Memasuki 1 Syawal bermaksud umat Islam telah dikurniakan kesempatan untuk melalui satu bulan Ramadan yang penuh keberkatan, sebuah bulan yang mendidik jiwa, menundukkan nafsu dan menyuburkan nilai ketakwaan. Dengan limpah rahmat Allah Yang Maha Besar jua, kita dipertemukan dengan Aidilfitri, satu hari yang menandakan kemenangan bagi mereka yang berjaya menempuh madrasah Ramadan dengan penuh kepatuhan, kesabaran dan keikhlasan.
Aidilfitri sering disebut sebagai hari kemenangan. Namun kemenangan ini bukan sekadar kejayaan menahan lapar dan dahaga sepanjang siang hari. Hakikatnya, Aidilfitri adalah lambang kejayaan kita kembali kepada fitrah, iaitu keadaan asal manusia yang suci dan bersih daripada dosa serta kekotoran jiwa.
Perkataan fitri itu sendiri berasal daripada perkataan fitrah, yang membawa makna kesucian asal manusia sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum ayat 30:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.”
Justeru, Aidilfitri sebenarnya menandakan satu perjalanan rohani, perjalanan kembali kepada kesucian hati, dengan membersihkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, kebencian dan buruk sangka yang sering menjadi racun kepada kehidupan bermasyarakat.
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita bahawa dalam diri manusia terdapat seketul daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Itulah hati. Maka kemenangan Aidilfitri pada hakikatnya adalah kemenangan hati dan jiwa serta kemenangan roh manusia yang berjaya membebaskan dirinya daripada penjajahan hawa nafsu melalui latihan rohani sepanjang bulan Ramadan.
Tinta dicurah menulis madah,
Membaca kitab mencari ilmu;
Latihan Ramadan selesai sudah,
Moga ketaqwaan terus berpadu.
Pantun ini mengingatkan kita bahawa Ramadan bukan sekadar episod tahunan yang berakhir dengan perayaan, tetapi sebuah institusi yang difardukan oleh Allah SWT bagi membina kembali nilai-nilai insani di dalam diri. Kemenangan Aidilfitri tidak seharusnya terhenti pada hari raya semata-mata. Cabaran sebenar selepas Ramadan ialah mengekalkan istiqamah dalam ibadah, memelihara akhlak serta terus menyuburkan nilai takwa dalam kehidupan seharian.
Umat Islam diseru untuk terus menjaga solat dengan penuh khusyuk, memperbanyakkan amalan sunat, memperbanyakkan bacaan al-Quran serta sentiasa bermuhasabah agar hati kita sentiasa terpelihara daripada sifat-sifat yang merosakkan. Dalam masa yang sama, Islam menekankan mizan (keseimbangan) antara hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minannas (hubungan sesama manusia). Ketaatan kepada Allah harus dizahirkan melalui akhlak yang baik, sikap saling menghormati dan semangat saling membantu dalam kehidupan bermasyarakat.
Justeru itu, dalam konteks masyarakat Malaysia yang majmuk, nilai ihsan, toleransi dan muhibah menjadi asas penting dalam membina keharmonian sosial. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 mengingatkan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenali, bukan untuk saling merendahkan antara satu sama lain. Tradisi kunjung-mengunjung dan rumah terbuka pada Aidilfitri mencerminkan keindahan budaya kita yang berteraskan nilai persaudaraan, saling menghormati dan kebersamaan. Inilah uniknya perayaan di Malaysia yang pelbagai dengan penekanan diberikan kepada agama Islam.
Sambutan Aidil Fitri selepas sebulan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina mencerminkan bahawa kepelbagaian penganut agama dan bangsa di Malaysia adalah satu perayaan yang dirai bersama. Yang membezakannya ialah ketakwaan yang dilahirkan semasa sebulan madrasah Ramadan sebelum merayakan Syawal yang mulia.
Dalam umat Islam menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, jangan lupa bahawa dunia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menggugat keamanan dan kesejahteraan manusia.
Marcapada kini menyaksikan konflik geopolitik, ketidaksamarataan sosial, krisis alam sekitar serta peperangan yang menekan kestabilan dunia. Di beberapa wilayah dunia, masih ada insan yang belum mengecapi keamanan, kebebasan dan kemerdekaan yang sewajarnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya’ ayat 107 mengingatkan bahawa Rasulullah SAW diutus sebagai rahmat bagi sekalian alam:
“Dan tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Hakikatnya, di saat umat Islam bergembira menyambut Aidilfitri, masih ada saudara-saudara kita yang terus diuji dengan penderitaan dan penindasan. Krisis kemanusiaan yang berterusan, termasuk tragedi di Gaza, menjadi peringatan bahawa dunia masih bergelut dengan ketidakadilan dan kehilangan nilai kemanusiaan. Ini ditambah pula dengan peperangan Amerika-Israel ke atas Iran bukan sahaja membabit ketiga-tiga negara sahaja malah kesannya dirasai di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Dengan harga minyak mentah yang melambung tinggi kesan dari peperangan tersebut dan juga akibat penutupan Selat Hormuz yang membawa bahan bakar utama dunia, keadaan ekonomi dunia sukar dijangka malah diramal memberi kesan yang teruk dengan harga barang asas melambung tinggi dan juga menghadapi kekurangan bekalan. Langkah sesetengah negara seperti Vietnam, Pakistan dan Thailand yang kembali memperkenalkan “bekerja dari rumah” atau BDR telah mengembalikan nostalgia gaya hidup semasa COVID-19 pada hari ini. Langkah ini turut difikirkan untuk laksanakan kembali di Malaysia dan dijangka akan dimuktamadkan selepas sambutan hari raya dalam usaha menangani kesan besar ke atas ekonomi negara. Malah sambutan “Rumah Terbuka Aidil Fitri” juga turut dilarang untuk dianjurkan oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.
Dalam masa yang sama, Aidilfitri harus juga mengingatkan umat sejagat tentang tanggungjawab kemanusiaan dengan menzahirkan solidariti, keprihatinan dan doa kepada mereka yang masih diuji dengan penderitaan dan ketidakadilan. Kegembiraan tidak sepatutnya melahirkan kealpaan, sebaliknya menumbuhkan rasa empati dan kesedaran bahawa keamanan, kemerdekaan dan kesejahteraan adalah nikmat yang sangat mahal harganya.
Justeru, kemenangan Aidilfitri bukan sekadar perayaan luaran, tetapi permulaan kepada kehidupan yang lebih beradab, lebih berakhlak dan lebih bertanggungjawab, sama ada sebagai individu, anggota masyarakat mahupun warga dunia.
Kicau beburung di pagi hari,
Hinggap sebentar di dahan cemara;
Sepuluh jari menyusun rapi,
Maaf dipohon tulus bicara.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca yang budiman.

