Kegawatan yang melanda dunia moden pada hari ini dari segi penyelewengan moral benar-benar menguatkan lagi konsep dan penghayatan akhlak mulia seperti yang dianjurkan oleh agama. Mengamalkan nilai-nilai moral yang baik menurut ajaran agama kadang-kadang diambil mudah dan diremehkan oleh masyarakat manusia, terutamanya di dunia Barat yang memandang agama sebagai sesuatu yang tidak relevan dengan masyarakat moden, masyarakat industri dan saintifik.
Melihat kepada kerendahan tahap penghayatan moral manusia pada hari ini, yang membawa kepada keruntuhan nilai hidup dan tamadun manusia itu sendiri, ternyata bahawa agama sememangnya membawa peraturan dan sistem hidup yang amat komprehensif untuk mewujudkan masyarakat manusia yang bermoral dan bermaruah.
Baru beberapa hari yang lalu kita membaca tentang perilaku manusia di dalam masyarakat maju yang amat jauh menyimpang dari fitrah dan tabiat kejadian manusia seperti yang dikehendaki Allah S.W.T. Di negara Inggeris seorang menteri membuat pengakuan bahawa ia adalah seorang bekas gay, iaitu lelaki yang mengamalkan seks sama sejenis atau homoseksual. Perdana Menteri negara tersebut pula telah bertindak mempertahankan menterinya dengan mengatakan bahawa pengakuan tersebut tidak menimbulkan sebarang isu perletakan jawatannya dari kerajaan.
Dalam masa yang sama kita juga membaca tentang protes dan bantahan yang dibuat oleh para pemimpin agama di Perancis terhadap cadangan kerajaan untuk memberi hak yang lebih meluas kepada para pengamal homoseksual di negara tersebut. Undang-undang yang dicadangkan untuk diluluskan oleh parlimen itu akan memberi lebih banyak hak perundangan dan pengiktirafan kepada pasangan homoseksual.
Yang amat menarik di dalam bantahan ini ialah gabungan para pengikut berbagai agama, iaitu yang mewakili golongan Roman Katolik, Islam, Protestant dan Yahudi sama-sama mengemukakan bantahan dengan menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran di Paris pada 8 November yang lalu, iaitu sehari sebelum pengundian dijalankan di parlimen bagi meluluskan rang undang-undang tersebut.
Kemelut yang menimpa masyarakat negara maju ini sebenarnya merupakan dilema manusia sendiri yang cenderung untuk bertindak menyalahi tabiat dan kejadian fitrah mereka. Sikap pragmatik negara-negara Barat yang merasakan bahawa amalan seks luar tabie seperti homoseks ini merupakan satu amalan yang sihat dan harus diterima umum atas dasar kebebasan dan hak asasi manusia, memberikan inspirasi kepada mereka untuk mempertahankannya. Maka atas dasar inilah maka homoseksual dan para pengamalnya harus diberikan perlindungan dan hak undang-undang yang sesuai.
Hal ini jelas membayangkan pertelingkahan dan pertentangan yang nyata bagi falsafah dan amalan masyarakat sekular dan masyarakat beragama yang masing-masing dipertahankan oleh kedua-dua belah pihak tanpa berusaha mencari penyelesaian yang baik.
Akibatnya berlakulah apa yang kita saksikan seperti yang tersebut di atas, iatu para pimpinan sendiri merupakan orang-orang yang mengamalkan kehidupan seks di luar tabie yang menjijikkan itu.
Kalau hal ini merupakan satu ukuran terhadap masyarakat maju yang ada pada hari ini, maka dalam masa yang tidak begitu panjang, mungkin masyarakat negara-negara lain juga akan meneladani dan mengikutinya, memandangkan kepada kenyataan bahawa negara-negara yang sedang membangun sekarang ini juga sedang berusaha untuk menjadi negara maju, maju dalam bidang ekonomi, perindustrian dan sains teknologi.
