Revolusi industri yang berlaku pada akhir kurun ke 18 dan awal kurun ke-19 telah membawa perubahan besar dalam sejarah hidup manusia. Perubahan besar ini berlaku di Britain dalam beberapa bidang utama seperti bidang pertanian, pembuatan, pengangkutan seterusnya merebak ke seluruh Eropah, Amerika Utara dan akhirnya ke seluruh dunia. Kesan dari revolusi industri ini menyebabkan banyak bahan-bahan baru yang telah dihasilkan oleh manusia.
Salah satu bahan baru yang telah dihasilkan ialah plastik. Plastik kini semakin menyelaputi bumi. Penggunaannya tidak hanya terbatas kepada penggunaan alat-alat di rumah sahaja seperti pinggan plastik, cawan plastik dan sudu plastik sahaja tetapi sebaliknya sebagai bahan-bahan termaju yang semakin kompleks seperti di dalam bidang perubatan, automotif, aeroangkasa dan lain-lain. Plastik merupakan bahan yang dapat menawarkan berbagai kelebihan seperti ketahanan, lutsinar, tahan haba, tahan bahan kimia, murah, senang di dapati serta banyak lagi. Namun, di sebalik semua kelebihan ini plastik juga menimbulkan masaalah terhadap alam sekitar. Selain plastik, terdapat juga bahan-bahan baru yang lain seperti gas kloro fluoro karbon (CFC), metana, karbon dioksida yang terhasil akibat aktiviti manusia yang sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.
Apakah yang dapat kita fahami mengenai isu pemanasan global? Pemanasan global adalah berkaitan dengan peningkatan suhu dunia. Iaitu suhu bumi meningkat sebanyak 2 darjah celcius dan kadar nya berbeza mengikut benua dan kawasan. Perubahan iklim ini kebiasaannya berlaku dalam tempoh 10,000 tahun tetapi kini perubahan iklim berubah dalam tempoh 100 tahun sahaja. Jadi, ahli sains telah meramalkan bahawa keseluruhan ais laut di Artik akan cair pada musim panas tahun 2099. Litupan ais Greenland dan Antartika Barat juga akan mencair dan paras laut akan meningkat kira-kira 7 meter secara mendadak. Punca utama kepada pemanasan global ini ialah daripada pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil.
Oleh sebab itu, Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan telah di adakan di Rio de Janeiro pada 1992. Persidangan ini adalah titik permulaan kepada gagasan pembangunan lestari. Gagasan ini diterima oleh warga dunia sebagai pendekatan baru menuju abad ke-21.
Walau bagaimana pun, pembangunan lestari ini sebenarnya telah lama bermula di alam Melayu cuma waktu itu orang Melayu tidak mengetahui bahawa apa yang mereka lakukan itu sebenarnya adalah pembangunan lestari.
Sebagai contoh, pembinaan rumah tradisional orang Melayu mempunyai ciri-ciri kecekapan tenaga yang mana ini merupakan isu yang dibincangkan diperingkat dunia mengenai pemanasan global. Aspek-aspek yang diambil kira oleh orang Melayu ketika itu ialah aspek pemilihan bahan binaannya yang mesra alam, aspek rekabentuk rumah yang mengambil kira arah pergerakan matahari, orientasi paksi bangunan, pencahayaan semula jadi dan aspek rekabentuk yang memberi penekanan kepada pantulan sinaran matahari.
Jika dilihat pada rumah Melayu dan rumah-rumah yang dibina dalam tahun 50-an, kebanyakannya mempunyai lubang kecil atau ukiran di atas dinding hadapan dan belakang rumah bagi memberi laluan angin segar masuk ke serata rumah dan membawa keluar udara negatif. Senibina ini adalah lebih mesra alam berbanding dengan rumah yang kita diami sekarang ini. Pada hari ini kesemua rumah-rumah terdiri daripada bahan binaan konkrit dan menggunakan penghawa dingin untuk menyejukkan. Penghawa dingin ini sebenarnya membebaskan gas CFC pada setiap masa dan penggunaan penghawa dingin ini adalah di seluruh dunia yang akhirnya menyumbang kepada pemanasan global.
