Apabila berbicara tentang politik, ramai yang menyamakannya dengan pemilihan pemimpin dan politik kepartian semata-matanya. Sebenarnya, politik ditakrifkan sebagai sebarang aktiviti berkaitan pentadbiran sesebuah negara terutamanya proses persaingan untuk mendapatkan kuasa mentadbir oleh individu atau kumpulan. Politik juga merangkumi proses bagaimana kuasa pentadbiran ini digunakan oleh mereka yang mendapat kuasa. Justeru, seseorang pemimpin atau pun kelompok pemimpin seharusnya menyedari bahawa kuasa politik yang diperolehi dan yang diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi, perlu digunakan bagi mencapai matlamat-matlamat tertentu. Bagi pemimpin umat Islam, kuasa politik mestilah memenuhi objektif-objektif syariah atau pun maqasid syariah. Tujuan atau matlamat sesuatu undang-undang Islam adalah untuk memelihara kehidupan manusia di muka bumi ini dengan aman dan teratur, memastikan manusia berlaku adil dengan ketinggian moral dan integriti serta melakukan perubahan yang perlu dengan perancangan yang terbaik. Justeru, politik juga haruslah memenuhi tuntutan-tuntuan maqasid ini agar kebaikan dari undang-undang dan peraturan yang bernaung di bawah prinsip Islam dapat dinikmati oleh bukan sahaja umat Islam tetapi juga oleh manusia secara keseluruhan. Dari situlah keadilan Islam akan terselah.
Pemeliharaan agama adalah satu keutamaan dan ianya bukan sahaja dinilai dari aspek menegakkan hukum-hukum agama tetapi juga merangkumi usaha memelihara aqidah dan imej Islam itu sendiri. Pemerintah harus menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memastikan bahawa Islam dijamin kedudukannya dan tidak dilabel dengan penilaian negatif dan dicemuh. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan bahawa sebarang bentuk ancaman kepada aqidah umat Islam juga ditangani dengan sebaiknya menggunakan kuasa yang ada pada mereka. Ancaman kepada aqidah umat Islam tidak harus diperlekehkan oleh mana-mana pemimpin Islam yang lain hanya disebabkan perbezaan parti atau pandangan politik semata-mata.
Selain daripada pemeliharaan agama, pemeliharaan akal juga merupakan satu aspek penting di dalam mencapai matlamat syariah. Tanggungjawab pemimpin dan pemerintah adalah menyuburkan minda masyarakat dengan informasi-informasi yang mampu membentuk mereka agar menjadi lebih cemerlang dan terdidik. Kelemahan umat Islam juga akan dapat dilihat menerusi budaya-budaya politik yang tidak sesuai dengan syariah dan merosakkan minda manusia. Penyebaran maklumat yang menimbulkan kebencian melampau, mengaibkan dan berasaskan fitnah serta buruk sangka akan menjadikan minda umat Islam semakin lesu dan bercelaru. Adalah menjadi keperluan mewujudkan kefahaman tentang pentingnya memelihara Islam dan akal manusia mengatasi kepentingan politik kepartian dan persaingan merebut kuasa semata-mata.
Maqasid syariah juga merangkumi usaha pemeliharaan kehidupan manusia, keturunan dan harta benda. Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada nyawa manusia. Sebarang bentuk tindakan yang membawa kepada perbuatan mensia-siakan nyawa manusia adalah ditegah. Pemerintah harus memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyatnya dipelihara. Ini termasuklah memastikan keamanan dan kesejahteraan negara agar membawa kepada kemakmuran dan kemajuan negara demi kelangsungan generasi yang akan datang.
Permusuhan dalam berpolitik di kalangan umat Islam wajib dielakkan, lebih-lebih lagi jika kuasa politik itu dijadikan punca perpecahan serius di kalangan umat Islam. Perkara ini telah digariskan oleh Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran, ayat 103,
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Secara keseluruhan, keadilan dan keindahan Islam itu akan dapat dilihat apabila umat Islam dapat bersatu atas perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhan. Walaupun terdapat perbezaan dalam kaedah memenuhi maslahah ini namun jika musyawarah dijadikan medan persetujuan terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan kedaulatan Islam dan pencapaian matlamat-matlamat syariah, seharusnya ia dialu-alukan. Umat Islam perlu melihat kepentingan untuk duduk semeja dan berbincang kerana mempunyai asas ikatan yang paling kukuh iaitu aqidah dan ukhuwwah Islam. Ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran:
Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan shalat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka. (Surah As Syuura: 38)
Pencapaian menyeluruh maqasid syariah hanya akan dapat direalisasikan apabila suara umat Islam itu kuat. Di Malaysia, aspek ini penting kerana dimensi masyarakat majmuk dalam negara ini memberi ruang untuk pihak lain menangguk di air keruh hasil dari persengketaan berterusan umat Islam.
Kematangan berpolitik juga bergantung kepada sejauh mana pihak-pihak yang bertelagah boleh bersetuju dan berlapang dada apabila dikritik. Kekuatan umat Islam akan terjelma apabila perbezaan pendapat yang sedia ada tidak dijadikan alasan untuk bermusuh. Perbezaan dan perselisihan pendapat itu adalah lazim tetapi tidaklah sehingga mendatangkan mudharat kepada agama, kehidupan dan akal manusia. Islam dan umat Islam akan dilihat lemah kerana gagal menyatukan kelompok yang bertelagah ini walaupun berkongsi aqidah yang sama.
Sememangnya, Islam adalah agama yang amat mementingkan keadilan dan kesaksamaan. Nikmat Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin akan dapat dirasai jika kedua-dua aspek ini dijelmakan dalam tindak-tanduk dan perlakuan umatnya. Dalam politik, walaupun elemen perebutan kuasa itu adalah biasa dalam mana-mana sistem politik dunia, pemimpin politik haruslah jelas akan matlamat sebenar kepada kuasa yang ingin dicapai. Kaedah bagi mendapatkan kuasa juga adalah penting dan wajib disandarkan kepada asas-asas akhlak dalam Islam. Justeru itu, umat Islam sendiri perlu menilai sejauh mana percaturan dan keputusan politik yang diambil itu memenuhi matlamat sebenar syariah. Bak kata pepatah, jangan sampai ‘menang sorak, kampung tergadai’.