Baru-baru ini pihak berkuasa telah membuat serbuan terhadap beberapa syarikat disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas. Syarikat tersebut adalah di antara entiti yang tidak mendapat kelulusan dan tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan mengikut peraturan kewangan dalam bidang kuasa Bank Negara.
Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya melabur dengan pihak yang dilesenkan pihak berkuasa. Syarikat-syarikat yang tidak sah menjalankan aktiviti pelaburan tersebut telah disenaraikan dalam laman web Bank Negara dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa, sebagai panduan kepada orang ramai. Ini berikutan pelbagai maklumat dan pertanyaan yang diterima daripada orang awam berkenaan hal ini.
Banak Negara juga memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan bagi menyelesaikan masalah ini. Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang kerana menganggap bahawa ini satu perniagaan betul.
Kedua, Bank Negara terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus menyerbu kerana pelabur akan hilang pulangan. Orang ramai dinasihati agar sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan.
Ramai pelabur menjadi mangsa akibat keliru dengan tawaran lumayan penganjur kerana ingin cepat kaya. Ada beberapa modus operandi yang sering digunakan bagi mengelirukan pelabur. Antaranya meminta pelabur mengisi borang pelaburan dan menandatangi perjanjian dengan pengendali skim. Pelabur akan membayar harga emas sama ada menerusi cek atau secara tunai dan diberikan pilihan untuk mengambil emas (bersama sijil pelaburan emas) pada bila-bila masa seperti ditetapkan pengendali skim atau membenarkan pengendali skim menyimpan produk emas.
Pelabur dijanjikan menerima pulangan dalam bentuk dividen atau hibah setiap bulan sepanjang tempoh pelaburan mengikut peratusan ditetapkan dan pengendali skim menjamin pembelian balik ketika tempoh akhir perjanjian pada harga belian asal.
Sekiranya skim itu indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar ia skim palsu. Berwaspada dengan skim Ponzi, ia adalah skim pelaburan berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baru untuk membayar kepada pelabur yang ada. Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baru tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan.
Justeru orang ramai dinasihatkan untuk berurusan hanya dengan insitutusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah, rujuk kepada pihak berkuasasa sebelum melabur/mendeposit wang, jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur, berhati-hati dengan pelaburan melalaui internet, berwaspada dengan peluang pelaburan yang tidak bertulis dan jika pelaburan sudah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan.
Apa yang menyedihkan terdapat pelabur yang mengeluarkan kesemua duit simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka setelah bersara untuk melabur dalam skim ini. Rata-rata mereka ini berharap agar pelaburan ini dapat membantu selepas persaraan dengan wang yang masuk setiap bulan. Namun betapa hancur harapan mereka setelah mengetahui bahawa ia merupakan suatu penipuan dan wang yang dilaburkan mungkin akan lesap begitu saja.
Apa yang lagi menyedihkan mereka ini terpaksa berharap pada belas ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Mereka tiada pilihan dan terpaksa tinggal dengan anak-anak walaupun mengetahui bahawa kehidupan anak mereka juga bukan senang dengan ramai anak sendiri untuk ditanggung.
Jadi tidaklah menghairankan jika ada pelabur yang sanggup berkampung di hadapan pejabat Perdana Menteri meminta perhatian dan campur tangan beliau. Mereka begitu terdesak agar mendapat kembali wang mereka, jika tidak kesemuanya sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya.
Ini kerana ada yang telah mengambil pinjaman bank semata-mata untuk melabur dalam skim tersebut. Kini mereka terpaksa membayar balik hutang tersebut walaupun tidak menerima apa-apa pulangan dari pelaburan yang telah dibuat.
Jika kita lihat dan renung kembali perkara ini adalah berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Sikap ingin cepat kaya tanpa mahu berusaha merupakan penyebab utama terjebak dalam pelaburan emas. Mereka berangan-angan untuk mengutip hasil dari pelaburan setiap bulan tanpa perlu bersusah payah.
Tamak juga satu lagi sikap buruk yang didorong oleh nafsu. Secara bahasa tamak bererti rakus hatinya. Dari segi istilah tamak adalah cinta kepada dunia (harta) terlalu berlebihan tanpa memperhatikan hukum haram yang mengakibatkan ada dosa besar.
Kita lihat juga ramai yang berbelanja melebihi pendapatan dan hidup mewah, ini juga di antara penyebab mereka terjebak dengan skim pelaburan emas. Perkataan berjimat cermat serta ukur baju di badan sendiri sudah tiada lagi serta dianggap kolot di zaman yang serba moden ini.
Allah SWT telah menciptakan manusia dalam tabiat cinta terhadap harta. Akan tetapi Allah mencela pada orang yang berlebihan mencintai harta hingga menyebabkan dirinya menjadi seorang yang bakhil, sombong dan lupa terhadap Allah. Harta bukanlah tujuan, ia tidak lebih hanya sebagai salah satu bekal untuk beribadah kepada Allah SWT.