Tidak dinafikan bahawa pada masa ini semakin ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang memahami konsep dan fungsi hibah sebagai instrumen pewarisan harta. Instrumen hibah merupakan alternatif yang amat berkesan kepada sistem faraid, iaitu sebagai mekanisme yang dapat memindahkan harta yang dimiliki oleh pemilik harta secara mudah tanpa melalui proses faraid dan pentadbiran pusaka.
Pemilihan instrumen hibah oleh seseorang pemilik harta bukanlah bermaksud mahu menafikan fungsi sistem faraid. Bahkan sistem faraid masih terus diguna pakai bagi mengurus harta pusaka yang ditinggalkan oleh pemiliknya yang telah meninggal dunia. Hal yang demikian adalah kerana hanya pemilik harta sahaja yang mengetahui struktur ahli waris dalam keluarga beliau serta justifikasi kepada keperluan harta untuk dipindah milik semasa beliau masih hidup, berbanding dengan terus mengekalkan status harta tersebut di bawah pemilikannya sehingga diuruskan oleh waris selepas kematiannya. Lanjutan daripada itu maka permohonan pengesahan hibah perlu dibuat, sehingga mahkamah syariah mengeluarkan perintah yang sah supaya hasrat seseorang penghibah dapat disempurnakan.
Sehubungan dengan perkara ini, masyarakat Islam perlu mengambil perhatian yang serius terhadap prosedur yang ditentukan oleh mahkamah syariah dalam mendapatkan satu-satu perintah hibah. Perhatian bukan sekadar terhadap dokumentasi hibah semata-mata oleh pihak pemohon sebagai pemberi hibah. Mengapa perkara ini mesti diambil peduli? Kita ambil pengajaran daripada kes yang merujuk kepada salah laku oleh pengamal undang-undang syariah pada beberapa bulan yang, iaitu salah guna kuasa yang melibatkan pengesahan hibah di mahkamah syariah. Hal ini membawa satu naratif, kemungkinan besar terdapat kepincangan tertentu telah berlaku yang mengakibatkan (mungkin) “hibah yang telah disahkan” tidak dapat berfungsi dengan baik dalam tindakan lanjut pihak-pihak yang terlibat.
Hasil temubual penulis dengan seorang pengamal undang-undang yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman, beliau menyatakan kesilapan dan salah laku boleh berlaku apabila proses pelaksanaan hibah dibuat tanpa penelitian yang wajar dan bersungguh-sungguh. Dokumen disediakan–mungkin sekadar untuk memperlihatkan ia mengikuti prosedur mahkamah–dan terus “disahkan” tanpa melalui proses semakan, siasatan dan perbicaraan menurut amalan mahkamah syariah. Antara faktor yang boleh menyumbang kepada salah laku ini adalah apabila terdapat anggapan bahawa persetujuan antara pihak-pihak yang terlibat telah memadai bagi mendapatkan pengesahan hibah.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab bagi memastikan mahkamah syariah mengeluarkan keputusan yang berautoriti adalah terletak pada hakim bicara kes terbabit, yang dibantu oleh peguam syarie atau pemberi perkhidmatan. Namun begitu, masyarakat awam sebagai pelanggan mahkamah juga perlu mengambil tahu bagaimana satu-satu permohonan hibah layak untuk menerima perintah hibah. Perintah inilah nanti yang akan digunakan, contohnya apabila waris membuat permohonan sijil faraid, urusan tertentu di pejabat pusaka atau di pejabat tanah.
Hakikatnya, sesuatu hibah itu mendapat pengesahan daripada mahkamah syariah bukan semata-mata disebabkan persetujuan antara pihak-pihak. Persetujuan antara pihak-pihak lebih berfungsi untuk melancarkan atau memudahkan prosedur yang dilalui. Perkara yang lebih penting ialah, permohonan untuk mengesahkan hibah itu mesti memenuhi semua rukun yang diperlukan, iaitu yang melibatkan pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibah, sighah dan penyerahan milikan (qabd). Perkara inilah yang perlu disemak, disiasat dan dibicarakan sebelum ia layak menerima pengesahan oleh mahkamah syariah.
Kegagalan dalam memenuhi mana-mana rukun yang telah disyariatkan ini boleh mengakibatkan permohonan hibah berkenaan gagal untuk diberi pengesahan, sekalipun semua pihak yang terlibat sebelum ini telah “bersetuju” dengan perancangan yang disusun oleh pihak penghibah sebagai pemohon. Contohnya harta atau barang yang hendak dihibah itu masih dalam gadaian sekali gus ia gagal diserah kepada penerima hibah.
Seperkara lain, yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuklah masyarakat awam sebagai pelanggan mahkamah syariah ialah perkara-perkara lain yang bukan berkaitan dengan hukum syarak semata-mata. Contohnya status pemastautinan atau pemukiman seseorang pemohon dan lokasi harta yang hendak dihibahkan. Kedua-dua perkara ini membabitkan bidang kuasa mahkamah syariah yang dirujuk bagi permohonan tersebut.
Rantaian daripada perkara ini juga, apabila harta yang hendak dihibahkan itu berbentuk harta tidak alih seperti tanah, ia juga mungkin akan tertakluk dengan prosedur pindah milik sebagaimana yang terkandung dalam Borang 14A, bergantung pada negeri tanah tersebut berada. Mungkin juga hartanah berkenaan terikat dengan undang-undang yang melibatkan tanah seperti Kanun Tanah Negara. Ataupun mungkin penghibahan terhadap rumah kediaman berbentuk pangsapuri akan tertakluk dengan undang-undang strata (Akta 757). Walaupun mungkin dari aspek hukum syarak status hibah adalah sah, tetapi apalah maknanya jika dokumen pengesahan hibah tidak boleh bekerja apabila bertembung dengan kekangan undang-undang yang mengikat harta berkenaan?
Penulisan ini bukan menghalang masyarakat untuk merancang dan membuat pewarisan harta menggunakan instrumen hibah, tetapi mengambil pengajaran daripada kejadian yang berlaku agar tidak ada lagi pihak-pihak yang menjadi mangsa disebabkan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu. Seterusnya, masyarakat Islam juga perlu menambah ilmu secara berterusan, bukan sahaja mengetahui dari aspek hukum-hakam bahkan juga dari sudut undang-undang yang diamalkan di negara ini sama ada undang-undang Islam ataupun undang-undang sivil. Hal yang demikian adalah supaya modal yang dikeluarkan oleh pihak pemohon tidak sia-sia, kerana yang paling penting ialah perintah mahkamah syariah yang memberi pengesahan hibah tersebut boleh berfungsi di setiap agensi atau tempat yang diperlukan.

