Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) akan berentap dalam pertandingan akhir debat kefahaman Islam antara institusi pengajian tinggi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini esok.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan serta sijil, pemenang kedua RM15,000 dan ketiga RM10,000.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam IKIM Sapuah Nawawi, kedua-dua universiti akan membahaskan tajuk “Budi Bahasa Asas Pembentukan Masyarakat” dalam pertandingan akhir itu di mana UM akan menjadi pencadang manakala UIAM sebagai pembangkang.
Sementara itu, Universiti Utara Malaysia(UUM) akan bertemu Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menentukan pemenang tempat ketiga, katanya dalam kenyataan di sini hari Isnin.
Beliau berkata sebanyak 16 buah IPT mengambil bahagian dalam pertandingan itu dan peringkat saringan telah diadakan dari 12 hingga 14 Dis lepas.
Pengerusi IKIM Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dijangka menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu dan juga kepada pemenang peraduan menulis skrip drama televisyen dan radio berunsurkan Islam.
Sumber : Bernama 16/01/2006