Maka dalam konteks inilah, termasuk dalam konteks penyelewengan moral yang amat parah yang telah dan sedang berlaku di dunia Barat, kita melihat bagaimana agama merupakan satu tenaga dan ramuan yang amat relevan dan penting dalam menghadapi zaman-zaman mendatang. Manusia yang kelihatan lebih buas dan amat rakus menurut nafsunya tidak akan dapat disekat dan dihalang lagi dalam melakukan semua penyelewengan itu kecuali dengan penghayatan agama yang kuat dalam dirinya.
Bagaimanapun menyentuh tentang penyelewengan moral ini ianya membawa kita ke daerah yang lebih luas dan skop yang lebih lebar lagi tentang persoalan ini. Tingkah laku permusuhan dan kelakuan tidak bermaruah dalam masyarakat juga merupakan penyelewengan moral yang berlaku secara meluas dan berleluasa dalam masyarakat manusia. Hilang sifat malu, budaya kasar dengan maki hamun, tuduh menuduh, tidak menghormati orang lain juga amat berleluasa dalam masyarakat.
Kalau di atas telah ditegaskan bahawa penghayatan agama merupakan penawar nafsu manusia dalam sebarang penyelewengan moral, maka pembuktian dan pengesahannya haruslah diketengahkan, terutamanya dalam masyarakat Islam sendiri dalam bentuk pertanyaan apakah benar pengajaran dan nilai agama dalam masyarakat kita telah benar-benar dihayati dan mampu membentuk masyarakat kita yang bersih dan bermoral.
Hal ini perlu ditimbulkan kerana masyarakat Islam di kebanyakan negara Islam tidak dapat membuktikan penghayatan kukuh agama, kerana di negara-negara tersebut sering berlaku penyelewengan moral yang menggambarkan penyakit masyarakat yang dialaminya akibat dari kejahilan ilmu pengetahuan, kemiskinan dan kebuluran akibat dari keadaan ekonomi dan tahap kehidupan yang amat rendah, malah berlaku pergeseran dan perkelahian serius di antara berbagai-bagai golongan sama ada yang berbentuk politik atau agama yang mengakibatkan pertumpahan darah, pembunuhan dan sebagainya.
Pada saya selain daripada penghayatan agama yang tidak cukup mendalam, maka unsur-unsur permisif dan formula pemikiran Barat juga merupakan elemen-elemen yang mempengaruhi masyarakat Islam sendiri yang mengakibatkan penyelewengan moral ini. Serangan media Barat terhadap dunia Islam sudah cukup untuk mewujudkan kekeliruan dan penyelewengan masyarakat Islam di dunia Islam. Isu-isu hak asasi manusia, demokrasi, keadilan, dan berbagai-bagai isu lain yang ditimbulkan mengikut kayu ukur dan persepsi Barat, sudah cukup untuk mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran orang-orang Islam sendiri tentang isu-isu tersebut. Masyarakat Islam sendiri mungkin tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup untuk membezakan di antara isu-isu tersebut dari persepsi Islam, sehingga dengan itu orang-orang Islam sendiri akan menegakkan perjuangan bagi isu-isu itu dari persepsi Barat, dan yang lebih parahnya, jika hal ini berlaku di kalangan masyarakat Islam yang kelihatan komited dan memahami agama, sedangkan apa yang diperjuangkannya sebenarnya tidak merupakan perjuangan Islam yang tulin.
Oleh itu, dalam menegakkan moral Islam yang sebenar, maka orang Islam sendiri haruslah memahami konsep dan penghayatannya yang sejati, dan yang lebih penting dari itu, moral yang hendak ditegakkan amatlah luas bidang dan skopnya, bukan hanya bertindak secara emosi dan melaung-laungkan slogan kosong. Satu persoalan penting yang perlu dijawab dengan ikhlas apakah orang Islam yang kelihatan luas pengetahuan agamanya benar-benar menjelma menjadi orang yang bermoral.