Hari ini masuk hari ke-24 umat Islam mengerjakan ibadah puasa dan hari ini Jumaat terakhir dalam bulan Ramadan sebelum kita menanti fajar Syawal menyinsing. Jika diimbau semula, Ramadan kali ini menyaksikan pelbagai peristiwa menyayat hati berlaku yang mencabar kesabaran dan ketabahan umat Islam sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Ramadan mengajar umat Islam untuk bersabar dengan mendisiplin dan memelihara diri daripada melakukan perkara tertentu dalam jangka masa yang telah ditentukan. Pelanggaran yang dilakukan semasa berpuasa menyebabkan kita gagal mencapai penyempurnaan puasa.
Istimewanya, hanya diri kita sendiri yang akan menentukan sama ada kita telah berjaya atau gagal dalam melaksanakannya. Dan ini menuntut ketelusan diri sendiri dan kekuatan akidah terhadap Allah s.w.t.
Bersama-sama ibadah lain iaitu solat, zakat dan haji, berpuasa adalah ibadah yang diwajibkan dengan matlamat mempersiapkan diri insan agar bersedia memikul satu tugas yang sangat penting, iaitu jihad. Menurut Ibn Rushd, jihad bermaksud perjuangan yang menyeluruh setiap umat Islam dengan menggunakan kemampuan yang ada, baik dalam bentuk pemikiran, amal, penyampaian ilmu, semangat, keberanian, kesabaran ketika sukar termasuklah pengorbanan harta benda demi menegakkan agama Allah.
Jihad penting untuk memelihara akidah, syariah dan sistem hidup Islam daripada dicerobohi dan dimusnah. Tujuan jihad adalah untuk memberikan kebebasan yang sempurna bagi setiap manusia di seluruh dunia; jihad membebaskan manusia daripada perhambaan kepada hawa nafsu dan ia digantikan dengan pengabdian sebenar iaitu memperhambakan diri kepada Allah yang Maha Esa.
Gempa bumi yang berlaku di Pakistan hampir tiga minggu lalu memang meruntun hati nurani kita. Apatah lagi dalam keadaan mereka adalah saudara seagama yang sedang sama-sama menjalankan ibadah puasa. Kita melihat mereka mendirikan solat secara berjemaah di celah-celah runtuhan bangunan masjid.
Solat yang didirikan itu membuktikan bahawa mereka menerima takdir dengan tabah, sabar dan redha. Dengan amalan berpuasa yang dilaksanakan pada setiap tahun, umat Islam telah dilatih untuk bersabar dengan rasa lapar dan letih tersebut. Apabila dugaan Allah menimpa, maka latihan yang selama ini dijalani dapat dilaksana.
Menegakkan agama Allah adalah supaya kita dapat melaksanakan ibadah dengan aman dan sejahtera. Apabila kita dibelenggu kemiskinan maka suatu jihad untuk kita menggunakan segala kemampuan yang dimiliki bagi membina kekayaan bangsa dan umat Islam.
Serangan berani mati yang berlaku di Bali beberapa hari sebelum kedatangan Ramadan sehingga membunuh 26 orang, barangkali dianggap oleh kumpulan yang terlibat sebagai suatu jihad yang memberi jaminan kepada pelakunya untuk masuk ke dalam syurga.
Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz mengulas tindakan ini hanya sebagai melengkapkan para pengkhianat dengan hujah untuk memfitnah Islam dan orang Islam.
Kita sudah tentu tertanya-tanya apakah agaknya hujah yang membenarkan tindakan ini? Sedangkan ia terang-terangan mengguris hampir keseluruhan umat Islam di dunia. Fatwa pengeboman berani mati yang berlaku di Palestin dikeluarkan oleh tokoh ulama dengan sangat berhati-hati dan hanya ditujukan kepada rakyat Palestin.
Selanjutnya Sheikh Al-Azhar, Dr. Mohammad Sayed Tantawi pula mengeluarkan fatwa bahawa meletupkan diri itu bukan ajaran Islam, apatah lagi ia berlaku di persekitaran yang dihuni oleh orang Islam.
Dalam mencari kepastian mengenai sesuatu hukum, khilaf yang berlaku di kalangan ulama dahulu pun dilakukan secara berhemah dan tidak menyinggung perasaan mujtahid yang lain.
Sebagaimana jawapan Imam Abu Hanifah kepada pertanyaan anak muridnya, apakah fatwa yang dibuat oleh beliau itu satu kebenaran dan tidak ada keraguan padanya, beliau sekadar menjawab, “Demi Allah, saya tidak tahu. Mungkin boleh berlaku kebatilan (kesilapan)”.
Begitu juga yang dilakukan oleh Imam Shafi’i apabila beliau tidak membaca qunut dalam solat Subuh sebagai meraikan pendapat Imam Malik sewaktu menziarahi pusara gurunya itu.
Serangan berani mati nyata sangat melukakan hati umat Islam kerana pelakunya telah mengheret saudara mereka sendiri untuk sama-sama menanggung kecaman orang lain sedangkan tidak ada sekelumit pun redha di hati sebahagian besar umat Islam termasuklah negara kita yang turut mengecam perlakuan ini.
Tentunya mereka mempunyai alasan tertentu untuk menghalalkan tindakan ini, termasuklah bagaimana mereka mentafsir dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang menganjurkan perdamaian dan syarat-syarat tertentu untuk melancarkan peperangan.
Apa pun hujah mereka ini barangkali ada baiknya kita belajar daripada kesilapan masa lalu dalam sejarah umat Islam. Kumpulan Khawarij adalah kumpulan yang berani mati dalam tindakan dan perjuangan mereka. Setelah usaha mereka untuk membunuh Muawiyah menemui kegagalan maka kumpulan ini berpecah kepada beberapa golongan lain termasuklah kumpulan yang dikenali sebagai al-Azariqah.
Kumpulan yang dipimpin oleh Nafi’ bin al-Azraq ini mempunyai pengikut yang paling ramai berbanding kumpulan-kumpulan Khawarij yang lain seperti al-Najdah, al-Safariyah dan al-Ibadhiyah.
Oleh sebab mereka terlalu banyak melakukan serangan, maka akhirnya Nafi’ sendiri terbunuh dan tentulah kumpulan ini menjadi kumpulan yang sangat lemah dan akhirnya terkubur.
Pengajaran yang kita boleh dapati di sini, jihad bukan semata-mata bersandarkan kepada semangat dan juga modal. Ilmu yang digarap dengan kebijaksanaan juga sangat penting bagi memastikan jihad itu merupakan tindakan yang memiliki strategi yang baik.
Bersabar dalam berjihad pula akan menjadikan kita dapat mengawal diri daripada melakukan tindakan-tindakan yang emosional yang merugikan agama dan umat Islam, seterusnya kita dapat membuat tindakan yang rasional, praktikal dan bermanfaat kepada agama dan masyarakat sekeliling.
Maka, menyabarkan diri untuk berlaku tenang atas musibah yang dihadapi disebabkan kehilangan orang tersayang, harta benda dan apa juga perkara yang berharga juga sebenarnya suatu jihad yang mulia di sisi Allah. Selaras dengan maksud firman Allah dalam Surah asy-Syams, ayat 7-10:
Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)”.