Mungkin hingga kini ramai juga orang Islam yang agak kurang memahami apakah konsep pendidikan Islam yang sebenarnya. Hal ini mungkin juga timbul ekoran dari kefahaman yang tidak jelas tentang Islam itu sendiri sebagai satu sistem dan peraturan yang menyusun dan mengatur keseluruhan aspek kehidupan manusia di dunia ini yang ada hubungan dengan amalan dunia dan akhirat.
Kalau Islam itu sendiri tidak difahami dengan jelas sebagai satu agama dan sistem yang menyeluruh bagi semua aktiviti manusia dalam bidang keluarga, masyarakat, hubungan antarabangsa, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sains, teknologi dan lain-lain secara menyeluruh dan teratur, maka aspek pendidikan yang khusus dalam pendidikan Islam itu juga amat sukar difahami dengan baik.
Saya rasa sebelum penubuhan Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1983, kefahaman tentang sistem integrasi pendidikan di antara ilmu-ilmu agama yang termasuk di dalam ilmu wahyu dengan ilmu moden yang dicipta akal fikiran manusia adalah amat kabur dan lemah sekali.
Kebanyakan kita masih memahami Islam berasaskan kefahaman sekular Barat bahawa agama itu berasingan dari urusan kehidupan dunia, malah harus dipisahkan dari urusan kehidupan harian. Maka dalam aspek pendidikan juga kita mungkin masih dipengaruhi oleh konsep dan pelaksanaan sistem pembelajaran yang memisahkan pendidikan ilmu agama dari ilmu-ilmu lain yang dianggap ilmu dunia. Kita masih menganggap bahawa pondok dan sekolah agama itulah sahaja satu-satunya tempat untuk mendidik manusia memahami agama dan menjadi orang beragama.
Saya percaya ketika Dr. Mahathir Mohamad mengemukakan gagasan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa di Malaysia pada tahun 1981, beliau telah mendapat gambaran yang jelas tentang konsep dan falsafah pendidikan Islam hasil dari kehadirannya, atas sifatnya Menteri Pelajaran ketika itu, ke Persidangan Pendidikan Islam anjuran Universiti King Abdul Aziz, Saudi Arabia yang diadakan di Mekah pada tahun 1977.
Persidangan tersebut telah berjaya mengumpul banyak sarjana Islam dari seluruh dunia untuk merumuskan satu konsep dan falsafah yang jelas tentang pendidikan Islam dalam konteks kemajuan dunia moden. Hasilnya itulah yang saya rasa mendorong Dr. Mahathir pada tahun 1981 atas sifatnya Perdana Menteri mengambil inisiatif menubuhkan UIA sehingga UIA dapat memulakan sesi pengajiannya yang pertama pada tahun 1983.
Konsep penubuhan UIA yang dari awalnya berbentuk integrasi dalam bidang undang-undang dan ekonomi, iaitu menyepadukan pengajian dalam bidang undang-undang sivil dan syariah, ekonomi moden dan muamalat Islam, iaitu mendekati bidang ilmu dari aspek akli dan nakli, mendapat sambutan yang baik dari dalam negara tetapi agak dingin dan berbelah bagi dari sesetengah masyarakat Islam luar negara.
Malah ada negara Islam yang tidak dapat mengiktiraf dan menerima konsep penubuhan UIA kerana kurikulum pengajiannya merangkumi banyak subjek dan kursus tentang undang-undang sivil yang dianggap undang-undang dunia dan kursus ekonomi serta kewangan yang juga dianggap kursus sekular dan Barat.
Ada kalangan masyarakat Islam yang beranggapan bahawa UIA hanya boleh dinamakan Universiti Islam sekiranya kursus dan bidang pengajian yang ditawarkannya terhad kepada kursus-kursus syariah, usuluddin dan bahasa Arab mengikut acuan dan kurikulum tradisional pengajian Islam yang telah diamalkan sejak berzaman-zaman di seluruh dunia Islam.
Saya rasa isu ini telah sekian lama menjadi kemelut pemikiran majoriti umat Islam sehingga ianya menjadi penghalang kepada rumusan falsafah dan konsep pendidikan Islam yang diambil di dalam persidangan yang tersebut di atas, sehingga dengan itu hanya Malaysia sahaja sebagai sebuah negara yang dapat mewujudkan model sebuah institusi pengajian tinggi berdasarkan konsep pendidikan bersepadu, dan berjaya pula mempertahankan kewujudannya hingga ke hari ini dalam konsepnya yang asal.
