Rencana Pengarang
CADANGAN Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim supaya rujukan kepada Common Law (undang-undang lazim) Inggeris dimansuhkan bukan saranan baru.
Beberapa Ketua Hakim Negara sebelum ini termasuk Tun Hamid Omar dan Sultan Azlan Shah pernah mengetengahkan pandangan supaya Malaysia mempunyai Common Law acuan sendiri.
Pernah juga jawatankuasa khas ditubuhkan untuk memikirkan kaedah membangunkan Common Law ala Malaysia sesuai dengan status satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Malah isu itu diperjuangkan oleh Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim sehingga ke akhir hayat beliau. Malangnya impian untuk melihat sistem perundangan di negara ini berada di landasannya sendiri tenggelam begitu sahaja sehinggalah ia dibangkitkan semula kelmarin.
Kita masih terus berkiblatkan Common Law Inggeris sedangkan produk itu dicipta tanpa mengambil kira ciri-ciri tempatan menyebabkan pemakaiannya selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan dilihat amat janggal sekali.
Bukankah dengan mempunyai sistem Common Law sendiri akan membolehkan perundangan kita termasuk kaedah perbicaraan disesuaikan dengan amalan rakyat negara ini yang berteraskan agama, budaya dan sosioekonomi sendiri.
Persoalannya apakah kita atau sampai bilakah kita masih perlu terus bergantung kepada produk yang berbeza tamadunnya itu dalam proses memartabatkan undang-undang negara di masa depan?
Adakah kita akan dihormati jika meneruskan pemakaian undang-undang itu atau seperti yang ditegaskan oleh Ahmad Fairuz, senario itu menggambarkan minda pengamal undang-undang di negara kita yang masih dijajah.
Kita tidak menafikan ada hakim-hakim yang telah memilih untuk tidak mengguna pakai Common Law Inggeris sebaliknya membuat keputusan berasaskan kehendak (sesuai dengan) hal keadaan setempat.
Namun cengkaman Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 yang masih kekal dalam perundangan kita menyebabkan rujukan terhadap Common Law Inggeris masih menjadi keutamaan kecuali di kalangan barisan hakim yang prihatin.
Hakikatnya tugas untuk mewujudkan Common Law ala Malaysia bukan terletak di bahu pengamal undang-undang dan mahkamah sahaja. Malah kedua-dua pihak itu jelas tidak cukup untuk menjadi pembentuk acuan kepada undang-undang yang komprehensif berlandaskan nilai, sejarah serta keperluan masyarakat setempat.
Jalan yang paling berkesan ialah memansuhkan terus Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil supaya Common Law Inggeris tidak terus-terusan dijadikan sumber rujukan di kalangan para hakim.
Negara mempunyai undang-undang syariah dan undang-undang adat yang selayaknya diadun untuk melahirkan Common Law Malaysia, justeru kita tidak boleh berleka lagi sebaliknya bersegera memartabatkan perundangan sendiri.