Celik lawannya buta. Kita biasa mendengar terma celik kewangan atau literasi kewangan. Namun lawan kepada terma ini iaitu buta kewangan (financial illiteracy) jarang diketengahkan kepada umum. Buta kewangan merujuk kepada kekurangan pengetahuan, kemahiran, dan pemahaman mengenai konsep kewangan asas dan pengurusan wang. Ini termasuk ketidakmampuan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak, memahami produk kewangan, atau menguruskan kewangan peribadi dengan efektif.
Satu kajian di Amerika Syarikat pada 2022 berkaitan masalah buta kewangan dalam kalangan 3001 responden dewasa mendapati masalah kekurangan pengetahuan tentang pengurusan kewangan peribadi mengakibat mereka menanggung kos purata sebanyak US$1819.00.
Dapatan ini kemudiannya diekstrapolasi bagi mewakili 254 juta penduduk dewasa Amerika Syarikat. Hasilnya amat mengejutkan. Bagi 2022, buta kewangan telah mengakibatkan kos yang ditanggung keseluruhan penduduk Amerika Syarikat ini adalah sebanyak US$436 billion.
Untuk perspektif yang lebih jelas, kos akibat buta kewangan yang dicatat oleh Amerika Syarikat ini adalah melebihi jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dicatatkan oleh kebanyakan negara di dunia. Berdasarkan data Bank Dunia, hanya 35 buah negara yang mempunyai KDNK yang melebihi US$436 billion pada 2022. Selebihnya atau 182 negara lagi, masing-masing mencatat KDNK di bawah US$409 billion dan ini termasuklah Malaysia dengan jumlah KDNK sebanyak US$407 billion.
Dalam satu kajian berasingan di United Kingdom pula mendapati penduduk yang tidak menyimpan secukupnya untuk hari persaraan mereka telah menyebabkan kerajaan di sana terpaksa menanggung kos subsidi sebanyak £6.2 billion. Apa yang menarik ialah kajian ini turut menyatakan menerusi pendidikan kewangan, kos ini dapat dikurangkan sebanyak £1.8 billion setahun.
Berdasarkan kajian-kajian di atas, secara ringkasnya buta kewangan menatijahkan kos. Sebenarnya agak sukar untuk kita mengukur kos sebenar buta kewangan ini. Namun begitu impak sosio ekonomi yang terhasil akibat masalah buta kewangan ini boleh diperhatikan menerusi beberapa perkara yang ketara yang berlaku dalam masyarakat. Antaranya ialah kemampuan yang rendah dari segi menabung dan membuat pelaburan dalam kalangan penduduk. Selain itu kekurangan pengetahuan tentang pengurusan kewangan juga menyebabkan penduduk gagal membuat keputusan yang betul dalam aspek berhutang. Kesannya jumlah hutang peribadi meningkat dan ini secara tidak langsung menaikkan kadar kebankrapan yang berpunca daripada kegagalan melunaskan hutang tadi.
Buta kewangan juga menyebabkan jurang miskin-kaya menjadi semakin melebar. Memandangkan masalah ini biasanya banyak memberi kesan kepada golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah, jadi ia akan menyebabkan masalah kemiskinan berlarutan dan memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan penduduk.
Isu buta kewangan bukan satu isu yang unik yang dialami oleh Amerika Syarikat atau United Kingdom sahaja. Masalah ini ialah masalah sejagat. Di Malaysia, impak sosio ekonomi yang dinyatakan di atas – kesan buta kewangan – dapat diperhatikan menerusi masalah hutang isi rumah, kadar keberhutangan yang tinggi dalam kalangan belia, masalah kebankrapan dalam kalangan penjawat awam, ketidakcukupan wang untuk persaraan, jurang miskin-kaya yang ketara, penularan jenayah penipuan kewangan dan sebagainya.
Pada ketika ini, hutang menjadi salah satu isu utama dalam pengurusan kewangan individu. Di Malaysia, sehingga Jun 2024, hutang sektor isi rumah mencecah RM1.57 trillion dengan 61% daripadanya ialah hutang harta kediaman. Sementara itu, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebankan hutang hampir RM1.9 billion dan 28 peratus golongan dewasa yang bekerja di Malaysia terpaksa meminjam hanya untuk membeli barang keperluan. Capaian yang mudah kepada pinjaman peribadi, kad kredit dan skim “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” telah dikenalpasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada keberhutangan yang tinggi dalam kalangan golongan muda ini.
Sementara itu sehingga Julai lalu, Jabatan Insolvensi merekodkan 159,781 kes kebankrapan di seluruh negara dengan 10 ke 13 peratus kes kebankrapan baharu untuk tempoh empat tahun kebelakang membabitkan penjawat awam. Pandangan alam dan kecenderungan mengamalkan gaya hidup yang tidak sepadan dengan pendapatan dikatakan punca mereka ini terperangkap dalam kitaran hutang berterusan. Lebih membimbangkan bagi kes-kes kebankrapan antara 2020 hingga 2024, hampir 50 peratus daripada keseluruhan kes kebankrapan berpunca daripada kegagalan melunas pinjaman peribadi. Kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai mencatat kes kebankrapan iaitu 58 peratus berbanding Cina (25 peratus), India (8 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus).
