Ketika tular warga net takjub dengan ramalan kemungkinan tujuh planet akan beredar sebaris pada hari Israk Mikraj, mungkin ramai alpa Allah telah memaparkan kesinambungan risalah-Nya melalui pertemuan Nabi Muhammad s.a.w dengan para nabi agama lain di tujuh tingkat langit berbeza ketika Israk Mikraj. Peristiwa ini merupakan manifestasi kesatuan risalah agama Samawi yang perlu dihayati dari sudut Keesaan Allah, kesepaduan dunia akhirat, pengukuhan keperibadian serta penegasan Islam sebagai agama syumul bagi seluruh umat manusia.
Israk Mikraj disambut pada 27hb Rejab kalendar Hijrah (bersamaan 27 Januari 2025 Masihi) merupakan peristiwa penuh hikmah dan pengajaran untuk panduan kehidupan umat manusia. Selain anugerah solat sebagai perantara hubungan dengan Allah, peristiwa-peristiwa dalam Israk Mikraj membayangkan pengukuhan tradisi beragama dan semua syariat bersumberkan hanya dari Yang Maha Esa.
Pertemuan baginda dengan para nabi dalam perjalanan Mikraj bukan sahaja meneguhkan pengalaman rohani risalah Islam dengan agama-agama Samawi sebelumnya, tetapi juga membawa mesej universal tentang kesatuan manusia di bawah satu Tuhan. Peristiwa ini memperlihatkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah kesinambungan terakhir dari rangkaian para nabi, sekali gus menjadi penghulu kepada mereka semua. Al-Quran menguatkan lagi hujah ini dalam Surah AL-Maidah, ayat 3 bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan tiada lagi syariat atau agama lain selepas kesempurnaan Islam sebagai agama yang diredai.
Israk (perjalanan malam) Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine adalah satu petunjuk bahawa Al-Aqsa As-Syarif bukan tanah yang tiada makna, tetapi realitinya sehingga hari ini merupakan rebutan agama dan dunia. Tidak hairanlah Solahuddin al-Ayyubi pernah mengungkapkan: “Barang siapa menguasai bumi Palestin bererti dia akan menguasai dunia”.
Manakala Mikraj (perjalanan dari Langit Dunia ke Sidratul Muntaha), Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan nabi bagi agama besar dunia iaitu Nabi Isa a.s (Jesus Christ atau Jesus of Nazareth nabi bagi agama Kristian iaitu agama yang terbesar dianuti oleh manusia, ketika di langit kedua), Nabi Musa a.s (Moses adalah nabi bagi agama Yahudi di langit keenam) begitu juga dengan Nabi Ibrahim a.s iaitu nabi yang dinisbahkan sebagai agama Samawi (Abrahamic dalam Bahasa Inggeris di langit ketujuh).
Perjalanan Mikraj tidak meninggalkan Nabi Adam a.s (Abraham bapa kepada semua manusia di langit pertama) bagi menunjukkan keterikatan sejarah agama Samawi dengan asal usul manusia. Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w dipertemukan dengan Nabi Yusuf a.s (Yosef dalam bahasa Ibrani; Yunani, Inggeris; Joseph-di langit ketiga, baginda merupakan seorang lelaki Yahudi dari Nazaret), Nabi Idris a.s (Enokh/Henokh di langit keempat), Nabi Yahya (John son of Zechariah atau John the Baptist, di langit kedua) dan Harun a.s (Aaron-Inggeris, Aharon-Ibrani) di langit kelima.
Pertemuan ini untuk juga mengajak kita merenungi karekter manusiawi yang tinggi agar diteladani. Secara ringkas, karekter yang boleh dicerapi adalah khalifah di muka bumi (Nabi Adam a.s), ketaatan kepada Allah (Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s), kesabaran dan integriti (Nabi Yusuf a.s), keilmuan dan ketakwaan (Nabi Idris a.s), persaudaraan dan kebijaksanaan (Nabi Harun a.s) dan pembebasan penindasan (Nabi Musa a.s). Peristiwa ini menunjukkan kesinambungan risalah para nabi mengukuhkan keperibadian.
