KUALA LUMPUR: Bolehkah seorang pelajar Islam duduk semeja bersama rakan bukan Islam yang membawa makanan tidak halal ke sekolah?
Bolehkah seorang Muslim mengucapkan Selamat Deepavali kepada penganut Hindu?
“Ya…kenapa tidak,” kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Syed Ali Tawfik al-Attas.
Beliau menegaskan tindakan segelintir umat Islam mengeluarkan kenyataan sempit atau menguatkuasakan peraturan yang tidak dituntut agama, mengeruhkan hubungan kaum di negara ini.
Katanya, dakwaan tidak boleh mengucapkan Selamat Deepavali kepada masyarakat Hindu dan larangan membawa makanan tidak halal ke sekolah menyebabkan orang Melayu semakin terpencil daripada masyarakat bukan Islam.
“Ini yang menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan timbul anggapan bahawa orang Melayu bangsa yang tidak adil.
“Apa masalahnya pelajar bukan Islam membawa bekalan makanan mengandungi babi? Bekalan itu adalah khas untuk mereka.
“Nanti ada pula yang menyatakan orang Islam tidak boleh duduk bersebelahan (rumah) jiran bukan Islam atau orang Islam tidak boleh bergaul dengan bukan Islam,” katanya dalam temu bual bersama Berita Minggu.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menjadikan sambutan kemerdekaan negara ke-50 tahun depan landasan mengukuhkan semula perpaduan yang kini dilihat semakin rapuh.
“Kita tidak dapat berpura-pura atau cuba menafikannya kerana ia bukan tidak berlaku di kalangan kaum lain sesama kita,” katanya berucap pada majlis pelancaran korporat Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan anjuran Media Prima Bhd (Media Prima) di sini, Rabu lalu.
Dr Syed Ali Tawfik menjelaskan dalam bahasa Melayu, mengucapkan Selamat Deepavali tidak menyebut tuhan Hindu, tetapi merujuk pada hari dan bukan agama, manakala ‘Happy Deepavali’ dalam bahasa Inggeris merujuk kepada perayaan dan bukan agama.
Katanya, pandangan bahawa tidak boleh membuat ucapan demikian adalah tafsiran salah yang menggambarkan pemikiran yang amat cetek, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan mengeruhkan hubungan antara kaum.
“Lihatlah keadaan sekeliling. Itu tidak boleh dan ini tidak boleh. Haram dan halal, banyak!” katanya.
Beliau berkata, pemikiran segelintir masyarakat kini sempit berbanding pada 1970-an dan 1980-an serta era sebelum itu yang mana tiada masalah hubungan kaum.
Bagaimanapun, beliau yakin majoriti orang Melayu masih rasional dalam hubungan kaum dan tidak menerima beberapa kejahilan sebagai kebenaran mutakhir.
Katanya, fungsi ulama penting kerana mereka orang paling sesuai memberikan penjelasan mengenai perkara kabur, tetapi mereka harus mengelak membuat kenyataan jika kabur mengenai sesuatu isu.
“Saya bukan menyatakan semua yang menyatakan diri mereka ustaz dan ulama kolot, tetapi kita tidak boleh menyatakan semua ulama di negara ini betul.
“Saya tidak meremeh-temehkan mereka. Saya menyanjung tinggi ulama, tetapi mereka tidak harus bergelar ulama jika tidak menepati ciri yang perlu ada pada ulama sebenar,” katanya.