Namun, apa yang dikatakan kemodenan itu telah menukar bahan-bahan binaan yang tradisional tetapi mesra alam kepada yang moden tetapi tidak mesra alam seperti zink, konkrit dan asbestos. Dalam jangka masa pendek penggunaan bahan-bahan moden ini nampak lebih praktikal tetapi lama-lama kelamaan setelah berjuta-juta orang menggunakan bahan ini ianya menjadi ancaman yang serius terhadap alam kita.
Begitu juga sekiranya kita lihat kepada produk tradisional Melayu yang lain .Sebagai contoh tudung saji. Orang Melayu tradisional membuat tudung saji ini dengan menganyam daun mengkuang dan juga daun pandan. Daun mengkuang ini di jemur dan diproses. Kita tidak pernah bertanya mengapa daun mengkuang ini yang dipilih? Mungkin kita hanya berpandangan bahawa daun mengkuang ini mudah dianyam.
Mengkuang ini adalah bahan mesra alam atau bahan selulosa. Nama saintifik bagi mengkuang ialah Pandanus artocapus. Selain daripada tudung saji, mengkuang ini juga digunakan atau dianyam untuk membuat tikar, alatan aksesori seperti beg tangan, beg duit, kotak, bakul, hiasan dinding dan banyak produk-produk kraftangan yang lain. Bahagian daun merupakan komponen utama untuk digunakan membuat anyaman dan kraftangan selain daripada bahagian akarnya yang didakwa mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan.
Dari segi kimia pula, mengkuang mempunyai bahan kimia 2-phenyl ethyl alkohol serta banyak bahan kimia yang lain. 2-phenyl ethyl alkohol atau pheniletil alkohol merupakan sebatian organik yang mengandungi kumpulan hidroksil (-OH). Bahan ini mempunyai banyak kegunaan dan merupakan banyak utama yang terdapat di dalam buah zaitun
Selain itu, bahan ini juga dapat dijumpai di dalam ekstrak bunga mawar dan sebagainya. Ianya amat sesuai digunakan sebagai pengawet kerana kestabilannya dalam keadaan asas dan juga kepentingannya kerana sifat antimicrobial. Tetapi kini kebanyakkan peranan tudung saji mengkuang telah diambil alih oleh tudung saji plastik dan ianya tidak memberi sebarang kebaikan kepada kita dari segi nilai-nilai yang dinyatakan di atas tadi. Tudung saji plastik ini pula apabila tidak dapat digunakan lagi akan berapa di tapak pelupusan sampah dan mengambil masa sekitar 500 tahun untuk degradasi.
Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh produk dan amalan yang kita boleh lihat di alam Melayu ini yang berkaitan dengan mesra alam. Sebagai contoh kuih-kuih yang mesra alam. Kuih pulut udang menggunakan daun pisang kemudian di selitkan menggunakan lidi tetapi kini lidi telah digantikan dengan dawai kokot stapler. Dawai kokot ini adalah bahan yang tidak mesra alam lama kelamaan turut memberi kesan kepada alam sekitar. Begitu juga dengan nasi lemak menggunakan daun pisang sebagai pembungkus tetapi kini kita menggunakan styrofoam atau sesetengah kita memanggilnya sebagai gabus. Gabus ini adalah bahan pencemaran alam terutamanya apabila memasuki sungai-sungai atau laut. Lain-lain kuih muih seperti lepat pisang menggunakan daun pisang, tapai menggunakan daun getah serta banyak lagi. Lemang misalnya, kesemua bahan-bahan yang digunakan adalah mesra alam. Akhir sekali, kita mempunyai khazanah di alam Melayu yang tidak ternilai harganya jika kita mengkaji.