Semasa menghadiri Persidangan Kedua Majlis Agama Turki yang diadakan pada 23 hingga 27 November, 1998 yang lalu, saya tertarik dengan cogan kata persidangan yang berbunyi bahawa keamanan dunia bukanlah satu impian kosong. Bersesuaian dengan cogan kata ini maka pada umumnya semua ucapan di majlis perasmian persidangan, termasuk ucapan perasmian oleh Presiden Turki, adalah berkisar di sekitar agenda perdamaian sejagat, toleransi antara agama, hak asasi manusia dan kebebasan untuk semua.
Persidangan yang diadakan pada tarikh tersebut ialah bagi kali kedua dalam siri persidangan oleh bahagian agama, Jabatan Perdana Menteri, Republik Turki yang diadakan setiap lima tahun sekali. Persidangan kali pertama telah diadakan pada November, 1993 dan telah pun mengambil beberapa resolusi penting dalam program aktiviti agama dan maklumat Islam melalui penerbitan, khutbah, pengajian al-Quran, pendidikan agama untuk kanak-kanak, acara nikah kahwin dan sebagainya.
Persidangan kedua yang dihadiri oleh tiga puluh dua perwakilan luar negara, termasuk wakil dari Vatican City dan Israel, mendengar amanah Presiden Turki yang menekankan bahawa ciri-ciri kemanusiaan dalam dunia moden pada hari ini amat banyak mengalami perubahan, oleh itu manusia perlu mencari formula yang betul bagi mewujudkan kesejahteraan kemanusiaan yang sewajamya, dan agama merupakan satu perkara penting bagi merealisasikan matlamat tersebut kerana agama bertujuan memahkotakan kebahagiaan dan kerukunan hidup manusia di atas muka bumi ini. Namun begitu beliau memberi amaran bahawa sungguhpun agama mempunyai formula cuba memberikan pentafsiran semula tentang dasar ini sesuai dengan perkembangan semasa dan perubahan yang berlaku di dalam masyarakat manusia sejagat yang kelihatan amat nyata memerlukan agama dalam konteks yang lebih luas dan dinamik, serta dapat memainkan peranan yang lebih berkesan ke arah pembentukan minda dan sikap manusia yang lebih positif.
Terdapat kenyataan seorang pembicara yang menyatakan bahawa keperluan kepada agama pada masa ini menjadi lebih penting dari zaman sebelumnya, kerana sistem politk yang dibina di atas dasar yang lain telah mengalami keruntuhan, dan pembangunan teknologi moden yang tidak disertai dengan nilai-nilai moral dan etika agama ternyata tidak berjaya mewujudkan masyarakat manusia yang sejahtera dan bahagia.
Maka di atas keruntuhan sistem politik tidak beragama dan pembangunan teknologi tidak bermoral inilah masyarakat manusia mengalami keruntuhan dan hanya dapat merangkak di atas sisa-sisa bangunan dan tamadun yang roboh.
Pihak penganjur persidangan mengemukakan pengalaman tuan rumah tentang masalah yang dihadapi dalam merealisasikan cita-cita mencapai matlamat pembangunan agama yang mantap, iaitu di antaranya ialah masalah kekurangan tenaga pakar untuk menangani isu-isu agama meski pun pihaknya sentiasa menjalankan program-program latihan yang bersungguh-sungguh.
Isu lain yang ditimbulkan ialah isu percanggahan kefahaman tentang soal-soal agama, terutamanya yang ditonjolkan di dalam media elektronik. Hal ini sebenamya amat merumitkan fungsi dan tugas para ahli agama dalam menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka mendidik masyarakat untuk memahami dasar dan prinsip agama yang sebenamya. Malah ditegaskan juga bahawa program agama yang dikendalikan oleh bahagian agama sebanyak dua kali seminggu dalam media elektronik amatlah tidak memadai.
Oleh itu saya merasakan bahawa pembicaraan isu-isu yang sama di dalam Persidangan di negara Turki itu merupakan satu tiupan angin pembaharuan yang baik dan positif.