Dalam suasana hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutamanya terhadap hubungan dan perpaduan ummah. Antara cabarannya ialah pertelingkahan, perbalahan dan pertikaian yang timbul disebabkan pelbagai faktor. Kita mungkin bertelingkah disebabkan berbeza pendapat terhadap sesuatu isu atau berbalah kerana hak dan kepentingan kita dicabar. Adalah amat baik dan bijak sekiranya perbalahan dan pertikaian itu dapat kita tangani dengan penuh bijaksana. Walau bagaimanapun, sekiranya perbalahan dan pertikaian ini menimbulkan masalah yang lebih besar misalnya sehingga menyebabkan sesuatu pihak teraniaya, ia memerlukan pihak lain untuk menghakimi dan menyelesaikannya sehingga keadilan dapat dilaksanakan, demi kepentingan semua pihak.
Di sinilah letaknya peranan institusi kehakiman dalam Islam. Institusi ini turut berperanan besar untuk membuktikan bahawa undang-undang Islam adalah sangat adil, unggul dan sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat, setiap masa dan meliputi setiap lapisan masyarakat.
Melaksanakan keadilan dan menghapuskan kezaliman merupakan antara falsafah sistem kehakiman dalam Islam. Inilah garis panduan yang ditetapkan oleh Allah dan disebut dalam al-Qur’an :
Terjemahan :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat….” (Surah al-Nisa’ 4:105)
Islam menghendaki agar keadilan mutlak ditegakkan dan kezaliman dihapuskan. Keadilan hanya akan dapat ditegakkan jika ia berdasarkan undang-undang yang adil seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam al-Qur’an. Walau bagaimanapun, sekiranya undang-undang yang adil itu tidak ditadbir dengan cekap, amanah dan adil maka keadilan undang-undang tersebut tidak akan dapat dinikmati malahan sebaliknya ia akan bertukar menjadi kezaliman.
Penegasan yang diberikan Allah s.w.t. supaya manusia berlaku adil dalam menghakimi sesuatu pertikaian turut merangkumi tuntutan supaya mengetepikan perasaan benci, marah, dendam dan sebagainya. Ini jelas dalam ayat :
Terjemahan :
“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Ma’idah 5:8)
Ayat ini dengan jelas memerintahkan kita agar berlaku adil walaupun terhadap golongan atau orang yang menjadi musuh kita. Ini kerana, perasaan benci dan marah boleh mendorong kita untuk tidak berlaku adil dan ini bertentangan sama sekali dengan prinsip kehakiman Islam.
Dalam satu ayat yang lain pula, Allah menegaskan lagi :
Terjemahan :
“Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah biarpun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya ataupun miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutar belitkan keterangan atau enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Nisa’ 4:135)
Ayat ini menjelaskan perintah Allah s.w.t. agar semua pihak yang terlibat dalam proses pengadilan sesuatu kes agar berlaku adil, bukan hanya pihak hakim semata-mata. Misalnya untuk menjadi saksi, keterangan yang diberikan perlulah benar walaupun ia merugikan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, saudara mara, sahabat, kenalan dan sebagainya. Demikian juga, status sosial seseorang pendakwa, sama ada kaya mahupun miskin, mempunyai pengaruh atau kuasa dan sebagainya, janganlah dijadikan peluang untuk mendorong menjadi saksi memberi keterangan palsu sehingga keadilan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Jika kita meneliti senario sistem kehakiman Islam pada zaman Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati bahawa Baginda sering kali bertindak sebagai hakim yang sangat dikagumi kebijaksanaan serta keadilannya walaupun di kalangan golongan bukan Islam seperti masyarakat Yahudi pada ketika itu. Terdapat banyak kitab Hadith yang mencatatkan contoh kes yang dihakimi oleh Baginda iaitu yang meliputi kes berhubung harta pusaka, nikah, cerai, khulu’, rujuk, nafkah, penjagaan anak, hudud, qisas dan sebagainya.
Prinsip keadilan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam kehakiman Baginda ialah:
Tidak boleh menghukum sebelum mendengar keterangan kedua-dua pihak.
Pihak yang tertuduh berhak untuk membela dirinya kerana ia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Layanan yang adil dan saksama hendaklah diberikan kepada pihak yang bertelagah.
Jika hakim atau kadi berasa sangsi dan ragu-ragu atau kurang memahami keterangan pihak yang terbabit, ia hendaklah bertenang selain berusaha sedaya upaya untuk memahaminya dengan baik.
Setelah wilayah Islam bertambah luas, Rasulullah s.a.w. mula menyerahkan kuasa pengadilan dan penghakiman kepada para sahabat. Ini kerana, sukar bagi Baginda untuk menyelesaikan semua kes di seluruh wilayah Islam lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu kes memerlukan keputusan segera.
Justeru itu, Rasulullah s.a.w. mengutuskan amir yang mewakili Baginda ke pelbagai daerah. Amir ini dilantik berdasarkan kemampuan mereka dalam bidang pentadbiran dan pengurusan negara di samping kebolehan atau kepakaran mereka untuk berijtihad. Antara sahabat yang pernah menyandang jawatan ini semasa hayat Baginda ialah Saiyidina `Umar al-Khattab, Saiyidina `Ali ibn Abi Talib dan Mu’az ibn Jabal. Di samping itu, pernah diriwayatkan juga bahawa Baginda pernah membenarkan sahabat-sahabat menjalankan pengadilan ketika Baginda berada di tempat tersebut. Contohnya ialah seorang sahabat sedang menyelesaikan satu kes di masijid, kemudian Rasulullah tiba dan Baginda mengizinkan agar kes tersebut diselesaikan oleh sahabat tersebut.
Rasulullah s.a.w. turut melatih para sahabat supaya mereka memiliki kepakaran yang benar-benar tinggi dalam bidang kehakiman. Begitu juga dengan cara untuk mengeluarkan hukum daripada sumber-sumbernya untuk difatwakan. Antara sabahat yang terkenal dalam bidang iini ialah `Umar al-Khattab, `Ali ibn Abi Talib, `Abdullah ibn Mas’ud, `Abdullah ibn `Umar dan yang paling terkenal ialah `Abdullah ibn `Abbas.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah meminta `Amr ibn al-`As supaya memutuskan hukuman terhadap satu kes berhubung harta. `Amr berasa serba salah untuk menyatakan pendapat dan memberikan keputusannya memandangkan Baginda ada bersama dalam majlis tersebut. Melihat keadaan `Amr itu, Baginda pun bersabda, “Wahai `Amr, silakanlah hukumkan perkara ini.” `Amr bertanya kepada Rasulullah, “Bolehkah saya berijtihad sedangkan tuan berada di sini?” Jawab Rasulullah, “Ya, boleh. Jika kamu benar dan segera memberikan keputusan, kamu akan mendapat dua kebaikan tetapi jika kamu tersilap, kamu akan mendapat satu kebaikan.”