Pengurusan bagi individu yang berada dalam spektrum autisme di negara ini memerlukan pengwujudan satu sistem berkaitan perekodan dan pengumpulan data golongan tersebut. Maklumat yang ada itu akan dapat menentukan hala tuju yang melibatkan penyediaan pelbagai kemudahan yang lebih baik kepada mereka agar masa depan mereka menjadi lebih terjamin dan terpandu.
Masyarakat kita masih belum lagi memiliki satu sistem pengumpulan data yang kukuh berkaitan golongan ini mengakibatkan kesukaran untuk memahami peranan mereka pada peringkat kebangsaan dan negara, serta menjalankan usaha membantu mereka. Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab dalam pengurusan sistem maklumat dan perekodan golongan ini? Adakah ia akan diuruskan oleh individu tertentu, golongan ibu bapa, NGO, ataupun pihak kerajaan dan pemerintah? Isu ini mungkin perlu di wacana kan secara akademik, kerana ia melibatkan golongan manusia berpotensi tinggi dipupuk demi menyumbang kepada pendapatan dalam negara.
Terdapat keperluan untuk mewujudkan sistem pangkalan data yang lebih bersepadu untuk golongan ini atas beberapa faktor. Pertama, mereka merupakan golongan berkeperluan khas pendidikan dan termaktub secara Perlembagaan. Kedua, walaupun diiktiraf sebagai golongan OKU, namun mereka berbeza dari segi penampilan dan mempunyai keperluan tersendiri berbanding OKU fizikal dan mental lain. Ketiga, keunikan yang dimiliki mereka mampu menandingi dan mengatasi kelompok individu normal, dan kekuatan tersebut sering kali terabai akibat kekurangan yang ditonjolkan secara berlebihan. Keempat, sistem perekodan sedia ada seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat amat terhad, hanya bagi tujuan pendaftaran golongan OKU sahaja. Kelima, kewujudan sistem perekodan yang lebih bersepadu amat perlu untuk dibangunkan dengan mengambil kira ciri-ciri keselamatan dan perlindungan hak peribadi, sistem sokongan latar belakang bioinformatik serta boleh diakses secara melangkaui sempadan agensi berkepentingan. Keenam, kewujudan sistem data yang sistematik ini bukan sebagai satu bentuk diskriminasi atau menafikan golongan OKU lain, sebaliknya bertujuan membawa golongan ini kepada satu tahap yang lebih adil dan saksama dalam membina masyarakat dan negara membangun. Ketujuh, pengiktirafan kepada golongan ini sebagai sumber tenaga manusia yang mampu menyumbang kepada pendapatan negara berdasarkan kepada keunikan mereka.
Perspektif perubatan melihat autisme sebagai sejenis gangguan perkembangan saraf yang berlaku sejak lahir. Gangguan terhadap sistem perkembangan yang berlaku menjejaskan fungsian individu terbabit dari segi pemikiran, tingkah laku serta personaliti. Namun, tidak semua individu yang memiliki gangguan autisme memiliki gejala sama, kerana setiap perkembangan mereka adalah sangat unik dan tersendiri. Gangguan ini memiliki spektrumnya masing-masing dan setiap mereka dilahirkan dengan ciri kekuatan dan keupayaan tersendiri, malahan keupayaan mereka itu kadang-kadang tidak terjangkau oleh pemikiran manusia normal.
Spektrum autisme menunjukkan perbezaan dan keunikan dalam kalangan golongan ini. Contohnya, ada yang mempunyai tahap IQ yang lebih baik dengan purata skor lebih tinggi sehingga mengatasi kemampuan individu normal lain. Walaupun terdapat kekurangan dalam beberapa aspek fungsian, seperti kemampuan berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial, namun kekuatan yang ada perlu diraikan, malah perlu diperkukuhkan lagi. Ini kerana ia berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan produktiviti individu, keluarga serta meningkatkan peranan sumber tenaga manusia kepada negara.
Jika ditinjau secara saintifik, gangguan autisme ini juga berkaitan sebagai satu gangguan genetik. Ia terbukti apabila terdapat beberapa orang ahli keluarga yang turut mempunyai sejarah sama atau mengalami beberapa jenis gangguan psikiatri. Walaupun secara rasminya ia dinyatakan sebagai sejenis gangguan genetik dan biologi, namun rawatan seperti terapi gen masih belum lagi berjaya dibangunkan pada masa ini.
Manakala kadar prognosis gangguan ini pula adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap keseriusan gangguan dialami, jenis serta kualiti intervensi yang diterima. Walaupun tiada ubat atau rawatan dapat menyembuhkannya, namun keadaan ini masih boleh dibantu. Mereka disarankan agar dapat meneruskan proses pemulihan dan intervensi demi kehidupan yang lebih baik. Kaedah pemulihan serta intervensi awal telah terbukti dapat meningkatkan peratus pemulihan dan fungsian mereka. Bergantung kepada tahap keseriusan dialami serta jenis dan kualiti pemulihan diterima, golongan tersebut sebenarnya terbukti mampu berdikari, bekerja, serta memiliki keluarga sendiri.
Tahap IQ pula turut berperanan dalam aspek pemulihan mereka. Keupayaan mental yang baik akan digunakan sepenuhnya sebagai satu mekanisme yang boleh membantu individu tersebut memperbaiki kekurangan diri. Ini kerana individu autistik bukanlah seorang yang terencat akalnya. Walaupun isu utama gangguan adalah tertumpu kepada aspek komunikasi dan interaksi sosial, keupayaan IQ mereka merupakan satu kelebihan. Proses pemulihan akan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai dengan keupayaan IQ mereka agar lebih berkesan dan matlamat pemulihan tercapai sebaiknya.
Semua maklumat yang dinyatakan amat penting dalam usaha untuk merangka sistem pengurusan maklumat dan rekod bersepadu golongan ini. Sistem rekod bersepadu akan memberi panduan kepada kerajaan dan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk merangka dasar berkaitan serta penyediaan kemudahan yang lebih mesra, khususnya dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan kesihatan.
Tindakan ini merupakan langkah awal dalam menyediakan prasarana yang baik untuk mereka. Hakikatnya, layanan yang baik kepada golongan berkeperluan khas ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W sejak 1400 tahun yang lalu, kerana golongan OKU telah wujud ketika itu sama ada sejak lahir, ataupun akibat peperangan. Siapa yang tidak kenal dengan sahabat Baginda, Abdullah bin Ummi Maktum, seorang yang buta matanya.
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, apabila Jibril datang kepada Rasulullah yang ketika itu Ibnu Ummi Maktum sedang bersama Baginda. Rasulullah lalu bertanya, “Sejak bilakah pandangan mu buta? Jawabnya, “Sejak aku kecil.”Rasulullah berkata, “Firman Allah “Jika AKU mengambil suatu kemuliaan seorang hamba, nescaya AKU tidak akan memberi dia pengganti selain pahala syurga”.
Amat besar sekali ganjaran dan penghormatan yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada golongan OKU ini. Ini satu contoh teladan yang ditunjukkan oleh ajaran Islam agar penganutnya tidak mengabaikan golongan ini kerana ganjaran baik menanti amalan mulia yang kita lakukan.