ADA berpendapat apabila isu poligami dibangkit dan diperbahaskan, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lelaki menyenanginya manakala wanita mencemuhnya.
Hakikatnya, kita perlu menyedari bahawa apabila poligami diamalkan, seorang lelaki akan terbabit bersama sekurang-kurangnya dengan dua wanita. Itulah pembabitan paling minimum dalam pelaksanaan poligami. Adakah di sini kita akan memberi justifikasi bahawa kedua-dua wanita ini akan mencemuh pelaksanaan poligami? Lazimnya, yang akan mencemuh adalah isteri yang ‘senior’, manakala isteri yang ‘junior’ sekurang-kurangnya akan mengatakan “I have no comment!”, kecualilah isteri yang junior ini tidak mengetahui lelaki yang dikahwininya itu bukanlah bujang.
Maka mungkin lebih diterima sekiranya kita menyimpulkan isu poligami ini sebagai isu yang lazimnya memang disenangi oleh kaum lelaki dan sebahagian kaum wanita saja yang menolak pelaksanaannya, manakala sebahagian wanita yang lain pula amat menyokongnya. Ini kerana dari segi praktikalnya kaum wanita jugalah yang menyempurnakan pelaksanaan poligami.
Bagaimanapun, ada juga golongan wanita yang menerima secara rasional hakikat poligami sebagai suatu perkara yang diharuskan oleh syarak. Dan apabila terbabit dalam pelaksanaan ini, mereka akan meminggirkan perasaan yang emosional dan rasa kurang selesa.
Jika dilihat melalui perspektif sosiobudaya masyarakat kita, pelbagai faktor poligami diamalkan.
Lazimnya, kita hanya merujuk poligami berlaku kerana fitrah lelaki yang mahu memiliki lebih daripada seorang isteri. Kenyataan ini memang ada benarnya dan ini diakui oleh beberapa lelaki yang penulis temui. Namun begitu, sebenarnya banyak lagi sebab dan sukar untuk kita buat satu kesimpulan umum mengapa poligami diamalkan kecuali jika kita melakukan kajian terperinci. Lantaran itu apa saja faktor ia perlu dilihat secara saksama kerana itulah yang menjadi sebab berlakunya poligami di Malaysia.
Selain lelaki yang berkahwin ini mempunyai naluri semula jadi untuk menghimpun sejumlah isteri dan ‘jatuh cinta sekali lagi’, faktor lain ialah kesihatan isteri, isteri tidak mampu menyambung zuriat, bekerja di luar daerah dan perniagaan adalah di antara sebab poligami diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Ada juga kes yang dirujuk kepada penulis bagaimana poligami disebabkan kompromi persetujuan di antara ibu dan anak lelakinya. Lelaki ini tadi sudah mempunyai pilihannya sendiri sebagai calon isteri, tetapi si ibu berkeras supaya anak lelakinya turut mengahwini calon menantu pilihan ibu tadi. Dalam usia yang sangat muda, lelaki ini terpaksa menanggung lebih tanggungjawab demi mendapatkan restu daripada si ibu dalam kehidupannya. Bagi kes terpencil sebegini, penulis tidak merasakan lelaki muda ini selesa dengan kehidupannya yang terpaksa berpoligami dan kemungkinan berlaku konflik dalam dirinya bagaimana ingin membahagiakan orang yang terpaksa dikahwininya dan pada masa sama, apakah nasib isteri yang menjadi pilihan si ibu tadi?
Juga tidak dinafikan poligami dilaksanakan kerana faktor ingin membantu wanita yang malang. Sekalipun, alasan ini tidak dapat diterima oleh sebahagian pihak, tetapi ia tetap wujud dan seharusnya diambil kira. Pihak yang menafikan alasan ini berpendapat bahawa ada pilihan lain sekiranya seseorang lelaki itu benar-benar ingin membantu wanita malang.
Persoalannya, wanita malang ini adalah insan biasa yang dijadikan Allah bersama naluri semula jadi seorang manusia. Mereka mempunyai perasaan untuk berkasih-sayang, menerima perlindungan serta kehendak batiniah dan semuanya ini tidak dapat diberikan secara alat, persatuan atau khidmat nasihat semata-mata. Tetapi daripada seorang manusia yang bergelar suami. Itulah yang diamalkan dalam poligami Rasulullah yang di antara tujuan baginda untuk memberi perlindungan dan martabat yang tinggi terhadap status wanita.
Mungkin ada pembaca yang tersinggung jika penulis nyatakan sesetengah poligami tidak dapat dielak disebabkan godaan kuat daripada wanita yang tidak mempedulikan status lelaki yang disukainya, sama ada masih bujang atau berkeluarga. Mungkin dengan kejelitaan, harta dan kerjaya yang dimilikinya, wanita tadi mampu mencairkan kesetiaan si lelaki terhadap isterinya. Tetapi, inilah di antara hakikat yang berlaku di kalangan masyarakat kita.
