Dalam Laporan Audit Ketua Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan baru-baru ini ada menyentuh berkaitan Program Skim Latihan 1Malaysia (SLIM). Program yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2011 ini mempunyai objektif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan bagi mendapatkan pekerjaan. Salah satu penambahbaikan yang boleh dilakukan berdasarkan laporan audit tersebut adalah dengan mengemas kini aktiviti pengumpulan data pencapaian sebenar graduan yang dilatih menerusi dalam SL1M.
Dengan objektif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, impak mana-mana program seumpama ini sangat perlu diukur dan dikaji demi kebaikan masa hadapan. Jika tidak, Malaysia akan terus menghadapi cabaran untuk mengenal pasti punca sebenar dan menangani permasalahan penempatan pekerjaan bagi golongan muda.
Sebagai contoh pada hari ini, daripada lebih 500,000 penganggur di Malaysia, kumpulan umur belia di antara 15–24 tahun mencatatkan jumlah tertinggi. Hal ini menunjukkan keadaan bahawa golongan muda sukar mendapat pekerjaan. Dari segi latar belakang pendidikan pula, penganggur yang mempunyai pendidikan tertiari adalah lebih ramai daripada golongan yang tiada pendidikan tertiari. Begitu juga dikatakan bahawa graduan menganggur ini juga lebih ramai yang terdiri daripada kumpulan B40.
Masyarakat pula sering dihidangkan dengan alasan bahawa graduan tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, memilih pekerjaan dan tiada pengalaman kerja menyebabkan mereka tidak mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan. Sebaliknya, jika adanya aktiviti pengumpulan data mengenai program-program berkaitan meningkatkan kebolehpasaran graduan yang baik, kita boleh mencadangkan jalan keluar kepada permasalahan pekerjaan golongan muda berbanding saling menunding jari kepada mana-mana pihak.
Mengalami pengangguran tinggi dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi berbanding yang tidak berpendidikan tinggi bukanlah satu perkara yang baik. Apatah lagi apabila trend ini dialami Malaysia sejak beberapa tahun. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa pasaran buruh di Malaysia tidak menawarkan tempat kepada pekerja berkemahiran tinggi. Bagaimana cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju jika kemahiran tinggi dan kepakaran bidang bukanlah sesuatu yang ditekankan?
Pekerjaan adalah peluang utama bagi individu untuk menyara kehidupannya. Usaha untuk mendapatkan pendapatan ini adalah satu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Dalam kitab Al- Kasb karya Al-Imam Muhammad Ibnu Al-Hassan Al-Syaibaniada menceritakan bahawaUmar al-Khattab misalnya menyebut bahawa mati di atas pelana unta ketika perjalanan mencari kurniaan Allah SWT adalah lebih disukainya berbanding terbunuh ketika berjuang demi Allah SWT.
Dalam kitab yang sama juga menyebut tentang kisah Nabi Muhammad SAW berjabat tangan dengan Saʿd ibn Muʿadh dan mendapati tangannya melepuh dan mengeras. Ditanya mengenainya Saʿd ibn Muʿadh mengatakan bahawa beliau menggali tanah untuk menanam kurma dengan penyodok dan cangkul bagi menyara keluarga. Lalu baginda SAW mengatakan bahawa dua telapak tangan itu dicintai oleh Allah SWT.
Begitulah tingginya nilai bekerja demi menyara diri dan keluarga tanpa melihat kepada jenis pekerjaan tersebut selagi mana ia halal. Dalam konteks semasa para graduan yang masih belum mendapat pekerjaan yang setimpal hendaklah tidak berputus asa dalam mencari pekerjaan idaman. Pekerjaan sementara yang dilakukan sekarang mungkin hina di mata masyarakat namun sangat besar maknanya di sisi Allah. Walaupun nilai upah mungkin sedikit, namun usaha ini sangat dihargai dan dicintai Allah SWT. Justeru, hendaklah anak-anak muda ini menjauhi rasa kecewa dan putus asa. Sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dan sentiasa berdoa untuk kebaikan masa hadapan.
Malaysia sebenarnya mempunyai sumber modal insan yang mewah dan terbaik. Tanpa menafikan bahawa ada sebahagiannya masih boleh diperbaiki, secara keseluruhannya sumber modal insan kita bersedia untuk bekerja dari peringkat bawah dengan gaji yang sederhana. Merujuk laporan kajian “School to Work Transition Survey” oleh Khazanah Research Intitute (KRI) yang dikeluarkan pada tahun lalu, anak-anak muda yang mencari pekerjaan meletakkan sasaran gaji mereka sekitar RM1715 sebulan berbanding dengan anggaran oleh majikan iaitu di antara RM2400–RM3000 sebulan. Perkara ini menunjukkan bahawa bukan semua anak muda terutama para graduan bersikap memilih pekerjaan mereka.
Justeru, dalam hal ini, adakah sebenarnya majikan yang enggan memberi upah yang setimpal dengan kelulusan? Ataupun sebenarnya, Malaysia masih lagi menumpu dan menekankan perhatian kepada industri yang menggunakan kemahiran sederhana dan rendah? Penumpuan kepada keuntungan bersifat jangka pendek akan menyebabkan kita selesa berada dalam “mod selamat”. Sedangkan realitinya dunia semakin berubah, generasi muda pula semakin dihimpit derita sekiranya kita tidak membuat pilihan yang terbaik pada hari ini.
Program-program meningkatkan kebolehpasaran graduan seharusnya bertindak seperti serampang dua mata. Selain menyediakan platform meningkat kemahiran graduan, program ini seharusnya mengumpul data-data berkaitan secara berpusat dan cekap untuk dijadikan panduan dalam menangani masalah yang sama pada masa akan datang.
Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada anggapan masyarakat dan pengalaman majikan dalam memberi justifikasi kepada pengangguran tinggi para graduan. Sesuatu yang lebih tuntas perlu dikenal pasti dengan lebih tepat dalam isu ini. Dapatan dalam laporan audit yang dikeluarkan tentang program meningkatkan kebolehpasaran graduan seperti SL1M misalnya perlu dijadikan panduan kepada program seumpama pada masa yang akan datang.
Bagi masyarakat awam, kita mempunyai tanggungjawab bersama-sama untuk menyokong anak-anak muda dalam pekerjaan mereka. Sebagai keluarga, usah malu jika anak tidak bekerja mengikut kelulusan. Sebagai majikan, bayarlah upah yang setimpal dengan tugasan kerja anak-anak muda dan sediakan platform untuk mereka meningkatkan kemahiran.
Sebagai anak muda, andalah yang paling bertanggungjawab untuk berusaha mencari pekerjaan yang baik, berdisiplin ketika bekerja, setia, sentiasa ingin meningkatkan kemahiran, bersabar dalam bekerja, mengurus kewangan dengan baik dan sentiasa sedar akan sokongan yang diberikan oleh keluarga, majikan dan negara.