Dewasa ini ramai yang mengeluh kerana penyusutan nilai wang mereka. Kenaikan harga minyak benar-benar memberi kesan yang hebat terhadap corak perbelanjaan masyarakat.
Kerajaan menegaskan kenaikan ini tidak dapat dielakkan. Keputusan ini bagaimanapun diterima dengan hati berbelah bahagi oleh anggota masyarakat. Ada yang tidak membantah, malah menyokong hatta ia dinaikkan 40 sen sekalipun; dan ada yang tidak bersetuju. Hakikatnya kita terpaksa akur dengan kenaikan ini.
Sehubungan dengan kenaikan harga bahan bakar ini, para pemimpin negara menasihati anggota masyarkat agar berjimat cermat serta mengubah cara hidup mereka agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pasaran negara. Di samping itu juga, bagi memastikan kebajikan rakyat tidak terabai, pihak kerajaan berjanji akan memantau harga barangan dan perkhidmatan dengan sewenang-wenangnya akan dikenakan tindakan yang tegas. Manakala wang yang dijimatkan daripada subsidi minyak yang berjumlah RM4.4 bilion itu akan digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di negara kita.
Berikutan nasihat dan janji yang dibuat oleh pemimpin negara, rakyat sudah tentu akan memerhati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sejauh mana tahap amanah dan tanggungjawab pihak kerajaan dalam isu ini. Adakah kerajaan juga akan berjimat cermat sebagaimana ia menasihati rakyat supaya berbuat demikian? Sejauh manakah pula rakyat di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan kemudahan pengangkutan yang bernilai RM4.4. billion ini?
Apapun kita mengharapkan keharmonian dan keselarasan apa yang dikata dengan apa yang bakal dikota oleh pihak kerajaan. Tambahan pula pihak kerajaan sendiri sedang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan dan memantapkan penghayatan amanah di kalangan anggota masyarakat, penjawat awam dan juga swasta.
Bukan bermaksud tidak percaya dengan ketulusan kerajaan dalam menangani kesan kenaikan harga minyak ini tetapi jika kita jadikan isu-isu atau masalah-masalah yang lepas-lepas sebagai kayu pengukur, tahap amanah dan tanggungjawab pihak berwajib boleh dipersoalkan.
Lihat saja kepada kes-kes yang membabitkan projek-projek terbengkalai; projek-projek yang tidak berkualiti, isu pencemaran alam sekitar, dan kes terbaru di mana bekalan air paip kepada sebahagian besar penduduk Lembah Klang berbau busuk; semua ini sedikit sebanyak memberi satu gambaran secara tak langsung terhadap tahap amanah dan tanggungjawab berwajib.
Melalui paparan dan pendedahan yang dibuat oleh pihak media massa terhadap isu-isu ini, rakyat mendapat gambaran bahawa apabila sesuatu masalah timbul, jarang sekali ada pihak yang berwajib yang segera mengaku bertanggungjawab dan pada masa yang sama berjanji serta berusaha untuk memperbetulkan masalah terbabit. Apatah lagi untuk meminta maaf.
Apa yang ada hanyalah adegan tuding menuding mencari pihak lain yang boleh dipersalahkan. Ataupun mengemukan alasan-alasan yang tidak munasabah bagi mengelak daripada terus-menerus menerima tekanan ekoran kegagalan melaksanakan amanah yang sepatutnya dilaksanakan.
Alangkah baik jika kita semua (termasuklah para pemimpin) dapat mencontohi apa yang ditunjukkan oleh Saidina Umar (r.a.) khalifah ar-Rasyidin yang ke-2. Saidina Umar (r.a.) merupakan seorang pemimpin yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang tinggi.
Ketaqwaan Umar r.a. menjadi beliau amat peka terhadap tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat. Maka banyak pembaharuan dilakukan sepanjang pemerintahan baginda dan semuanya menjurus kepada peningkatan kebajikan rakyat.
Contohnya, bagi melindungi kepentingan pengguna daripada unsur-unsur penipuan dan penyelewengan penjual, Saidina Umar (r.a.) telah memperkenalkan pendekatan pemeriksaan dan pemantauan yang teratur yang dikenali sebagai hisbah.
Di samping itu ada beberapa lagi contoh yang ditunjukkan oleh Saidina Umar (r.a.) yang wajar kita jadikan pengajaran bersama. Antaranya baginda tidak pernah menyalahgunakan pendapat negara untuk tujuan peribadi dan apa yang diambil adalah sekadar yang perlu diterimanya.
Baginda sendiri yang turun padang setiap malam dengan membuat rondaan tanpa ditemani pengawal bagi memastikan suasana negara berada dalam keadaan terkawal. Apabila baginda menghantar tenteranya ke medan perang, Saidina Umar berjanji akan bertindak sebagai ayah dan penjaga kepada anak-anak dan keluarga tentera terbabit.
Semasa Madinah diancam kebuluran dan kekurangan makanan seperti daging, mentega dan susu; sekali lagi amanah Saidina Umar r.a. terserlah. Baginda sendiri berjanji tidak akan memakan apa-apa yang tidak mampu dibeli oleh rakyat kerana baginda merasakan adalah tidak adil jika baginda tidak turut sama merasi apa yang dideritai oleh rakyat pada masa tersebut.
Contoh-contoh amanah dan tanggungjawab Saidina Umar (r.a.) yang dinyatakan di dalam maqalah ini bukan bermaksud untuk menyindir sesiapa kerana rasanya tidak siapa yang mampu menyaingi kehebatan pemimpin yang bernama Umar ibn A-Khattab (r.a.) ini. Tambahan pula baginda dididik dan mendapat panduan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri.
Cuma apa yang ingin dinyatakan di sini, rakyat mengharapkan yang terbaik daripada pihak pemerintah. Rakyat mungkin hilang kepercayaan kepada pihak pemerintah jika ia sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik. Jadi dalam suasana sekarang, soal-soal yang berkaitan amanah dan tanggungjawab perlu diberi perhatian yang tertumpu oleh kerajaan.