AKHLAK dikatakan menjadi asas pembinaan diri serta masyarakat utuh dan terbilang. Ia dianggap berperanan utama dalam menentukan bangun atau runtuhnya sesebuah bangsa. Akhlak antara faktor dalam pembinaan sesebuah tamadun, hadharah atau salah satu agenda pentingnya.
Pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam sehingga menjadi antara misi utama diutus Rasulullah SAW ke dunia ini. Baginda menegaskan dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Hakim)
Akhlak Baginda seperti al-Quran seperti yang dijelaskan oleh Aisyah. Rasulullah mendidik sahabat menurut tata cara akhlak yang ditentukan Allah. Maka, terbentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya; beriman dan bertakwa; berkeperibadian mulia lagi terpuji; amat cenderung dan mencintai kebaikan. Begitu juga umat yang dapat menghindarkan diri daripada kejahatan serta sentiasa berusaha mencegah kemungkaran.
Dengan segala kelebihan dan kekuatan itu, masyarakat Islam pada masa itu mengasaskan pula sebuah peradaban yang amat bermakna bagi generasi selepas mereka. Prinsip kejayaan masyarakat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah terletak pada kesungguhan serta iltizam mereka yang luar biasa sifatnya. Mereka mentaati segala perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Dengan kata lain, apa juga bentuk usaha yang dilakukan oleh mereka berpaksikan keredaan Allah serta rasul-Nya. Tidak sama sekali melewati sempadan yang akan mengundang kemurkaan-Nya. Kehebatan peribadi dan keluhuran akhlak masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah itu sentiasa menjadi sebutan sepanjang zaman.
Keperibadian Rasulullah yang suci dan luhur juga menjadi faktor penentu kejayaan pembentukan masyarakat unggul itu.
Kenangan terhadap Nabi Muhammad serta usaha, kegigihan dan perjuangan Rasulullah lebih segar dan mendalam pada hari ini, hari Baginda diputerakan.
Di mana-mana saja hari ini umat Islam membanyakkan selawat serta salam kepada Rasulullah serta mengisahkan kembali cerita gembira dan duka kehidupan serta perjuangannya. Ia sebagai tanda cinta terhadap Baginda. Pada hari ini kita akan mengimbas kembali apa juga perkara berkaitan dengan Baginda. Ia bermula dengan kelahiran sehingga kewafatan Rasulullah.
Usaha mulia itu sememangnya digalakkan. Namun, alangkah beruntungnya jika dapat menterjemahkan pula rasa cinta dan rindu kepada Baginda dalam bentuk tindakan yang lebih praktis.
Hal itu khususnya, dalam cita-cita untuk membangunkan sebuah masyarakat yang berkeupayaan membina hadharah menurut acuan sendiri.
Pada masa sama, kita berhadapan dengan pelbagai hambatan yang menakutkan. Ia seolah-olah petanda bahawa segala perancangan yang diatur akan menemui kegagalan. Keadaan ini termasuk dengan krisis keruntuhan akhlak yang mengakibatkan perlakuan jenayah.
Kaedah penyelesaian bagi kemelut ini sebenarnya digariskan dengan terang dan nyata oleh Islam. Cuma yang tinggal untuk berusaha menyelesaikan persoalan itu mengikut keimanan, keyakinan dan kebijaksanaan diri. Perkara ini yang akan membimbing untuk menyelesaikan segala permasalahan itu dengan berpandukan al-Quran serta sunnah. Kedua-duanya adalah sumber rujukan yang ditinggalkan oleh Rasulullah.
Prinsip yang digariskan al-Quran dan sunnah ini dihayati sepenuhnya oleh masyarakat yang dibina oleh Rasulullah. Ia mendorong untuk menunaikan hak saudara mereka dengan kadar dan ruang lingkup yang begitu luas. Ia adalah tanda kasih serta cinta mereka yang tulen dan sejati terhadap saudara Islam yang lain.
Hak yang ditunaikan itu bukan saja meliputi hak asas yang ditetapkan oleh Islam. Ia juga membabitkan hak untuk ditegur dengan penuh bijaksana dan dibimbing ke jalan yang benar jika terlanjur melakukan kesilapan. Secara mudah, masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah sentiasa berusaha memastikan saudara Islam mereka yang lain sentiasa terhindar daripada melakukan kemungkaran. Perbuatan yang dianggap menzalimi diri sendiri sehingga mengakibatkan kemurkaan Allah.
Dalam keadaan ini, tidak timbul pula soal hak individu untuk mengatur kehidupan peribadi. Kehidupan individu itu akan memberikan pengaruh terhadap kehidupan bermasyarakat keseluruhannya. Atas kesedaran ini, generasi yang dibentuk oleh Rasulullah sentiasa memikirkan kesan tindakan peribadi mereka terhadap masyarakat umumnya. Mereka sentiasa mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan peribadi.
Kesedaran itu berjaya mengangkat kedudukan mereka sebagai masyarakat terbaik, terpilih dan berjaya yang disebut oleh al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” (Surah Ali Imran, ayat 110)
Akhirnya, renungi kata-kata penyair dan pemikir Muahammad Iqbal (m.d.1938): “Usaha untuk mencontohi (kepemimpinan) Nabi Muhammad menuju jalan kehidupan yang benar adalah dengan mengikuti langkah Baginda. Kegagalan kamu mencapainya adalah suatu kepalsuan dan kesilapan.”