Agak mengejutkan juga apabila penulis dimaklumkan ada lelaki yang berpoligami disebabkan mereka mahu mendapatkan ‘kos melepas’ dalam kehidupan. Mengahwini beberapa wanita yang berkedudukan, bekerjaya dan berharta menyebabkan lelaki ini mempunyai ‘back-up’ dari aspek kewangan. Perkahwinan ini memang sah dari segi hukumnya tetapi apakah nilai sebenar perkahwinan ini di sisi Allah? Apa yang pasti, poligami seumpama ini begitu menyimpang daripada tujuan sebenar poligami yang diharuskan oleh syarak!
Disebabkan pelbagai faktor menyebabkan poligami, maka ia mewujudkan pelbagai bentuk keluarga yang mengamalkan poligami. Kadang kala, apabila poligami dilaksanakan disebabkan ‘jatuh cinta sekali lagi’ (atau pun si lelaki memberikan alasan bahawa pernikahannya dengan isteri sedia ada dalam keadaan terpaksa), maka isteri senior dipinggirkan secara langsung atau tidak langsung.
Tentulah lebih menyakitkan apabila si suami ini bernikah lagi selepas berada dalam keadaan stabil disebabkan sokongan dan pengorbanan isteri senior. Fenomena seperti inilah yang menyebabkan sesetengah pihak seolah-olah berhasrat untuk menghapuskan amalan poligami sehingga hampir-hampir menafikan bahawa poligami juga sebenarnya salah satu penyelesaian terhadap masalah sosial.
Persoalannya di sini, apakah kaedah yang boleh digunakan bagi membentuk amalan ini kepada bentuknya yang lebih stabil, selesa atau sekurang-kurangnya tidak menyakitkan hati apabila poligami tetap mahu dilaksanakan oleh pihak suami? Ini kerana mereka enggan untuk menimbang permintaan atau mungkin rayuan isteri mereka? Bagi suami yang salih, yang mengetahui hukum-hakam secara terperinci, tentulah masalah ini tidak timbul. Masalahnya, apabila si suami hanya berpegang kepada zahir ayat al-Quran yang mengatakan bahawa amalan ini diharuskan tanpa melihat kepada asbab al-nuzul (sebab turun ayat) dan juga syarat yang diketengahkan oleh fukaha.
Dalam hal ini, pada pendapat penulis cadangan yang diutarakan ini mungkin boleh menjadi salah satu jalan penyelesaiannya. Setiap diri manusia dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan dan kelemahan.
Seseorang wanita (dan juga isteri) sebenarnya boleh mengukur diri sendiri, di mana kekuatan diri mereka.
Bagi isteri yang mampu untuk tawar-menawar dengan pihak suami yang menyuarakan hasratnya untuk berpoligami dan isteri ini tadi melihat bahawa suaminya tiada halangan untuk melaksanakannya, mengapa tidak dibuat permintaan supaya poligami yang akan dilaksanakannya itu turut memberi faedah kepada si isteri dalam jangka masa panjang atau sehingga akhir hayat? Sebagaimana pihak suami yang dapat menikmati faedahnya (mempunyai teman hidup tambahan) sehingga akhir hayat? Sejumlah wang ‘pampasan’ atau ‘sagu hati’ sebenarnya tidak memadai, kerana ia akhirnya akan lenyap!
Umpamanya, serahkan anak-anak untuk dijaga oleh madu sekiranya dia tidak bekerja. Sekiranya si isteri tadi wanita bekerja yang kadang-kala pulang hingga lewat, dia meminta si madu menemani anak-anak membuat kerja sekolah mereka.
Pada hemat penulis, tidak salah meminta ‘bayaran’ daripada madu kerana isteri senior sudah ‘menyerahkan sebahagian daripada miliknya’ kepada isteri baru, di mana dengan serahan itu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Bayaran yang diterima ini sekurang-kurangnya akan menjadikan wanita yang dimadukan tetap mengakui bahawa amalan yang diharuskan Islam ini memberikan manfaat kepada kehidupannya dan keluarga keseluruhannya.
Begitu juga bagi pihak suami yang berhasrat untuk berpoligami dan mendakwa layak untuk melaksanakannya, maka perlulah menjadikan poligami itu sebagai suatu perkara yang memberi manfaat kepada setiap ahli keluarganya. Apakah bentuknya, terpulang kepada budi bicara suami sebagai ketua rumah tangga. Sememangnya dalam Islam dinyatakan syarat bahawa poligami yang akan dilaksanakan itu tidak akan menjatuhkan kedudukan atau taraf isteri yang sedia ada, tetapi, adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya setiap isteri menerima kebaikan dari pelaksanaan itu.
Bagi mereka yang kurang mampu untuk membuat tawar-menawar dengan suami, keberanian perlu ada. Dapatkan bantuan, sokongan dan ‘back up’ daripada sesiapa yang dirasakan boleh. Jadilah isteri yang berilmu, yakni yang mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Fahamilah undang-undang dan prosedur undang-undang keluarga Islam bagi mendapatkan bantuan sekiranya suami tidak berlaku adil.