Bagi umat Islam, kekuatan dalaman menjadi benteng pertahanan diri agar tidak terperangkap dalam kemelut perasaan sendiri. Setiap manusia dikurniakan Allah hati. Hati adalah seketul darah yang berperanan mengawal pergerakan jasad manusia. Diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah mengingatkan umatnya mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud “Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati.”
Hati yang bersih membolehkan seseorang mampu menangkis segala godaan syaitan. Sebenarnya manusia menghadapi dua bisikan, iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat. Bisikan syaitan menggoda manusia, jika syaitan berjaya menguasai nafsu, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi hamba yang lupa kepada Penciptanya. Apabila ini berlaku tidak mustahil manusia itu akan terbawa-bawa dengan tekanan emosi yang dialami sehingga mengalami kemurungan. Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur ketakwaan, maka dengan sendirinya syaitan akan terhindar dan seseorang itu akan menjadi hamba yang sentiasa mengingati dan bersyukur pada yang Maha Pencipta.
Jika seseorang itu sering dilanda gelisah, kesedihan, kemurungan serta tertekan apakah sebabnya? Selalunya ia berpunca pada diri manusia itu sendiri. Manusia yang tidak bersyukur ternyata akan sering kegelisahan melihat kejayaan orang lain. Mereka ini dengki melihat orang yang lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik, bergaya. Dia akan berasa sedih menyaksikan orang lain mengatasi dirinya. Sifat mengikut nafsu sebegini pasti akan memalapkan cahaya iman. Bukankah kita telah disuruh supaya sentiasa sabar dan bersyukur atas segala nikmatNya? Berapa ramai antara kita yang bersyukur dikurniakan mata, telinga, kaki tangan dan sebagainya? Kita menganggap perkara itu remeh, namun bayangkan kesusahan mereka yang dilahirkan cacat serta tidak cukup sifat. Hakikatnya kita seolah terlupa untuk mengucapkan syukur kerana dilahirkan sempurna.
Ingatlah, Allah telah memberi jaminan bahawa setiap bayi yang dilahirkan itu ada rezekinya. Namun ini tidak bermakna kita hanya perlu duduk bergoyang kaki dan rezeki akan datang menggolek. Bekerja dan mencari nafkah tetap satu tuntutan agama. Apa yang dimaksudkan adalah agar umat Islam sentiasa bersemangat dan berusaha mencari rezeki di muka bumi ini. Ia seolah penyuntik semangat agar jangan sesekali berputus asa apabila menemui kegagalan. Agama Islam menyeru agar umatnya bangkit dari kegagalan dan jangan berputus asa dari rahmat Allah.
Orang yang sudah berputus asa dari rahmat Allah akan menjadi layu, lesu seolah tidak bermaya dan bersemangat meneruskan kehidupan. Akhirnya hidup akan menjadi tidak bermakna lagi; seluruh penghidupannya terpaksa bergantung atas ihsan orang lain. Kehidupan ini adalah perjuangan dan kita diseru zuhud dalam menjalaninya. Ramai yang beranggapan zuhud dunia bererti berpakaian koyak rabak, meminta-minta, tidak mahu bekerja seolah-olah langsung tidak mempedulikan dunia dan hanya tertumpu pada akhirat. Zuhud yang dikehendaki sebenarnya adalah orang yang apabila menerima nikmat di dunia tidak melampau gembiranya, serta bersyukur pada Allah. Mereka tidak akan cepat lupa diri apabila mendapat harta yang melimpah ruah. Mereka sedar terdapat hak orang lain yang perlu ditunaikan pada harta tersebut kerana harta adalah amanah dan pemilik sebenarnya adalah Allah. Manakala orang yang ditimpa bencana atau musibah pula tidak terlalu kecewa atau sedih di atas musibah yang menimpanya.
Sabda Rasulullah SAW: “Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali bagi orang mukmin. Jika ia mendapatkan kesenangan dia bersyukur. Hal itu adalah kebaikan. Jika dia tertimpa kesusahan, dia bersabar. Itu juga suatu kebaikan.”(Hadis riwayat Muslim). Jika kita gagal, perlu cepat bangkit serta menyusun semula perancangan. Rasulullah pernah gagal dalam dakwahnya iaitu ketika semua ketua Quraish menolak ajakan baginda, serta berusaha memerangi dan membunuh dakwah Islam di Makkah. Rasulullah tidak pernah putus asa daripada rahmat Allah. Baginda hadapi segala tentangan itu dengan semangat juang yang kental dan akhirnya Makkah dikuasai kaum Muslimin.
Oleh itu usahlah terlalu berfikir tentang masalah mahupun tekanan yang dihadapi. Akal yang telah dikurniakan Tuhan hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Kita dituntut supaya sentiasa berfikir tentang kebesaran dan keesaan Allah, berkenaan ciptaanNya serta segala nikmat kurniaanNya. Ia boleh dijadikan sebagai penawar segala keresahan yang bersarang di hati. Jangan pula menyalahgunakan akal kurniaan Tuhan dengan terbabit dalam kegiatan dadah dan mengambil minuman keras, kononnya dapat membantu melupakan masalah yang dihadapi. Jalan singkat sebegini dilarang agama kerana dadah dan arak adalah bahan yang memabukkan dan boleh menjadikan akal dan fikiran tidak tenteram dan tidak siuman. Mereka yang mengamalkan perkara sedemikian adalah mereka yang tidak menghargai nikmat pemberian akal kepadanya.
Di samping itu, manusia perlu hidup bermasyarakat. Mereka yang selalu mengasingkan diri dari masyarakat umumnya mudah terkena kegelisahan dan kemurungan. Manusia pada dasarnya tidak boleh bersendirian, kita memerlukan teman di kala bosan atau sunyi. Apabila kita bergaul dengan masyarakat, kita dapat saling bantu membantu di antara satu sama lain. Ini yang terdapat dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang maksudnya hendaklah kita menolong dalam buat kebajikan dan takwa dan jangan menolong dalam berbuat dosa dan aniaya. Bila kita bermasyarakat hendaklah mengingati dan mengenangkan jasa orang lain terhadap diri sendiri. Dengan cara begini, akan terhapus perasaan hasad dengki, dendam, cemburu, marah memarahi di antara satu sama lain dan hasilnya, kita mampu menjalani kehidupan dengan lebih tenang.