“Usah sesekali mengharapkan dunia berlaku adil kepadamu kerana aku telah hidup dan menyaksikan bagaimana ia kekal diam membisu tatkala melihat penderitaan kita,” Yahya Sinwar
Kesyahidan Yahya Sinwar, pemimpin Hamas, pada 16 Oktober lalu mencetuskan reaksi yang sungguh berbeza di seluruh dunia. Sewaktu Israel dan sekutunya meraikan gugurnya pemimpin yang dituduh sebagai dalang Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, rakyat Palestin dan umat Islam menangisi kehilangan tokoh pejuang yang dikagumi keberaniannya. Semangat mereka, khususnya rakyat Gaza tidak sama sekali luntur meskipun terus dihujani kezaliman yang tidak terperi.
Selama lebih setahun, masyarakat dunia menyaksikan peningkatan keganasan dahsyat di Gaza dan ia kini merebak ke bahagian lain wilayah Palestin yang diduduki. Kegilaan Israel membunuh lebih 43,000 orang, termasuk lebih 16,000 orang kanak-kanak dan mencederakan lebih 101,000 orang dan menyebabkan kira-kira 10,000 orang yang masih hilang, di samping melakukan sekatan berterusan dikecam dunia. Namun, selain kecaman, tiada tindakan lebih konkrit yang digerakkan, khususnya kuasa besar dunia. Situasi ini ternyata meninggalkan rakyat Gaza dalam penderitaan yang tidak terucap oleh perkataan dan tidak terbanding dengan suatu apa pun. Sehingga artikel ini ditulis, serangan maut terus dilakukan Israel atas Jabalia, Gaza Utara dan dalam tempoh 48 jam sahaja, lebih 50 orang kanak-kanak terbunuh.
Sebagaimana ditegaskan oleh Volger Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasmi Manusia PBB, di sebalik pengajaran Holocaust dan detik “tidak mungkin akan berlaku lagi” dalam sejarah yang membawa kepada pembentukan Konvensyen Genosid, malangnya genosid berulang-ulang kali berlaku sejak saat itu dan menyebabkan penderitaan yang tidak tertanggung. Pencegahan genosid dan tindakan mempertanggungjawabkan pelakunya adalah penting bagi memenuhi hak asasi manusia, khususnya mangsa. Situasi di Gaza tidak boleh difahami secara terpisah. Ia merupakan sebahagian konflik yang telah berlangsung berdekad-dekad lamanya dan berpunca daripada pendudukan haram Israel atas wilayah Palestin. Operasi ketenteraan berkala oleh Israel di Gaza—seperti serangan pada 2008-09, 2014, dan 2021—menyebabkan ribuan rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya orang awam, termasuk kanak-kanak. Namun, skala dan intensiti keganasan dalam setahun kebelakangan ini telah mencapai tahap baharu, iaitu genosid.
Sepanjang lebih 12 bulan yang lalu, serangan udara dan kempen ketenteraan Israel di Gaza meningkat dengan mendadak. Menurut data terkini daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kerajaan Palestin, setakat 27 Oktober 2024, serangan Israel telah merosakkan atau memusnahkan antara lain lebih separuh daripada kediaman di Gaza, 80 peratus kemudahan komersial, 87 peratus bangunan sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan, iaitu 17 daripada 36 hospital yang cuma sebahagiannya berfungsi, 68 peratus daripada rangkaian jalan raya, 68 peratus daripada tanah tanaman. Selain itu, serangan juga turut merosakkan sepenuhnya lebih kurang 611 buah masjid dan beberapa buah gereja.
