POLITIK negara perlu berubah demi pembangunan. Pembangunan dibina bagi membina peradaban atau tamadun negara dan bangsa. Tidak seharusnya dalam bayangan kita pembangunan itu merupakan modenisasi skala barat dan kapitalisme walaupun menurut teori modenisasi bahawa istilah perubahan itu sendiri ditafsirkan sebagai kemajuan yang berlaku terhadap keadaan-keadaan sosial semasa. Malah, negara kita pun sudah mempunyai kesedaran yang tinggi tentang hal itu, Islamisasi dalam sistem ekonomi dan perbankan begitu diraikan. Pelbagai usaha dibuat bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
Tamadun negara mercu kekuatan bangsa bukan sekadar simbolisme kemewahan yang mungkin hanya dinikmati oleh sebahagian masyarakat, sedangkan sebahagian yang lain masih dalam keadaan memerlukan bantuan. Jika kita mengejar kekayaan dan kemewahan, kita tidak akan bertemu destinasi arah hala tuju yang hakiki tetapi, yang seharusnya menjadi pertimbangan kita dalam menjalani kehidupan yang sifatnya sementara, ialah keseimbangan hidup, yang saksama dari aspek ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, agama, kesihatan dan sebagainya. Ini kerana kita tahu bahawa hujung kehidupan kita ialah kematian sebelum dibangkitkan semula di alam akhirat sebagai kehidupan yang kekal abadi. Antara ciri-ciri negara yang bertamadun juga adalah ciri-ciri keselamatan dan pertahanan yang kuat agar negara digeruni musuh serta pesaingnya.
Kemewahan dan kekayaan ada kalanya boleh mereputkan dan meruntuhkan tamadun walaupun tamadun memerlukan material ataupun perkara-perkara yang bersifat kebendaan dalam proses pembinaannya. Apabila tamadun berkenaan tidak menjadikan akidah sebagai tiang serinya, akhlak sebagai payungnya dan Syariah sebagai rujukan tadbir urusnya maak dikhuatiri tamaddun itu tidak dapat bertahan seperti yang pernah diulas oleh Malik bin Nabi dalam penilaiannya terhadap sejarah tamadun masyarakat Islam, Muawiyah bin Abi Sufyan telah menghancurkan keseimbangan antara material dengan roh ketika era pemerintahan beliau. Kemewahan dan kekayaan yang melimpah-ruah malangnya telah menghakis wibawa barisan pelapis pimpinan, yang kemudiannya menjadikan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk meneruskan lagi legasi pemerintahan. Sistem monarki yang diasaskan Muawiyah tidak dapat dipertahankan dan seterusnya menemui kehancuran.
Negara kita juga memiliki institusi raja dan kesultanan dan institusi ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga maslahah agama Islam dan masyarakat Islam. Perkara ini dijamin oleh Perlembagaan sesuai dengan sistem pemerintahan negara kita dalam bentuk Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Walau bagaimanapun, dalam situasi sistem politik kita mengamalkan demokrasi maka kelangsungan agama Islam di negara kita juga sebenarnya ada pengaruh daripada parti-parti politik yang mendominasi pemerintahan negara secara keseluruhannya. Sejarah menunjukkan bahawa sejak lebih lima dekad yang lalu telah berlaku evolusi terhadap tafsiran bahawa Islam sebagai agama Persekutuan yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1), telah mengalami tafsiran yang lebih cenderung kepada kemenangan agama Islam itu sendiri.
Seharusnya bukan hanya berlaku perkembangan yang memberangsangkan terhadap tafsiran berkenaan bagi memperlihatkan bahawa Islam itu sebenarnya agama negara yang harus diperhalusi dan dihayati dalam setiap sudut kenegaraan, malahan juga kita harus mengakui bahawa semua agensi Islam yang terdapat dalam negara kita perlu sentiasa bersedia untuk sama-sama berada dalam saf transformasi negara. Mungkin masih ada pandangan yang skeptikal, pesimis dan memandang rendah terhadap pihak yang menggerakkan sebahagian daripada jentera sistem pentadbiran negara ini, tetapi hakikatnya kami dan mereka tidak mempunyai masa santai yang panjang kerana pembangunan Islam dan maslahah ummah di negara ini adalah kompleks, rumit yang sekaligus adalah perjuangan dan amal jariah yang berat dan serius.
Barangkali ada di kalangan kita yang tidak terfikir bahawa IKIM pernah mewujudkan satu jawatankuasa penyelidikan undang-undang keterangan yang tujuannya ditubuhkan adalah untuk membuat kajian terhadap Akta Keterangan 1950 (Akta 56). Meneliti sejauh mana undang-undang ini bercanggah dengan hukum syarak dan memberi cadangan supaya ia lebih menepati prinsip-prinsip syarak, dalam keadaan kita semua maklum bahawa undang-undang ini tidak hanya terpakai untuk orang-orang Islam yang berurusan di dalam Mahkamah Syariah, tetapi masyarakat Malaysia keseluruhannya. Di antara usaha melabel “Islam” pada satu-satu produk, atau menyuntik terus unsur-unsur “Islam” pada produk, saya kira adalah lebih baik jika kita dapat menyajikan nikmat Islam kepada semua pihak dengan jujur dan ikhlas. Bukankah ini inti pati kepada maksud firman Allah dalam Surah al-Anbiya’ ayat pertama, “Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam?”
Suatu yang ironi adalah sekiranya kita hanya mampu memperlihatkan keindahan Islam kepada masyarakat umum yang sebahagiannya adalah masyarakat Islam dengan berkata yang muluk-muluk tentang tamaddun Islam zaman silam dan cuba mengadaptasi nilai-nilai Islam dalam dasar politiknya tetapi ia sendiri tidak menyuntik keindahan Islam itu dalam jiwa dan hatinya. Bukankah itu sendaan dan lakonan terindah yang tujuannya sekadar hendak mengaburi masyarakat Islam?
Realitinya melalui dasar-dasar yang telah dilaksanakan, kalangan bumiputera dan masyarakat Melayu di negara kita sebagai contoh sudah pun bersedia untuk berlari dan bersaing dengan kaum-kaum yang lain tanpa bantuan kerajaan semata-mata sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai kedudukan istimewa bumiputera/Melayu yang menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaganya. Walau bagaimanapun, harus kita fahami bahawa peruntukan inilah yang mengarahkan kaum bumiputera pada hari ini ke tahap mereka dapat mendekatkan jurang ekonomi dan pendapatan isi rumah mereka dengan kaum-kaum lain.
Soal rasuah dan pelbagai salah laku dalam pentadbiran dan pemerintahan negara boleh berlaku kepada semua pentadbir kerana tidak ada manusia yang sempurna, dan setiap orang terdedah untuk melakukan kesilapan. Individu yang baik pada hari ini yang akan dipilih untuk mewakili rakyat tidak mempunyai jaminan ia akan sentiasa baik.
Maka, apa yang harus dipentingkan ialah kelangsungan agama Islam yang selama ini telah pun diberi kedudukan yang sangat baik dalam Perlembagaan sejak lebih lima dekad yang lalu. Antara orang Islam yang berkemahiran mentadbir tetapi bersalah, antara orang yang memiliki semangat Islam yang kuat tetapi tidak tahu mentadbir, antara orang bukan Islam yang terang-terangan memusuhi Islam tetapi pandai berlakon mengambil hati orang Islam dan antara orang bukan Islam yang boleh bertoleransi dengan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan, semuanya tersusun menjadi calon-calon yang akan mewakili rakyat keseluruhannya. Pilihlah yang sekurang-kurangnya tidak merugikan agama Islam untuk negara ini.