UMAT Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan adalah ummah yang terikat kepada akidah sama iaitu ‘tidak ada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah’. Umat Islam dalam konteks ummah, lebih luas skopnya daripada konsep warga negara. Dengan erti kata lain, setiap umat Islam memiliki dua warga negara (dual citizenship) iaitu warga negara, negara yang didiaminya dan warga negara Islam yang sifatnya global (global citizen).
Ketika keagungan sistem khalifah, warga negara Islam (ummah) diterima pakai. Dalamnya ada warga negara bukan Islam. Oleh itu, konsep ummah tidak membatasi hak individu untuk hidup bebas. Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah menghapuskan sistem khalifah.
Kehancuran itu menyebabkan umat Islam dan bukan Islam yang bernaung dalam konsep ummah berpecah belah untuk mencari identitinya. Maka, terbentuk negara Islam yang terpengaruh dengan konsep persempadanan negara bangsa (state nation) yang dipelopori Barat.
Konsep negara sering disalahertikan dengan konsep kerajaan. Kedua-dua konsep ini sering memerlukan antara satu sama lain, namun membawa pengertian yang jauh berbeza. Perbezaan ketara antara sebuah negara dan kerajaan adalah unsur yang mendokong kewujudannya. Sebuah negara mesti memiliki tiga unsur penting sebelum boleh dikatakan sebuah negara berdaulat. Ia adalah warga negara (penduduk yang diperintah), daerah persempadanan negara (kawasan persempadanan yang diperintah) dan kuasa pemerintah mutlak (kuasa yang dimiliki oleh pemerintah untuk mentadbir negara di luar pengaruh negara lain). Unsur ini paling utama dalam pembentukan sebuah negara.
Berbeza dengan konsep kerajaan, yang juga memiliki tiga komponen utama iaitu badan eksekutif (bahagian yang menentukan dasar pemerintah), perundangan (bahagian yang menggubal dasar dan undang-undang negara) dan kehakiman (bahagian yang melaksanakan segala urusan perundangan yang diputuskan untuk menjamin perjalanan pentadbiran dengan teratur dan licin).
Bentuk kerajaan tidak penting dalam menentukan sebuah negara Islam. Hal ini kerana sebuah negara Islam boleh mengambil bentuk kerajaan yang berbeza, selagi sistem pemerintahan itu tidak bercanggah dengan hukum syarak. Malangnya, kebanyakan umat Islam mengambil pendekatan mudah dengan mengkategorikan sebuah negara Islam itu dengan melihat bentuk dan cara pemerintahan dijalankan.
Kerajaan yang dibentuk dalam sebuah negara itu tidak banyak berbeza daripada tiga unsur tadi.
Kekeliruan timbul apabila konsep negara dilihat dari perspektif Islam. Hal ini kerana konsep negara dan kerajaan disinonimkan penggunaannya dalam pengertian sebuah negara Islam seperti kerajaan Islam dan negara Islam. Kekeliruan ini berpunca daripada pengaruh Barat terhadap konsep negara bangsa yang pertama kali diperkenalkan melalui Perjanjian Westphalia 1648.
Daripada pengenalan yang diberikan pada awal tadi, sebuah negara atau kerajaan Islam itu membawa pengertian berbeza. Kebanyakan buku yang membincangkan konsep negara Islam, tidak membezakan penggunaan kedua-dua istilah itu. Kebanyakan sumber bacaan menggunakan ‘state’, ‘country’ dan ‘government’ sebagai satu entiti atau istilah sama yang menyebabkan jurang kekeliruan bertambah besar.
Berbalik kepada perbincangan mengenai konsep negara Islam, ia tidak seharusnya terkeluar daripada tiga unsur utama yang dijelaskan tadi. Ada satu lagi unsur penting sebelum sebuah negara itu boleh dikategorikan sebagai negara Islam iaitu kebergantungannya kepada kedaulatan Allah. Perkara ini yang membezakan negara Islam dengan negara bangsa.
Negara Islam mengandungi empat komponen penting. Pertama, mesti ada rakyat atau warga yang bernaung dalam pentadbirannya. Warga dalam konteks Islam diertikan sebagai ummah yang diringkaskan mengikut persempadanan untuk pentadbiran tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Golongan majoriti atau warga Islam memainkan peranan penting dalam menentukan sebuah negara Islam. Hal ini kerana hanya warga Islam yang tahu apa dikehendaki untuk menerus dan mentadbir kehidupan seharian mereka.
Kedua, tanah persempadanan negara yang ditadbir. Konsep persempadanan dalam sebuah negara Islam tidak begitu ditekankan. Hal ini kerana konsep ummah yang bersifat global tidak membatasi warganya melalui persempadanan. Warga Islam dan bukan Islam adalah ummah sama yang menerima Islam tanpa mengira sempit persempadanan. Namun, persempadanan negara yang ditentukan, tetap menjadi ukuran dalam konteks dunia moden kini. Ia untuk mengelakkan sesebuah negara itu daripada mencampuri hal ehwal negara lain.
Jumhur ulama menetapkan tiga jenis persempadanan iaitu persempadanan negara Islam (Dar Islam); negara Kafir (Darul Harb) serta negara berkecuali dan damai (dar ‘Ahd/dar mustamin). Penetapan ini bukan mutlak kecuali berlaku konflik yang membawa kepada tercetusnya peperangan.
Ketiga, sebuah negara Islam memerlukan satu badan pemerintahan bebas dan berdaulat untuk menyusun dan mengatur kehidupan rakyatnya. Begitu juga bagi membuat undang-undang, mengurus hal ehwal kewangan negara, mengurus keadilan, pertahanan daripada sebarang ancaman dan menguruskan hubungan dengan negara lain.
Keempat, kedaulatan sebuah negara Islam itu hendaklah diikat atau didasari kepada Allah. Ia bererti perancangan dan pelaksanaan dasar serta hala tuju pemerintahan negara tidak boleh bercanggah dengan syariat Islam. Ia merujuk kepada dasar dan kuasa yang ada pada ketua negara itu sebagai ketua agama yang menjaga kedaulatan dan kesucian agama Islam.
Dalam konteks ini pemimpin tertinggi negara dan warganya memainkan peranan penting dalam menerapkan Islam ke dalam pemerintahan negara.
Daripada keempat-empat unsur dalam sebuah negara Islam itu, dapat difahami bahawa sebuah negara Islam itu tidak memisahkan agama Islam daripada negara dan kerajaan. Agama Islam sebagai rujukan dan asas dalam pemerintahan adalah jelas seperti firman Allah bermaksud “…kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah dan hari kemudian.” (Surah an-Nisa, ayat 59).
Oleh itu, pendekatan Islam Hadhari memerlukan keempat-empat unsur itu. Peranan dan tanggungjawab umat Islam dan bukan Islam kepada negara pada semua peringkat penting untuk memastikan pelaksanaan Islam Hadhari mencapai 10 sasaran yang digariskan.