Perintah Allah ‘azza wa jalla kepada Nabi Nuh a.s. supaya membina Bahtera bawah pengawasan-Nya (Surah Hud, 11:37) mengisyaratkan bahawa ia bukan sekadar pencapaian teknologi bahkan suatu alat yang dipandu oleh wahyu untuk menyelamatkan bangsa manusia. Begitu juga, kemajuan teknologi mesti selaras dengan tujuan yang lebih besar iaitu berkhidmat kepada manusia dalam lingkungan keadilan dan akhlaq.
Artificial Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan merupakan salah satu perkembangan teknologi terbesar di zaman masa kini. Penggunaan istilah tersebut boleh dirasionalkan dengan istilahnya dalam bahasa Arab iaitu al-dhaka’ al-istina‘i yang kian meluas digunakan di dunia Islam sejak 2010 merujuk kepada gabungan teknologi sebagai pengajian terhadap hasil kerja tangan manusia dan industri pembuatan yang bersusulan daripadanya dengan jentera atau gugusan alat yang melakukan kerja yang pada asalnya memerlukan kekuatan mengenal-pasti daripada ‘aqal manusia.
Menurut kamus berwibawa seperti al-Sihah, al-Qamus, dan Taj al-‘Arus, perkataan dhaka’ bermaksud kepintaran yang pantas umpama cetusan bunga api justeru mencirikan kecepatan memproses masukan dan memberi maklum balas.
Perkataan istina‘i pula merujuk kepada buatan atau binaan, berkongsi akar kata dengan yasna‘u sebagaimana yang diungkapkan dalam Surah Hud (11:38) ketika Nabi Nuh melaksanakan perintah Allah untuk membina Bahtera. Kata kerja yang sama juga digunakan bagi mengatakan seseorang itu telah dilatih dengan baik; hari ini model bahasa AI seperti ChatGPT giat dilatih oleh jutaan orang pengguna dan pemaju menggunakan data teks yang luas untuk memahami konteks dan menjana maklum balas yang berkaitan lagi bermaklumat.
Asal-usul AI boleh ditelusuri dalam sejarah sumbangan keilmuan Islam. Maka, adalah penting untuk menyedari bahawa hubungan antara kecerdasan dan etika telah lama menjadi perkara renungan para sarjana dan pemikir Islam.
Imam Abu Hamid al-Ghazali menggambarkan ‘aqal sebagai sifat unik yang mengangkat kedudukan manusia atas daripada tumbuh-tumbuhan, haiwan, malahan juga malaikat. Ia membolehkan pencarian pengetahuan saintifik dan ilmu akhlaq. Oleh itu, kecerdasan berkait rapat dengan penilaian moral dan tindakan.
Dalam membangunkan AI, adalah penting untuk memastikan ia berkhidmat kepada manusia dalam batas beretika yang ditakrifkan oleh Islam. Apabila difahami sebagai kecerdasan mengenal-pasti (cognitive intelligence), AI memberi tumpuan kepada proses mental seperti pembelajaran dan penyelesaian masalah.
Sungguhpun demikian, AI tidak mempunyai kesedaran dan emosi seperti manusia yang mengehadkan keupayaannya untuk membuat penilaian dan berkelakuan menurut landasan etika. Kerangka ini memelihara tanggapan yang berpadanan dengan hakikat AI iaitu alat yang mengendalikan tugas rumit dan bukan galang ganti ‘aqal manusia. Perbezaan ini penting untuk memahami bagaimana AI harus dibangunkan agar selaras dengan prinsip moral dan akhlaq.
Para sarjana ilmuwan Muslim telah memberikan sumbangan besar kepada bidang-bidang yang membentuk asas AI dan menunjangi perkembangannya. Misalnya, pada abad ke-9, Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi mengembangkan aljabar, kini dikenali sebagai algebra, dan prinsip matematik yang menjadi asas kepada algoritma. Begitu juga, Banu Musa bersaudara, al-Jazari, dan Taqi al-Din menjadi pelopor jentera bergerak sendiri yang luar biasa dan begitu menakjubkan di zaman mereka.
Dalam bidang logik dan pemikiran, hasil kerja oleh pemikir seperti al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, al-Abhari, Ibn Rushd, Tashkoprizade dan ramai lagi telah menyumbang kepada pembentukan sistem logik.
Sumbangan-sumbangan itu tidaklah dibuat sekadar mencuba atau bersuka-suka bahkan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang penting lagi mustahak. Jentera bergerak sendiri bukan sahaja merupakan suatu pencapaian teknikal bahkan penciptaan dengan niat untuk memberi manfaat kepada orang lain. Algebra pula diciptakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah seperti urus niaga, pembahagian harta pusaka, pengiraan waktu, dan penentuan sempadan tanah.
Begitu juga dengan sistem logik yang disusun untuk memelihara ‘aqal daripada kesilapan berfikir. Contoh-contoh yang diberikan menyingkap pandangan alam dan pola pemikiran yang melihat teknik dan teknologi sebagai cara untuk meningkatkan kehidupan seharian serentak memenuhi tuntutan agama.
Warisan inilah yang telah membolehkan Lotfi Zadeh mencipta logik kabur (fuzzy logic) di pertengahan abad ke-20, iaitu komponen terpenting yang membolehkan mesin mengendali ketidakpastian dan meniru proses manusia membuat keputusan.
Kesimpulannya, sumbangan sejarah sarjana Muslim kepada asas-asas AI bukan sahaja memberikan wawasan kemajuan teknologi namun juga menjadi panduan untuk memastikan ia dibangunkan dan digunakan dengan bijaksana. Kekayaan tradisi etika dan sumbangan sejarah dalam sains dan teknologi meletakkan umat Islam dalam kedudukan yang unik untuk membimbing pembangunan dan penggunaan AI justeru mengemudinya menuju masa hadapan.