Semua orang mengalami tekanan perasaan. Cuma yang membezakan tekanan di antara seseorang individu ialah tahap tekanan tersebut dan bagaimanakah seseorang dapat mengatasi serta menyelesaikan masalah yang menjadi punca tekanan. Barangkali ramai juga yang tidak menyedari mereka berada dalam keadaan tertekan sehinggalah badan menunjukkan tanda atau simptom tekanan secara emosi atau fizikal. Pernah juga kita mendengar ungkapan “you’ll get fat if you eat that” yang menggambarkan kepada kita kaitan makanan dan pertambahan berat badan. Namun, ada kemungkinan bahawa stres atau tekanan boleh berkait rapat dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan seseorang.
Secara prinsipnya, penambahan berat badan berlaku apabila kita mengambil makanan secara berlebihan ataupun terlalu banyak kalori dalam sehari. Ia juga berhubungkait apabila berlakunya tekanan dalam diri seseorang terutamanya mereka yang berada dalam keadaan stres yang berpanjangan. Ia menyebabkan mereka cenderung untuk makan lebih banyak terutamanya makanan yang tidak sihat seperti makanan manis dan berperisa. Ini adalah hasil daripada perubahan kimia dalam badan apabila seseorang di bawah keadaan tertekan.
Secara psikologi, keadaan tertekan menyebabkan individu memilih makanan yang boleh menyenangkan dan mententeramkan hati. Dalam keadaan sebegini, sudah semestinya seseorang tidak lagi menghiraukan apa yang mereka makan dan kaitannya dengan keperluan badan. Jarang sekali, mereka yang tertekan memikirkan kualiti makanan yang dimakan, tetapi apa yang difikirkan hanyalah makanan tersebut dimakan selagi ia memberi kelegaan. Inilah suatu keadaan yang seharusnya diperbetulkan semula apabila seseorang mengalami tekanan dan ia perlu bermula dengan bagaimana untuk menyelesaikan dan menutup permasalahan yang menyebabkan berlakunya tekanan tersebut.
Kecenderungan mereka yang tertekan untuk makan dengan lebih banyak tanpa rasa bersalah merupakan satu kelaziman. Jika pengambilannya dapat dikawal, ia tidak mendatangkan suatu permasalahan. Namun, dikhuatiri apabila keadaan ini berterusan sehingga mampu menyebabkan peningkatan berat yang mendadak. Akhirnya bukan keadaan fizikal yang dirisaukan, tetapi kemudaratan yang diundang akibat berlebihan berat tersebut menjadi suatu permasalahan yang melanda kesihatan awam masa kini. Masalah diabetes, penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan komplikasinya yang menular menjadi kerisauan masyarakat moden kini akibat perubahan gaya hidup dan tekanan yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
Tekanan yang dihadapi oleh masyarakat kita pada hari ini cukup terbeban dengan masalah kehidupan seperti kesesakan lalulintas, bebanan di tempat kerja, mengejar ‘deadlines‘, masalah kewangan, rumahtangga, pencemaran bunyi, penyakit, kesunyian dan masalah- masalah lain yang bersangkut paut, silih berganti menyumbang kepada tekanan. Kemungkinan, secara fizikal, kita tidak mampu untuk menghadapi dengan tekanan harian tersebut ditambah lagi dengan gaya hidup masyarakat yang kurang aktif di samping diet yang tidak sihat akan menambahkan rencah keterukan stres yang dihadapi dan akhirnya tidak hairanlah jika pertambahan berat badan juga berlaku.
Ramai di antara kita juga tidak menyedari bahawa akan berlakunya proses penghadaman yang agak perlahan apabila seseorang mengalami tekanan. Ini disebabkan oleh penghasilan enzim penghadaman dan bekalan darah ke usus yang menurun. Ia berlaku secara semulajadi kerana lebih banyak darah disalurkan ke otak untuk mengurangkan tekanan. Disebabkan itulah, penghadaman berlaku perlahan danzat makanan tidak dapat diserap dengan seoptimumnya.
Secara semulajadinya, kelenjar adrenal dalam badan kita bertanggungjawab untuk menyesuaikan dan mengatasi masalah stres yang dihadapi, tetapi apabila agak terbeban, berkemungkinan berlakunya masalah lain dalam sistem tubuh kita. Seseorang menjadi ketagih untuk mengambil makanan berperisa dan bergula bagi meningkatkan paras hormon adrenalin dalam badan. Sekiranya berlarutan, ketagihan ini bukan setakat meningkatkan berat badan, malah pelbagai masalah kesihatan lain turut diundang.
