Baru-baru ini dalam siaran langsung temu bual tempatan, seorang ilmuwan Islam terkenal berbangsa Amerika, Shaykh Hamza Yusuf, memuji kebaikan dan kestabilan kerajaan yang diketuai Raja berperlembagaan seperti Malaysia, sekitar perbualan mengenai pergolakan politik, anarki ganas, dan negara gagal yang hampir sering terhasil saat runtuhnya kesepakatan dalam struktur kerajaan demokrasi republik.
Sejak pemansuhan sistem Khilafah 95 tahun yang lalu pada 1924, para raja dan sultan telah menggalas beban tanggungjawab berat urusan dunia, malahan jugaagama dalam mentadbir urus Islami dan hal ehwal orang Islam, yang kini bilangannya mencecah 1.8 bilion atau 24 peratus daripada penduduk dunia.
Kehilangan tampuk kepimpinan ialah suatu malapetaka. Oleh kerana itu, ulama Ahl al-Sunnah wa-’l-Jama‘ah yang tajam penilaiannya seperti Imam termasyhur al-Juwayni (wafat 1085) dan muridnya yang gemilang Imam al-Ghazali (wafat 1111) menasihati agar rakyat tidak terjebak mencerca pemerintah, sebaliknya lebih cenderung memimpin umat menuju Tuhan dengan harapan sahsiah peribadi mereka berubah ke arah lebih baik.
Kerajaan (mulk) adalah sifat/ciri semula jadi bagi manusia. Sarjana dan tokoh persuratan Kesultanan Mamluk abad ke-14, Shihab al-Din al-Nuwayri, menceritakan dalam karyanya, Nihayat al-Arab fi Funun al-Adab (Akhir Tujuan dalam Seni Persuratan), bagaimana para malaikat memahkotakan Nabi Adam a.s. dengan “mahkota emas bertatahkan mutiara dan permata” setelah Allah a.w.j.mengajarkan baginda nama-nama segala benda (Surah al-Baqarah, ayat 31).
Nihayat merupakan sebuah karya ensiklopedia besar mengenai sejarah dunia dan kosmologi Sunni yang menonjolkan tema berulang pandangan alam Islam termasuklah ilmu pengetahuan hakikat dan kedudukan istimewa manusia sebagai khalifah di bumi dalam aturan sarwa (sekelian) alam.
Asalnya, manusia adalah semangat (ruh) yang ditiupkan oleh Tuhan (Surah Sad, ayat 72). Sebagai jiwa (nafs), ia mempunyai kekuatan selera dan kecenderungan (nuzu‘iyyah) untuk memiliki (tamalluk) yang merupakan penzahiran nama Tuhan, al-Malik (Raja Yang Maha Memiliki).
Walau bagaimanapun, Imam al-Ghazali menerangkan dalam karyanya, al-Maqsad al-Asna (Maksud 99 Nama-nama Allah), bahawa bahagian manusia yang terzahir daripada nama Tuhan itu hanyalah sebagai nisbah perbandingan; seluruh alam kejadian memerlukan Allah s.w.t. sedangkan Dia sebagai Raja Yang Maha Memiliki tidak memerlukan apa pun sesuatu.
Pemikir ulung masa kini, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, menjelaskan bahawa manusia mempunyai dwi-hakikat yang mana semangatnya terdiri daripada: 1) wajah haiwaniyyah dengannya jiwa seseorang itu mengawal peranan hayat tubuh badan dan bergerak mendapatkan santapan jasmaninya, dan 2) wajah aqliyyah dari dalamnya hati nurani (qalb) memerintah wajah haiwaniyyah.
Kesimpulannya, ilmu dan kearifan akal (‘aql) membolehkan manusia untuk mengenali hakikat sebenar dirinya dan mengawal (tamaluk) keinginan hawa nafsunya daripada melanggar batasan (hudud) yang ditetapkan oleh Tuhan. Disinilah tersimpan kemas rahsia kepimpinan yang gemilang: barang siapa mentadbir kerajaan dirinya sendiri, kelak berhasil menanggapi urus tadbir selain darinya.
“Hati nurani para raja peka dengan hal ehwal awam dan peristiwa zaman,” tulis Ibn al-Dawadari yang berbangsa Mesir, iaitu penulis ikhtisar sejarah dunia Kanz al-Durar (Khazanah Mutiara).
Dengan berhujah bahawa Tuhan-lah yang mengurniakan kebolehan kepada raja-raja untuk memahami keperluan rakyat, Ibn al-Dawadari menyebut, “Kerana itulah Allah mempertanggungjawabkan mereka dengan menguruskan kehidupan manusia. Sekalian mereka melihat peristiwa zaman dari sebalik tirai yang jarang lagi nipis dan memperolehi keredaan Allah dengan mengikuti dasar yang berpandukan kebenaran.”
Shahanshah (Raja segala raja) Parsi abad ke-6, Anushirwan, pernah meminta nasihat daripada wazirnya, Bazrajamhar, demi kesejahteraan negara baginda dan kelangsungan kerajaannya. Lantas, beliau merumuskan nisbah kedudukan raja dalam aturan sarwa alam:
Dunia laksana taman, pagarnya ialah kerajaan; kerajaan laksana wilayah,
Perundangannya ialah raja; raja laksana gembala, tentera menyokongnya;
Tentera laksana bantuan, kekayaan mendirikannya; kekayaan laksana
makanan, rakyat mengumpulkannya; rakyat laksana kakitangan, keadilan
menundukkannya; dan keadilan laksana sara hidup, dengannya tertegaklah dunia.
Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sepotong hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim: “Setiap kamu adalah gembala dan setiap gembala dipertanggungjawabkan dengan gembalaannya.” Senada dengan itu, hati nurani adalah gembala dan anggota badan ialah gembalaannya, manakala sultan adalah gembala dan sekalian hamba Allah ialah gembalaan baginda.
Penyair dari Andalusia abad ke-10 dan penulis al-‘Iqd al-Farid (Untaian Tiada Bertara), Ibn ‘Abd Rabbih mengatakan, “Raja adalah pemegang kuasa, pengawal atur hak dan tuntutan, tulang belakang yang mendukungi hukum Tuhan, dan paksi padanya berputar segala urusan agama dan dunia. Baginda adalah perlindungan Allah di wilayahnya, dan bayangan Tuhan yang meliputi rakyatnya; melaluinya baginda menegah yang haram, menolong yang tertindas, menggagahi yang zalim, dan melindungi yang lemah.”
Tentunya, permata-permata hikmah zaman terdahulu wajar difikirkan dengan pertimbangan teliti, seraya kita melahirkan kegembiraan bersempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. “Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan; Raja kita selamat bertakhta.” Daulat Tuanku!