Ketiadaan atau kekurangan ilmu serta kemahiran pengurusan kewangan bukan sahaja menyebabkan isu keberhutangan dan kebankrapan berlaku dalam kalangan masyarakat, malah ia turut juga menyebabkan mereka mudah terpedaya dengan penipuan kewangan dan juga scam.
The State of Scam Report 2024 yang dibuat oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) dengan kerjasama Whoscall dan ScamAdviser mendedahkan bahawa rakyat Malaysia kehilangan AS$12.8 bilion akibat aktiviti scam dan penipuan kewangan sepanjang tahun lalu. 70 peratus mangsa penipuan dikatakan gagal melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa. Angka ini merupakan penurunan 5 peratus daripada tahun sebelumnya dan ia mencerminkan keraguan yang semakin meningkat tentang keberkesanan proses pelaporan. Pada masa yang sama 25 peratus rakyat Malaysia tidak pasti sama ada kecerdasan buatan memainkan peranan dalam penipuan yang mereka alami. Kekurangan kesedaran ini menjadikan rakyat Malaysia mudah terdedah kepada bentuk-bentuk penipuan yang terhasil menerusi kecerdasan buatan seperti video deepfake dan peniruan suara (voice imitation), yang semakin sukar dikesan.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia pula, bagi tempoh 2021 hingga 2023, golongan warga emas merupakan kelompok yang mencatat kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian berbanding mereka yang berada di bawah kategori umur yang lain. Kebanyakan mereka menjadi mangsa jenayah telekomunikasi seperti “phone scam”, penipuan SMS dan tawaran hadiah secara dalam talian. Sikap mudah percaya kepada sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa dan kekurangan pengetahuan tentang penggunaan internet menjadi antara punca mengapa golongan warga emas ini senang menjadi mangsa kepada jenayah telekomunikasi ini.
Bagi segelintir warga emas yang berharta, mereka mungkin hanya terdedah kepada ancaman sindiket penipuan kewangan. Namun begitu, ada kelompok warga emas di Malaysia yang berhadapan dengan masalah simpanan hari tua yang tidak mencukupi. Data-data yang dikeluarkan oleh pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dapatan-dapatan kajian berkaitan kecukupan wang persaraan yang dibuat oleh beberapa institusi penyelidikan tidak menunjuk angka yang memberansangkan. Sebagai contoh, dapatan kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menjangkakan lebih 90 peratus ahli KWSP yang bekerja di sektor swasta yang berusia di bawah umur 30 tahun tidak mempunyai simpanan asas yang mencukupi untuk persaraan mereka nanti. Manakala kajian yang dibuat oleh Universiti Putra Malaysia mendapati sikap terhadap persaraan dalam kalangan responden yang dikaji menunjukkan hanya 19 peratus menyimpan secara tetap. Selebihnya tidak menyimpan atau hanya menyimpan sekali sekali. Dapatan ini selari dengan hasil survei yang dibuat oleh Bank Pembangunan Asia-Universiti Malaya yang diterbitkan pada 2023 yang mendapati hampir dua pertiga rakyat Malaysia tidak mengutamakan simpanan bagi persaraan. Malah 26 peratus menyatakan mereka mungkin perlu bekerja sampai mati.
Selain itu, buta kewangan juga merupakan satu faktor yang menyebabkan masalah kemiskinan terus membelenggu sesetengah ahli masyarakat. Kegagalan individu memanfaat perkhidmatan kewangan yang tersedia baik dalam bentuk simpanan, pembiayaan atau perlindungan akan mengurangkan peluangnya untuk membaiki taraf kehidupan. Sebaliknya jika mereka mempunyai pengetahuan asas kewangan dan tahu menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut, paling tidak ia dapat membantu dalam mengurangkan defisit belanjawan isi rumah.
Semua masalah dan kemelut kewangan yang dinyatakan di atas ada kaitan dengan masalah buta kewangan. Walaupun usaha-usaha untuk meningkatkan tahap literasi masyarakat telahpun dan sedang dilaksanakan secara bersama oleh pihak Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi seperti KWSP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Financial Education Network (FEN), namun keberkesanannya tertakluk sepenuhnya kepada kesediaan dan penerimaan oleh anggota masyarakat itu sendiri.
Bagi orang Islam, buta kewangan boleh menjejaskan usaha mencapai maqasid al-syariah. Dalam konteks Syariah, keperluan kepada pengetahuan dan kemahiran mengurus kewangan peribadi amat dituntut oleh agama. Pengetahuan, sikap dan tingkah laku dalam pengurusan kewangan yang selari dengan semangat yang dianjurkan Syariah, bukan sahaja membantu anggota masyarakat membuat keputusan kewangan yang bijak dan menjamin kesejahteraan kehidupan mereka, malah ia juga membantu dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi umat Islam itu sendiri. Sebaliknya tanpa kekuatan ekonomi yang bertitik tolak daripada kemampuan mengurus kewangan peribadi dengan baik, usaha-usaha umat Islam dalam dakwah Islamiah, pembinaan institusi keluarga yang harmoni, penyediaan infrastruktur penjagaan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti tidak dapat direalisasikan.