Di samping hormon adrenalin dirembeskan, badan juga akan mengeluarkan hormon kortisol. Hormon kortisol yang berlebihan di dalam badan akan menyebabkan tahap gula dalam darah menjadi tidak teratur dan boleh menyumbang kepada penyakit diabetes. Selagimana seseorang itu berada dalam tekanan dan tidak menguruskan tekanan dengan baik, maka selagi itulah proses tersebut berlaku supaya badan dapat menyesuaikan dengan keadaan tersebut. Maka, ia akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang.
Selain daripada itu, peranan yang dimainkan oleh serotonin akan memberi kesan kepada badan kita. Serotonin adalah ‘neurotransmitter‘ dalam otak yang berperanan memelihara keadaan emosi dan ‘mood‘ seseorang dalam keadaan baik. Ia juga dapat membantu untuk mengatasi tekanan yang dialami seseorang. Namun begitu, perembesannya akan berkurangan apabila berada dalam tekanan emosi yang berlarutan. Kesan sampingan akibat berkurangnya tahap serotonin dalam otak menyebabkan berlakunya depresi. Oleh sebab itu, kita perlu menambahkan bekalan serotonin melalui pemakanan. Jika diet rendah dengan makanan yang meningkatkan serotonin ditambah lagi berada dalam keadaan tekanan emosi yang tinggi menyebabkan gula akan menjadi gantian. Dan akhirnya seseorang itu akan menjadi ketagih kepada makanan yang manis seterusnya menyumbang kepada masalah peningkatan berat badan.
Di samping kita mengatasi masalah tekanan yang dihadapi dengan mengurangkan punca tekanan, menggunakan teknik mengawal tekanan dengan betul, atau mengubah cara kita bertindak mengatasi tekanan, kita juga perlu merawat tekanan yang dihadapi melalui diet pemakanan yang baik dan seimbang. Antara kaedah yang telah dianjurkan dalam Islam ialah makan sebelum lapar dan berhenti apabila kenyang. Amalan ini amat mudah diamalkan lebih- lebih lagi apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan dan cenderung untuk makan lebih banyak. Apabila berasa lapar, seharusnya perlu ada sesuatu makanan snek yang berkhasiat untuk melapik perut. Tetapi tidak boleh mengamalkan ‘skip meal‘ agar kita tidak cenderung untuk makan lebih banyak makanan berkalori tinggi selepas itu.
Snek yang terbaik adalah yang mengandungi protein, lemak dan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh, biskut, yogurt yang disertakan dengan buah dan kacang. Jika kita menelusuri sirah, Rasulullah SAW makan makanan yang berbijirin penuh dan gandum sempurna (whole grain wheat). Ini kerana, makanan tersebut mengandungi zat yang sempurna iaitu kadar protein, serat dan vitamin yang cukup tinggi. Ia mengandungi karbohidrat kompleks yang memerlukan masa yang panjang untuk dihadam. Oleh sebab itu, ia dapat mengelakkan kita daripada cepat berasa lapar dan cenderung mengambil lebih banyak makanan lain. Bijirin penuh juga dapat mengawal atur tahap gula dalam darah disamping membekalkan tenaga kepada badan dan otak. Ia juga mengandungi vitamin B yang tinggi di mana vitamin tersebut agak mudah berkurang dalam badan ketika seseorang dalam keadaan tertekan di samping ia dapat membantu menyelesaikan tekanan yang dihadapi dengan lebih baik. Seseorang itu juga perlu memakan makanan yang kaya dengan triptofan apabila berhadapan dengan stres. Triptofan adalah sejenis asid amino yang terkandung dalam makanan berprotein seperti ayam, kekacang dan keju. Ia membantu di dalam meningkatkan paras serotonin dalam badan kita.
Tidak hairanlah jika amalan pemakanan sunnah yang dianjurkan dalam Islam membantu seseorang mengawal tekanan emosi yang dihadapi. Makan juga perlu mengikut masa yang ditetapkan dan disesuaikan oleh badan. Disamping itu, tidur dan rehat yang mencukupi diperlukan dalam mengimbangi keperluan fizikal badan apabila menghadapi stres.Aktiviti fizikal juga perlu diamalkan agar gaya hidup sihat dapat terus diamalkan dalam mencari keseimbangan badan dan pemakanan. Selain daripada itu, tekanan yang dihadapi seharian seharusnya memerlukan kita menjaga kesihatan yang berpanjangan. Bukan disebabkan tekanan, kita menjadi tidak bermaya dalam meniti kehidupan dan tidak bermakna kita menggadaikan kesihatan. Ini kerana kesihatan adalah aset yang penting dalam kita mencari keredhaan Allah sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Dua nikmat agung yang diabaikan oleh kebanyakan orang ialah nikmat kesihatan dan masa lapang“. Oleh itu, sama- samalah kita menghargainya.