Dari sudut kesihatan, tiga perempat atau 75% penduduk Gaza daripada keseluruhan 2.3 juta orang telah dijangkiti penyakit berjangkit disebabkan kekurangan sanitasi, kumbahan terbuka dan akses kepada kebersihan yang tidak mencukupi. Sejak 2007, Gaza telah berada di bawah sekatan ketat oleh Israel. Sekatan tersebut mengehadkan pergerakan barangan, bekalan makanan, bahan bakar, manusia, dan perkhidmatan penting seperti bekalan perubatan. Dalam hubungan ini, ia membahayakan nyawa sekurang-kurangnya 350,000 pesakit kronik yang memerlukan rawatan segera. Sekurang-kurangnya juga 10,000 orang pesakit kanser tidak lagi dapat menerima rawatan yang diperlukan manakala 15,000 orang yang cedera atau menderitai penyakit kronik perlu mendapatkan rawatan di luar Gaza. Sebagaimana yang ditegaskan Euro-Med Human Rights Monitor, tindakan kejam Israel menyebabkan hospital tidak lagi dapat beroperasi dan disusuli kepungan secara berterusan menzahirkan niat mereka untuk membunuh pesakit dan individu yang cedera dengan sengaja. Sekatan berterusan Israel ke atas Gaza jelas turut menjadi senjata perang. Organisasi kemanusiaan seperti Palang Merah dan Médecins Sans Frontières (Doktor Tanpa Sempadan) mengecam sekatan ini sebagai hukuman kolektif dan melanggar undang-undang antarabangsa. Ketika infrastruktur Gaza musnah, penduduknya—kebanyakannya kanak-kanak—berhadapan dengan kelaparan dan penyakit. Pemotongan bekalan asas seperti makanan dan minuman secara sengaja ini juga sebahagian genosid, kerana ia memusnahkan asas kehidupan bagi seluruh populasi.
Meskipun terdapat bukti yang jelas tentang kekejaman ini, namun reaksi pemimpin dunia khususnya kuasa besar, sebagaimana dijangka sangat mengecewakan. Amerika Syarikat, sekutu rapat Israel, terus memberikan bantuan ketenteraan serta persenjataan dan perlindungan diplomatik, menghalang usaha di PBB untuk menuntut Israel bertanggungjawab. Bagi negara Eropah pula, meskipun “kebimbangan” disuarakan, namun umumnya mereka enggan mengambil langkah konkrit seperti sekatan atau embargo senjata. Mesir sebagai jiran terdekat Palestin juga sering kali menzahirkan tindakan yang memualkan. Pada 1 November 2024, kapal perang Saar buatan Jerman milik Israel melalui Terusan Suez Mesir. Pihak berkuasa terusan mengeluarkan kenyataan dengan merujuk Konvensyen Konstatinopal 1888 yang membenarkan laluan percuma untuk semua negara semasa aman atau perang. Walau bagaimanapun, Artikel X dalam konvensyen yang sama memberikan hak kepada Mesir untuk menyekat kapal yang menimbulan ancaman keselamatan negara. Negara dari dunia selatan, termasuk yang mempunyai sejarah penjajahan, sebaliknya menunjukkan sikap terpuji, iaitu dengan terus bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin. Walau bagaimanapun, permainan geopolitik dan kepentingan strategik kuasa besar seolah-olah menenggelamkan suara mereka. Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga telah membuka siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang yang berlaku, tetapi proses keadilan yang lambat memberikan hanya sedikit harapan kepada mereka yang menderita di Gaza. Keganasan di Gaza telah memperlihatkan dengan jelas kelemahan sistem global dalam melindungi hak asasi manusia. Kegagalan komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas bukan sahaja menggalakkan keganasan berterusan tetapi juga memberikan contoh buruk lagi memalukan selain merosakkan prinsip undang-undang antarabangsa. Rakyat Gaza, yang melalui genosid moden, hanya tinggal harapan yang semakin pudar dan keputusasaan yang semakin mendalam terhadap masyarakat dunia. Usaha mengakhiri penderitaan di Gaza memerlukan lebih daripada sekadar isyarat simbolik atau kecaman separuh hati. Ia menuntut gencatan senjata segera, penamatan sekatan, dan pertanggungjawaban yang bermakna bagi mereka yang terlibat dalam jenayah perang. Komuniti global juga perlu serius menangani punca konflik—terutama pendudukan dan penafian hak penentuan nasib sendiri bagi rakyat Palestin. Dalam detik krisis ini, berdiam diri juga merupakan satu bentuk keterlibatan. Dunia tidak boleh berpaling daripada penderitaan di Gaza, kerana sejarah akan menghakimi mereka yang hanya melihat tanpa bertindak. Hanya melalui tindakan kolektif, kita dapat memulihkan keadilan dan harapan kepada rakyat Gaza, khususnya dan Palestin umumnya yang telah sekian lama dinafikan kedua-duanya.