Rata-rata masyarakat seluruh dunia menyambut tahun baru 2017 dengan percikan bunga api beserta semangat dan resolusi baru. Namun begitu, kita juga dapat melihat di beberapa negara di mana sambutan tahun baru dicemari dengan letupan bom dan juga tembakan senjata api yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecedaraan kepada orang awam. Contohnya, pembunuhan oleh penyerang bersenjata dan kematian orang awam di Turki pada hari tahun baru dan juga di Berlin beberapa hari sebelum sambutan Hari Natal memberi petanda bahawa keganasan yang berlaku di peringkat global semakin memuncak. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu, Antonio Guterres juga menyatakan kebimbangan beliau kepada keganasan antarabangsa yang semakin serius pada hari pertama beliau mengetuai badan dunia itu.
Dalam hal ini, agama sering dikaitkan sebagai punca kepada tindakan keganasan individu-individu tertentu yang menggunakan agama sebagai justifikasi kepada tindakan mereka. Di mana sahaja berlaku serangan pengganas, agama akan dipersalahkan sebagai motivasi dan penyebab kepada tindakan tersebut. Akibat dari ini, timbullah pula tindak balas secara gelojoh dari masyarakat awam yang sememangnya tidak mahu mendalami atau memahami nilai sebenar yang dibawa oleh agama. Sebagai contoh, islamofobia yang berlaku dalam kalangan masyarakat Barat hari ini menyebabkan ada sesetengah dari mereka mencaci, mendiskriminasi dan juga melakukan serangan fizikal terhadap masyarakat Islam di tempat mereka. Alasan mereka, Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan dan segala keganasan yang berlaku di dunia hari ini adalah disebabkan ajaran dalam agama. Sememangnya, tindakan dan kefahaman sebegini menjadi satu bentuk impian yang menjadi kenyataaan bagi puak sekular liberalis yang ingin menyisihkan martabat agama dari kehidupan arus perdana manusia.
Agama seharusnya diketengahkan sebagai pembawa keamanan. Nilai-nilai yang dibawa oleh agama sebenarnya menjurus kepada perkara-perkara baik yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia. Sikap radikal yang membawa kepada tindakan keganasan oleh mana-mana individu yang menyatakan perjuangan mereka adalah berlandaskan perintah agama sebenarnya menunjukkan salah faham mereka tentang agama. Disebabkan oleh ini, kita lihat bahawa majoriti daripada mereka yang kononnya berjuang atas nama agama sebenarnya mengharapkan pengampunan segera bagi dosa-dosa lampau yang mereka pernah lakukan dan tidak kurang juga dalam kalangan mereka menggunakan alasan bahawa Tuhan berkehendakkan mereka untuk bertindak demikian.
Semua penganut agama yang merangkumi lebih dari 80 peratus dari populasi dunia hari ini, seharusnya mempunyai kefahaman yang jitu tentang nilai dalam agama masing-masing agar mesej sebenar agama sebagai pembawa kedamaian itu dapat dijelaskan. Walaupun berlainan kefahaman tentang konsep keTuhanan, kebanyakkan agama menitik beratkan nilai cintakan keamanan dan kesederhanaan. Dalam hal ini, umat Islam khususnya perlu ada kesedaran bahawa Islam sebagai satu cara hidup mengkehendaki kita untuk bertindak menurut prinsip dan nilai moral yang digariskan dalam agama. Rasulullah SAW diutuskan untuk menghapuskan kezaliman yang dilakukan oleh manusia dan membawa bersama keamanan dalam kehidupan di muka bumi ini. Justeru, perlu ada kesedaran bahawa sebarang tindakan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada manusia sejagat bukanlah sebahagian daripada ajaran dalam Islam. Oleh yang demikian, mesej Islam dan keamanan itu harus terus disebarluaskan.