Isu pembalakan haram seolah-olah tiada penghujung. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa bagi membanteras dan menghentikan kegiatan berkenaan, namun ia masih juga berlaku. Malahan pelbagai kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga ekosistem hutan telah dipromosikan secara giat baik di media massa mahupun di media elektronik bagi memastikan khazanah berkenaan terpelihara, namun ia hanya ibarat “mencurah air ke daun keladi”.
Satu demi satu kes pembalakan haram dibongkar. Kali ini melibatkan kegiatan pembalakan haram di tiga hutan simpan di negeri Terengganu iaitu membabitkan kawasan seluas lebih 30 hektar sejak Mac lalu. Jumlah keluasan kegiatan pembalakan haram berkenaan membabitkan kira-kira 20 hektar di Hutan Simpan Rasau di Kerteh, 10 hektar di Hutan Simpan Gunung Tebu dan satu hektar lagi di Hutan Simpan Pelagat, Besut.
Lebih menyedihkan apabila hasil siasatan mendapati bahawa kegiatan pembalakan haram tersebut berlaku bertujuan dijadikan kayu komponen membuat perabot untuk dibekalkan kepada kilang perabot haram di kawasan sekitar, selain memberi laluan kepada aktiviti pertanian dan penanaman kelapa sawit di kawasan berhampiran tanah rancangan FELDA.
Di sini timbul persoalan, bagaimana kilang perabot haram dengan sewenang-wenangnya beroperasi? Tidakkah pemantauan dilakukan oleh pihak berwajib sehinggakan begitu mudah kilang-kilang berkenaan menjalankan kegiatan mereka tanpa disedari oleh sesiapa? Ini sedikit sebanyak menunjukkan kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berwajib dalam membuat pemantauan sehingga wujudnya kilang-kilang perabot haram yang membuka laluan kepada berlakunya aktiviti pembalakan haram bagi memenuhi keperluan bahan mentah kilang-kilang terbabit.
Selain itu, agak malang apabila hutan-hutan turut digondolkan secara haram hanya kerana ingin memberi laluan kepada aktiviti pertanian dan penanaman kelapa sawit semata-mata, seolah-olah kepentingan ekonomi daripada kegiatan berkenaan mengatasi kepentingan ekosistem untuk kelangsungan hidup manusia sejagat.
Bahkan kegiatan pembalakan haram yang terus berlaku dengan rakus di segenap pelosok negara seolah-olah tidak mengambil iktibar kejadian banjir besar terburuk dalam sejarah negara yang berlaku di beberapa negeri di pantai timur beberapa bulan lepas yang sehingga kini kesan daripada banjir tersebut masih belum pulih sepenuhnya.
Sedangkan daripada kejadian banjir besar yang berlaku itu juga kita telah menyaksikan berlakunya kerosakan harta benda dalam kapasiti yang cukup besar yang mana ratusan buah rumah telah musnah sama sekali. Manakala, para peniaga pula telah mengalami kerugian berjuta-juta ringgit kerana premis perniagaan mereka habis tenggelam dan tidak terkecuali juga berlakunya kehilangan nyawa yang begitu menyayat hati sehinggakan anak-anak kecil menjadi yatim piatu dalam sekeliup mata.
Tidakkah kita membuka minda dengan selebar-lebarnya memikirkan bahawa tragedi banjir besar yang berlaku dengan begitu dahsyat sebagai tanda peringatan Allah kepada kita agar berpada-pada dalam setiap tindak tanduk kita terhadap alam. Jangan kerana keuntungan materialistik semata-mata kita mengabaikan kepentingan ekosistem sehingga tergamak membutakan mata hati kita untuk melihat musibah yang berlaku sebagai peringatan untuk kita jadikan pengajaran dan tanda kasih sayang Allah kepada kita untuk terus berbuat kebaikan di atas muka bumi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa sahaja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah dan apa sahaja bencana yang menimpamu, maka daripada (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisaa’, ayat 79).