Semakin kuat pegangan agama, semakin tinggi keperibadian murni seseorang. Maksud beragama adalah menterjemahkan keperibadian seorang dalam faham Ad-din (bahasa Arab) iaitu antara lain maknanya adalah; 1. proses merasai berhutang manusia kepada Pencipta yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada, dengan patuh segala perintah Pencipta; 2. proses membangunkan tamadun sebagai khalifah di muka bumi; 3. menerima dan tunduk kepada syariat dan ketetapan Allah; 4. fitrah manusiawi yang sentiasa mencari adanya tuhan yang mengatur alam semesta. Jika diperhalusi, apa yang jelas adalah agama menjadikan seseorang mempunyai pegangan, pendirian dan tingkah laku selari seperti yang dianjurkan oleh kepercayaan mereka.
Di sinilah hikmah keharmonian risalah dan syariat tentang ajaran berakhlak mulia dengan Pencipta, sesama manusia, makhluk lain serta alam semesta. Semua tindakan dan amalan dipertanggungjawabkan, malah kekuasaan Allah ke atas setiap diri akan memastikan dirinya sentiasa berada di landasan yang sebenar walaupun tidak dilihat oleh orang lain. Perkara ini digambarkan dalam bentuk balasan mendapat kenikmatan atau siksaan bergantung perbuatan yang mereka lakukan di dunia.
Di syurga, baginda menyaksikan kenikmatan yang disediakan untuk orang beriman. Di neraka, baginda melihat azab yang menanti golongan yang ingkar sebagai peringatan umat manusia tentang akibat pilihan mereka di dunia. Jibril menjelaskan kepada Nabi SAW makna setiap siksaan itu, menekankan dosa-dosa yang menyebabkan azab tersebut, sebagai peringatan kepada umat manusia.
Namun, kesibukan manusia mengejar pembangunan sering kali menjadikan mereka alpa untuk mengambil pengajaran daripada fenomena alam. Ketika manusia berlumba-lumba mencipta teknologi canggih, mereka sering terlupa akan kebesaran Allah yang telah menciptakan segala-galanya dan mengasingkan agama dari kehidupan. Sikap ini mencerminkan kelemahan manusia dalam menyeimbangkan kemajuan kebendaan dan kerohanian serta cenderung gagal menjaga alam sekitar, menghormati hak-hak makhluk lain, dan membangunkan tamadun yang berlandaskan prinsip keadilan dan kesejahteraan.
Dalam konteks semasa, kebesaran Allah terus terpancar melalui fenomena-fenomena alam dan kehidupan yang sering kali tidak terjangkau akal manusia. Dua peristiwa terkini yang mengingatkan kita kepada kekuasaan-Nya ialah kejadian kebakaran besar di Los Angeles dan ramalan fenomena falak tujuh planet beredar sebaris.
Islam bukanlah agama yang terputus dari sejarah agama-agama besar dunia, tetapi hadir sebagai penyempurna dan pembimbing umat manusia ke arah ketundukan kepada Allah yang Maha Esa. Malah Islam dijangkakan menjadi agama terbesar dunia menjelang tahun 2100 dengan pengikut sekitar 35 peratus populasi dunia.
Demikianlah Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi ia mengandungi hikmah sepanjang zaman. Jibril mengiringi Nabi sehingga batas Sidratul Muntaha dan menjelaskan bahawa baginda perlu meneruskan perjalanan seorang diri untuk bertemu Allah. Demikianlah juga nasib manusia nanti, akhirnya pulang bertemu Pencipta seorang diri. Sebagai pesanan, Saidina Umar al-Khatab r.a mengingatkan dirinya tentang kematian dengan memakai cincin yang terukirkan perkataan yang bermaksud: “Cukuplah kematian sebagai peringatan, wahai Umar”.