Penciptaan Nabi Adam a.s. dan Hawa merupakan titik tolak kepada perkembangan umat manusia di muka bumi ini. Islam memerintahkan umatnya untuk berkahwin, mempunyai anak dan seterusnya mencipta satu susur galur keturunannya sendiri. Bukan itu sahaja, apa yang lebih penting ialah manusia dituntut untuk memelihara dan meningkatkan kualiti keturunannya kerana ini merupakan salah satu daripada lima matlamat maqasid al-syariah.
Dari sudut sosial, tujuan pemeliharaan keturunan adalah untuk mengekalkan kekuasaan semata-mata. Namun, sebagai satu agama yang syumul, Islam melihat pemeliharaan keturunan dari sudut yang lebih terbuka dan komprehensif. Pemeliharaan keturunan penting untuk menjamin wujudnya satu umat Islam yang taat kepada Allah s.w.t. dan seterusnya cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, sosial dan politik.
Dalam Islam, perkara paling asas yang perlu diambil perhatian dalam pemeliharaan keturunan ialah pemilihan pasangan yang tepat. Dalam al-Quran telah dinyatakan bahawa, “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” (Surah al-Rum, ayat 21).
Selain pemilihan pasangan, terdapat beberapa perkara lain yang juga perlu diberikan keutamaan dalam pemeliharaan keturunan seperti menjauhkan daripada melakukan dosa, menjaga tingkah laku, teliti dalam soal pemakanan dan menguasai ilmu keibubapaan agar dapat menjalankan tanggungjawab ibu bapa dengan lebih berkesan.
Pun begitu, senario dunia kini menunjukkan bahawa umat Islam berhadapan dengan pelbagai masalah seperti peperangan saudara, kemiskinan, kemunduran, pembunuhan dan penjajahan. Di Malaysia, umat Islamnya juga berhadapan masalah-masalah tertentu terutamanya yang berkait dengan soal moral dan etika seperti rasuah, jenayah, seks bebas dan kehamilan luar nikah, ketagihan arak dan dadah, penggunaan pil khayal dan AIDS.
Kemunculan masalah-masalah seperti ini menimbulkan tanda tanya akan kualiti umat Islam masa kini yang semakin menurun dan kemungkinan ia berkait dengan pemeliharaan keturunan yang tidak begitu diberikan perhatian kini.
Dengan perkembangan semasa, pemeliharaan keturunan akan menjadi satu tugas yang mencabar. Kemajuan sains dan teknologi akan memberikan kesan yang tertentu dalam hal ini.
Seperti yang kita ketahui, dunia kini berdepan dengan perkembangan bioteknologi pembiakan yang begitu pesat. Assisted Reproductive Techniques (ART) ialah satu bidang yang secara amnya akan dapat membantu pasangan untuk mendapatkan anak. Antara kaedah-kaedah ART yang boleh terdapat di negara kita ialah intra-uterine insemination (IUI), in-vitro fertilization (IVF), intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI) dan gamete intra-fallopian transfer (GIFT).
Kesemua kaedah yang disebutkan di atas dibenarkan selagi ia tidak melanggar syariat Islam iaitu mestilah menggunakan sperma suami dan ditempatkan di dalam rahim isteri. Pada masa yang sama, ciri-ciri keselamatan dan kebersihan dalam proses tersebut merupakan ciri utama perlu diambil perhatian agar tidak meninggalkan kesan kepada bayi yang bakal dilahirkan.
Saya percaya para doktor di Malaysia tidak akan mengambil mudah akan hal ini kerana soal menjaga keturunan ialah satu perkara yang sangat diambil perhatian oleh semua orang, apatah lagi orang-orang Islam.
Masalah dalam bioteknologi perubatan ini tidak begitu mendalam asalkan semua umat Islam – para doktor, jururawat, pasangan ibu bapa dan sebagainya – tahu apakah yang boleh atau tidak boleh dilakukan dalam proses itu. Namun, masalah akan timbul apabila amalan kaunseling genetik dan terapi gen menjadi satu aktiviti yang penting dalam bidang perubatan.
Melalui dua kaedah ini, masalah yang berkaitan dengan genetik manusia akan dapat dikenal pasti dan dibaiki. Pasangan-pasangan yang menghadapi masalah ini boleh mengetahuinya lebih awal sebelum mempunyai anak dan mungkin masalah ini boleh dibaiki melalui kaedah terapi gen.
Namun, kaedah sebegini menimbulkan banyak kontroversi. Dari sudut pandangan Islam, persoalan yang timbul ialah sama ada kaedah ini diterima dalam Islam. Jawapan kepada persoalan ini masih lagi menjadi topik perbincangan yang hangat dan melibatkan isu-isu moral dan etika. Persoalan seperti “mengubah kejadian Allah s.w.t.” dan “berusaha untuk mengubati penyakit” kini heboh diperdebatkan. Pun begitu, titik pertemuan dua persoalan tersebut masih belum dapat dicapai lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perasaan pasangan-pasangan yang menghadapi masalah genetik ini.
Dalam hal ini, sama ada dua kaedah tadi dibenarkan atau tidak dalam Islam, soal pemeliharaan keturunan akan tetap menjadi satu isu yang penting. Perkara inilah yang perlu diberi perhatian yang lebih kerana ia tidak sahaja melibatkan keturunan sesebuah keluarga Islam tetapi akan membawa kesan kepada umat Islam keseluruhannya.
Selain daripada kaedah rawatan, perkembangan bioteknologi pertanian dan pemakanan serta bioteknologi perubatan juga akan memberi kesan kepada pemeliharaan keturunan. Seperti yang disebutkan tadi, soal pemeliharaan keturunan juga melibatkan pemilihan makanan dan ubatan yang baik dan berkhasiat untuk manusia. Makanan dan ubatan yang digunakan mestilah mampu menjadikan umat Islam itu sihat dan cergas agar boleh menjadi umat yang terbaik dalam segala segi.
Dalam hal ini, persoalan halal haram makanan ubahsuaian genetik bukan satu-satunya perkara yang perlu diberikan perhatian, tetapi aspek tayyib makanan dan ubatan itu tidak boleh diabaikan sama sekali. Kelalaian memelihara aspek ini ditakuti juga akan menjejaskan kualiti keturunan umat Islam di seluruh dunia.
Akhir sekali, jelas kepada kita bahawa perkembangan sains dan teknologi boleh memberikan kesan kepada keturunan umat manusia. Sebagai seorang Islam, aspek pemeliharaan keturunan ini perlulah diberikan perhatian yang sedalam-dalamnya agar kita mempunyai satu susur galur keturunan yang baik dari pelbagai sudut seperti kesihatan fizikal dan mental, kejayaan ekonomi, berpengetahuan tinggi, bijak, tekal dan berdaya saing.
Pemeliharaan ini tidak terhad kepada keluarga seseorang individu sahaja, tetapi matlamat utama adalah untuk memelihara kesejahteraan seluruh umat Islam agar mereka menjadi satu umat yang progresif dan dinamik.