Ada sebuah dua negara lain yang membuat percubaan untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi berdasarkan konsep pendidikan bersepadu seperti yang dirancangkan, tetapi pelaksanaannya agak meleset, iaitu sama ada konsepnya mengalami perubahan sehingga kembali mengikut sistem pengajian Islam tradisional, ataupun tidak dapat bertahan, sehingga akhimya mengalami kegagalan dan terpaksa ditutup.
Keadaan yang berlaku di negara kita agak memberangsangkan, kerana nampaknya masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia agak terbuka menerima konsep penubuhan UIA dan dapat mengiktiraf kewujudannya dalam masyarakat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melambangkan falsafah kesepaduan pendidikan yang menggabungkan kursus-kursus pengajian ilmu wahyu dan ilmu akli.
Masyarakat Malaysia nampaknya dapat memahami bahawa dalam menghadapi krisis pemikiran dan intelektual umat Islam, maka pendidikan memainkan peranan yang amat besar dan penting sekali. Kesepaduan ilmu agama dan ilmu moden amatlah penting untuk membuka minda umat Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran moden, dan dalam usaha melepaskan diri mereka dari kelemahan pemikiran yang membelenggu mereka selama ini.
Pendidikan tradisional mungkin agak berjaya memberikan ilmu agama yang cukup kepada para pelajar dari sudut akidah dan syariah, feqah dan tafsir serta mata pelajaran lain yang berkaitan dengan bidang pengajian agama semata-mata. Dengan itu maka lahirlah para ulamak yang berkemampuan dalam bidang agama dan dapat memenuhi kerusi yang disediakan untuk mufti, guru agama, kadi dan lain-lain lagi. Malah perkembangan inilah yang terus menerus berlaku di dalam dunia Islam yang dalam konteks pendidikannya lebih berkisar di sekitar hukum hakam dari pengeluaran fatwa, pembicaraan tentang syariah secara berasingan dari undang-undang lazim, dan membicarakan isu-isu ekonomi, kewangan, sains, teknologi dan lain-lain juga secara terpisah dari disiplin pendidikan moden.
Sistem pendidikan Islam tradisi yang diamalkan memanglah sesuatu yang merupakan asas dan amat penting dalam masyarakat Islam. Tetapi di samping itu, umat Islam tidaklah seharusnya hanya membangunkan institusi hukum hakam dan fatwa ini sahaja sehingga melupakan agenda pembangunannya yang lain, iaitu yang mempunyai hubungannya yang rapat dengan pemikiran, politik, sosial, dan ekonomi yang dihadapinya. Krisis kehidupan umat Islam yang diakibatkan oleh penjajahan fizikal dan mental Barat, tidak dapat diatasi dengan hukum hakam dan fatwa, malah tidak dapat diatasi dengan sistem pendidikan yang tertegak di atas dasar pemisahan aliran agama dan moden secara yang amat ketara dalam sistem pendidikan.
Oleh itu kesedaran kita melancarkan gagasan pendidikan sepadu mulai tahun 1981 itu sesungguhnya merupakan satu percubaan yang penting untuk merancang satu program pendidikan jangka panjang dalam mengubah paradigma umat Islam dan mindset serta krisis pemikiran yang menyelubungi generasi muda Islam yang telah sekian lama dididik oleh sistem pendidikan rancangan Barat.
Amatlah diharapkan bahawa sistem pendidikan bersepadu seperti yang telah dijalankan di negara kita akan melahirkan para pemikir Islam yang peka dengan perkembangan dunia, yang tahu akan faktor-faktor kelemahan umat Islam yang perlu diatasi, yang dapat membaca peta dunia dan dapat mentafsirkan permainan dan percaturan politik dan ekonomi antarabangsa terutamanya taktik Barat yang berusaha untuk mengembalikan semula penjajahan mental mereka ke dalam dunia Islam secara yang tidak disedari. Persoalannya sekarang apakah setelah hampir dua dekad sistem kesepaduan pendidikan dilaksanakan di Malaysia, kita telah berjaya melahirkan generasi muda intelek kita yang benar-benar menepati cita-cita sistem tersebut?