Sejak akhir-akhir ini jika kita baca di media sosial atau di akhbar banyak dilaporkan mengenai kegiatan dan kejadian pencerobohan haram tanah kerajaan. Berbagai-bagai bentuk pencerobohan haram yang telah dilakukan.
Ada yang menceroboh tanah-tanah tepi sungai untuk membina rumah dan kilang, menceroboh tanah kerajaan untuk membina rumah ibadat, kegiatan pertanian, menceroboh dan mencuri kayu balak, mencuri pasir, menarah gunung, memburu sebagai pemburu haram dan kini kegiatan ini dilakukan oleh warga asing yang membunuh hidupan liar negara yang dilindungi. Namun, berita terbaharu seperti yang dilaporkan ialah menceroboh hutan simpan untuk menanam durian musang king.
Kesemua bentuk pencerobohan ini amat berkait rapat dengan alam sekitar iaitu khazanah negara yang tidak ternilai harganya atau lebih tepat lagi khazanah anugerah Allah SWT untuk Malaysia. Pencerobohan tanah di tepi sungai akan mengakibatkan pencemaran sungai. Pencerobohan terhadap hidupan liar akan mengancam spesies yang hampir pupus dan akan hilang buat selamanya-lama. Pencerobohan gunung-gunung batu kapur untuk dijadikan batu marmar yang mana akhirnya peranan gunung-ganang sebagai pasak bumi semakin membimbangkan. “Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati? Bukankah kami telah menjadikan bumi yang terbentang luas sebagai hamparan? Dan gunung ganang sebagai pancang pasaknya?”[Surah An-Naba’:6-7]
Kesemua pencerobohan yang dilakukan ini adalah kerana ganjaran yang mengaut untung berjuta-juta tetapi generasi akan datang terpaksa menanggung derita dan negara akan hilang khazanah yang tidak ternilai ini.
Di manakah silapnya? Adakah rakyat Malaysia kurang diberi pendedahan berkaitan dengan kesalahan menceroboh tanah kerajaan atau mungkin setiap tanah kerajaan harus dipacak papan tanda mengatakan ”Tanah Hak Milik Kerajaan Penceroboh Akan Didakwa” atau disebabkan oleh amalan rasuah yang semakin berleluasa.
Peranan penguat kuasa pada masa kini harus dikaji semula. Semakin ramai bilangan penguat kuasa kemungkinan semakin banyak amalan rasuah. Jadi, peranan penguat kuasa ini sedikit demi sedikit harus diambil alih oleh teknologi atau lebih tepat lagi teknologi kepintaran buatan artificial intelligent (AI), teknologi penggunaan dron, teknologi satelit dan banyak lagi.
Sebagai contoh, penggunaan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real time atau masa sebenar. Gambar-gambar hutan yang dicerobohi akan dapat dirakam dan pusat kawalan boleh mengambil tindakan dengan segera.
Begitu juga dengan penggunaan kamera TV litar tertutup (CCTV). Hutan-simpan mungkin perlu dipasangkan dengan CCTV supaya dapat memantau keselamatan hutan simpan. CCTV bukan sekadar merakam video dan merekodkan peristiwa tetapi boleh bertindak mengikut keperluan pengguna. Kecanggihan CCTV bukan hanya pada kameranya tetapi formula matematik yang digunakan dalam sistemnya dapat menganalisis situasi sebenar.
Selain itu, penggunaan LIDAR (Light Detection and Ranging) yang digunakan untuk memeriksa permukaan bumi. Secara asasnya, LIDAR mengandungi LASER, pengimbas dan GPS (Global Positional System) yang bertindak sebagai penerima. Dengan adanya teknologi LIDAR ini kita dapat memeriksa dan memantau alam sekitar khazanah negara.
Sebenarnya banyak lagi teknologi-teknologi yang boleh digunakan dengan menawarkan berbagai-bagai kelebihan. Walaupun teknologi ini mungkin dilihat mahal tetapi dari segi maruah ianya jauh lebih bermaruah berbanding amalan rasuah yang berlaku di kalangan penguat kuasa.
Jika dilihat dari perspektif Islam pula, kerosakan yang berlaku di alam ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia seperti mana dalam Surah Ar Rum ayat ke-41 mafhumnya “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia……”
Kita boleh melihat kerosakan ini berlaku di sekeliling kita. Jika kita melalui lebuh raya PLUS dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan apabila sampai di Tol Ipoh kita dapat lihat pemandangan di sebelah kanan kita bagaimana penarahan gunung-gunung yang giat berlaku di Simpang Pulai. Satu pemandangan yang amat menyedihkan. Gunung yang begitu cantik sedang dimusnahkan semata-mata untuk mendapat keuntungan peribadi.
Pemandangan sebegini tidak terdapat di New Zealand misalnya. Sebuah negara yang majoriti penduduk bukan Islam bagaimana mereka menjaga khazanah yang Allah SWT anugerahkan kepada mereka sehingga ke hari ini. Jika kita pergi ke New Zealand kita boleh lihat betapa cantiknya pemandangan di negara mereka ini. Mereka tidak menceroboh tanah-tanah kerajaan, mereka tidak merosakkan gunung-ganang, mereka tidak membuang sampah sarap ke dalam sungai secara haram.
Satu pengalaman yang dapat saya kongsi ketika saya bekerja di New Zealand dahulu ialah kita boleh terus sahaja minum air dari paip. Kita tak perlu membeli air mineral di dalam botol plastik yang akhirnya akan dicampakkan atau memasang penapis air atau meletakkan klorin ke dalam air. Mereka menikmati air yang segar dari sungai atau pergunungan.
Akhir sekali, sungai tidak dianggap sebagai sumber kehidupan tetapi sungai dianggap sebagai tempat untuk membuang sampah dan sisa-sisa toksin. Kita lihat bagaimana baru-baru ini berlaku pembuangan sisa kilang ke dalam sungai yang akhirnya menjejaskan jutaan penduduk. Apa kah kerana hanya segelintir orang yang mendapat untung maka kita dan generasi akan datang terpaksa menanggung padah terutama apabila bekalan air tergendala selama beberapa hari. Begitu juga apabila kita balik kampung sungai yang dahulunya jernih dan menyegarkan kini bertukar ke warna teh tarik. Apabila ditanya kenapa berlaku sedemikian, orang kampung menjawab ada projek di hulu sungai.