“Adab di mana?” Itu antara dialog dalam kempen di televisyen dalam mempromosikan kehidupan bermasyarakat dengan cara berakhlak dan beradab. Sebagaimana yang kita maklum bahawa adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang baik. Ia juga merujuk kepada budi bahasa, budi pekerti yang halus dan nilai-nilai yang sopan. Sebaliknya, tiada adab itu merujuk kepada orang yang biadab atau manusia yang kurang ajar. Manusia menjadi kurang ajar apabila ia miskin ilmu adab, iaitu pengetahuan mengenai buruk baik bagi kelakuan manusia.
Pada zaman jahiliah, adab bererti undangan makan selain akhlak yang baik. Kemudiannya pada zaman permulaan Islam, kata “adab” bererti akhlak yang baik dan pengajaran serta pendidikan yang baik sepertimana yang dapat dilihat dalam ungkapan Nabi SAW yang bermaksud, “Tuhanku telah mendidikku dengan sebaik-baik pendidikan.”
Bagi orang Melayu atau mereka yang dekat dengan budaya Melayu, “Bahasa Jiwa Bangsa” sebenarnya adalah antara “kempen” terawal tentang peri pentingnya peranan adab dalam kehidupan bermasyarakat. Hal yang demikian kerana ia adalah sebahagian daripada peribahasa orang Melayu, manakala peribahasa adalah buah fikiran yang lahir daripada ketulusan budaya hidup orang-orang lama, yang memberi pesanan dan menjadikan pesanan itu sebagai warisan masyarakat.
Apakah masyarakat kita sudah begitu bejat bila kempen-kempen sebegini dengan pelbagai bentuk kreativiti dan medium masih hidup, wujud dan berada di sekeliling kita? Tepuk dada tanya iman dan akal kita.
Lanjutan daripada itu, penulis tidak melihat adanya keperluan untuk memaparkan statistik-statistik yang berkaitan dengan gejala sosial, rasuah, vandalisme, dan berbagai-bagai perlakuan buruk yang menjadi cabaran masyarakat dan negara yang kita cintai ini. Perkara ini adalah disebabkan hampir saban hari kita “dihidangkan” dengan cerita-cerita yang merumuskan bahawa masyarakat kita sedang mengalami krisis adab dan akhlak yang kritikal.
Disebabkan adab dan akhlak semakin menyusut dalam kehidupan kita sehari-harian, walau apa pun sebabnya, kita sudah semakin kurang rasa selamat. Benar kita sudah merdeka sejak enam dekad yang lalu, tetapi ironinya kita juga sudah cuak untuk membiarkan anak-anak kecil kita untuk bebas bermain di taman. Kita sudah tidak boleh lepa untuk membiarkan pintu pagar tidak berkunci, atau tingkap kereta kita terbuka bagi mendapat angin dari luar. Apakah ini harga bagi sebuah pembangunan pesat, peradaban atau tamadun yang kita bina sekurang-kurangnya sejak enam dekad lalu, apabila kita mencapai kemerdekaan di Semenanjung Tanah Melayu/Semenanjung Malaysia, atau apabila kita berjaya menubuhkan Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963 (Singapura keluar dua tahun kemudian)?
Melalui Kamus Dewan, peradaban itu secara ringkasnya boleh difahami sebagai keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani untuk sesuatu bangsa, masyarakat atau seumpamanya. Sementara penulis buku The Philosophy of Civilization, Albert Schweitzer menjelaskan bahawa peradaban adalah kemajuan dari sudut spiritual dan material pada setiap individu ataupun kelompok. Beliau juga menjelaskan bahawa peradaban harus menghasilkan suasana yang menguntungkan kepada semua orang di sekeliling. Keberuntungan hidup bermasyarakat itulah yang boleh diertikan sebagai kesejahteraan. Ibnu Khaldun pula melalui Muqaddimahnya mengemukakan model peradaban yang mengambil kira banyak aspek termasuk sifat biologi, fitrah manusia, fizikal dan spiritual manusia.
Idea-idea ini menjelaskan bahawa peradaban itu bukan sekadar kemajuan jasmani, material atau fizikal. Ia perlu ada regu yang berbentuk rohani atau spiritual yang sebenarnya adalah jiwa kepada kemajuan fizikal. Kemajuan dari sudut kerohanian itu hanya terserlah melalui pembawaan diri dengan adab dan akhlak. Adakah kita boleh menganggap seseorang itu bertamadun jika ia memiliki peralatan mekanikal atau peranti (gajet) yang pintar, tetapi mengeksploitasinya demi keseronokan tertentu sehingga melanggar hak atau maruah orang lain?
Tidak dinafikan terdapat pelbagai faktor yang mendorong manusia untuk tidak menyedari bahawa hidup berakhlak dan beradab itu penting bagi mengekalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Malah, jika akhlak dan adab tidak dipelihara, sesuatu kemajuan itu sebenarnya boleh jatuh dan runtuh. Salah satu faktor tersebut adalah kerana sifat manusia yang tidak tahu untuk bersyukur dengan nikmat hidup bernegara dan memiliki kewarganegaraan. Jika ini dapat dihayati tentu negara itu dicintai.
Kecintaan terhadap negara memberi makna mencintai perpaduan, menyayangi kehidupan bermasyarakat, menghargai keharmonian dan mengusahakannya agar ia kekal sejahtera. Kesejahteraan hidup itu hadir apabila ahli masyarakat menjadikan adab itu sebagai pakaian yang digunakan sehari-harian, hormat-menghormati, saling memberi pesan dan bantu-membantu. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Tawbah ayat 71 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.”