikan mereka disegani dan dihormati. Oleh itu, umat Islam kini perlu mencontohi dan mengembalikan kekuatan ummah Islam dengan memulakan satu gaya hidup sihat dan cergas.
Insan sihat dalam Islam adalah yang mempunyai kedudukan fizikal dan mental yang baik dan harmonis. Prasyarat sihat lain dalam Islam adalah mereka menjaga hubungan sosialnya dalam masyarakat. Gaya hidup sihat dan cergas bukan asing dalam Islam.
Amalan gaya hidup sihat ini terpancar dalam kegiatan harian umat Islam. Contohnya, berwuduk boleh mengurangkan penyakit yang disebabkan mikro organisme dan habuk yang melekat pada kulit, terutama bahagian muka dan rongga pernafasan.
Sembahyang lima waktu pula dikatakan boleh mengurangkan kemungkinan mendapat penyakit skizofrenia. Selain itu, amalan berpuasa terbukti dapat mengurangkan masalah tekanan, penyakit berkaitan perut, mengawal berat badan, membaiki masalah rabun dan meredakan masalah insomnia.
Kegiatan kecergasan juga sesuatu yang tidak asing dalam Islam. Islam memang menganjurkan umatnya untuk bersukan dan beriadah untuk mendapatkan tubuh badan sihat. Antara kegiatan yang pernah menjadi amalan umat Islam terdahulu adalah berlumba lari, menunggang kuda, berenang, memanah dan berburu.
Misalnya, Saidatina Aisyah pernah berlumba lari dengan Nabi Muhammad saw, terutama apabila berat badannya bertambah. Saidina Umar bin al-Khatab pula pernah berkata kepada seorang gabenor agar mengajarkan anak kecil berenang, memanah dan menunggang kuda. Islam juga sangat menitikberatkan aspek pemakanan.
Seperti diketahui, orang Islam hanya boleh makan makanan halal dan baik. Peraturan ini untuk menjaga kesihatan agar umat Islam menjadi insan bermutu tinggi. Islam sebagai agama lengkap telah mengambil kira segala aspek kehidupan daripada yang kecil hingga besar. Perkara ini supaya umatnya menjadi insan mulia, sihat dan berjaya.
Berbalik kepada keadaan di Malaysia, Abdullah ketika merasmikan MKK antara lain berkata: “Tidak guna negara mempunyai rakyat yang cerdik dan pintar, tetapi berpenyakit dan tidak sihat akibat kurang cergas. “Oleh itu, menjaga kesihatan dalam semua perkara berkaitan dengannya perlu dijadikan satu tanggungjawab kepada diri masing-masing sebagai satu budaya untuk mengekalkan kesihatan kerana tidak ada makna kalau badan kita lembik tidak sihat.”
Kenyataan Perdana Menteri itu jelas menunjukkan bahawa menjadi rakyat yang sihat dan cergas adalah faktor kritikal, terutama jika melihat kepada tahap kesihatan rakyat Malaysia.
Memetik ucapan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek pada majlis yang sama, beliau menekankan dari corak pemakanan kebanyakan rakyat Malaysia, didapati bahawa mereka kurang pengambilan bijirin, buah-buahan dan sayur- sayuran menyebabkan pengurangan serat, vitamin dan mineral dalam tubuh mereka.
Oleh itu, didapati bahawa 16 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan dan empat peratus pula mempunyai masalah obesiti.
Di kalangan orang dewasa berumur 40 hingga 55 tahun, 23 peratus menghadapi masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Akibatnya, mereka mudah diancam dengan penyakit kronik seperti lemah jantung, serangan angin ahmar, kencing manis dan pelbagai penyakit kanser.
Sebenarnya, kaitan antara pemakanan dan penyakit kronik memang tidak boleh disangkal. Mengikut kajian Persatuan Kanser Amerika, 35 hingga 70 peratus barah boleh dikesan melalui pemakanan seseorang.
Oleh itu, bagi mereka yang memandang remeh hal ini, mulalah mengubah cara hidup. Kebanyakan daripada mereka berfikir seolah-olah `hidup untuk makan’. Sedangkan cara yang betul adalah `makan untuk hidup’.
Aspek pemakanan yang baik perlu dijaga. Kita perlu mencuba untuk mencapai tahap kesihatan optimum kerana ia adalah antara faktor kejayaan diri dan penting untuk meningkatkan produktiviti.
Kejayaan mencapai tahap kesihatan optimum bagi diri sendiri secara tidak langsung akan membawa kejayaan kepada bangsa, agama dan negara.
Bagi umat Islam khususnya, aspek kehidupan sihat dan cergas mesti ditanam dan diamalkan demi menjadi seorang Muslim progresif dan dinamik. Kita tidak mahu lagi dilihat sebagai seorang yang lemah, lembik dan mudah dipermainkan dalam dunia yang serba mencabar ini.
Begitu pun, dalam usaha mencapai gaya hidup sihat dan cergas, janganlah pula lupa kepada peraturan dalam Islam.
Misalnya, jangan sampai lupa kepada ibadat, menjaga pergaulan agar tidak terlalu bebas, memelihara cara berpakaian dan jangan sampai memudaratkan diri.
Niatkan bahawa kehidupan sihat dan cergas yang ingin dicapai ini semata- mata kerana Allah dan matlamat utama kegiatan itu untuk mendapat keredaan- Nya.