Peluang pembangunan kerjaya dan usahawan di Malaysia amat memberangsangkan. Dengan perhatian daripada kerajaan dan tahap pengiktirafan dunia ke atas negara, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi pemain dalam apa saja bidang ekonomi sama ada pasaran barang-barang atau perkhidmatan. Masalah pokok kepada persoalan ini ialah tentang sikap sesetengah pihak yang berfikiran kolot dalam usaha melahirkan masyarakat yang matang dan bijak. Pandangan umum terhadap seseorang pekerja yang berkhidmat dengan sesebuah badan dan dalam masa yang sama menjalankan urusan atau perniagaan lain dianggap salah perlu diubah. Islam tidak pernah melarang umatnya berusaha malah menggalakkan terutamanya dalam perniagaan. Selama mana usaha atau pelaburan yang dijalankan tidak bercanggah dengan norma-norma yang digariskan oleh agama Islam, setiap individu bebas untuk berusaha meningkatkan mutu kehidupannya. Oleh itu, seorang pekerja yang makan gaji boleh dan perlu membuat himpunan pelaburan atau portfolionya tersendiri mengikut kemampuan dan keupayaan pengurusannya. Cara ini merupakan cara yang amat berkesan dalam usaha meningkatkan kematangan berfikir dalam pembangunan modal insan.
Perkara pertama yang menjadi tugas berat semua pihak ialah menyediakan satu masyarakat yang berbudaya berfikir. Tahap ini masih lagi berada dalam keadaan membimbangkan. Mungkin Malaysia hampir berjaya mempunyai masyarakat berbudaya belajar tetapi adakah pembelajaran mereka bakal merangsang usaha berfikir. Ramai rakyat Malaysia memiliki ijazah tetapi kadar membaca di kalangan masyarakat amat rendah. Petunjuk ini jelas memberitahu kita betapa kecenderungan masyarakat untuk berfikir atau dengan tepat lagi sikap ingin tahu melalui pembacaan amat kurang. Maka lahirlah masyarakat Malaysia yang memiliki kelayakan untuk menuntut gaji yang lumayan padahal tiada kemahiran dalam melaksanakan tugasan. Walau secanggih mana sekalipun aturan yang ditetapkan tetapi sekiranya usaha mendidik dilaraskan kepada mereka yang bersikap seperti daun keladi apabila dicurahkan air, apa saja persekitaran dan peluang yang terdedah tidak memberi apa-apa kelebihan.
Kepentingan tentang menyediakan masyarakat supaya berupaya mengenalpasti ‘bahan’ berfikir dan kaitannya dengan pendidikan persekitaran gunatenaga amat penting. Persekitaran sekarang telah berubah. Seorang pesawah yang memiliki beberapa ekar sawah boleh mengusahakan ladang sayur-sayuran dan dalam masa yang sama menguruskan perniagaan daging di pasar bukanlah perkara yang luar biasa. Berbeza dengan pandangan terhadap seorang pekerja sekarang sekiranya beliau melakukan banyak perkara dianggap tidak beretika dalam kerjayanya. Seorang pekerja disarankan mempunyai kemahiran pelbagai (multi-skills) supaya mereka berupaya melakukan tugasan di luar bidang mereka adalah merupakan kelebihan kepada majikan. Bahan pemikiran ini perlu dicerna dalam faham seorang pekerja yang ingin meningkatkan mutu kehidupan dengan melakukan sesuatu di luar tugasan hakikinya dengan tanpa menjejaskan amanahnya sebagai seorang pekerja. Perkembangan yang pesat akan menjadi medan keuntungan kepada mereka yang bijak menggunakan sumber dan kesempatan sedia ada kepada penambahbaikan mutu kehidupan.
Namun, masih ramai di kalangan mereka yang makan gaji hanya berfikir untuk menumpukan pada kerja makan gaji semata-mata. Keadaan ini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh salah faham tentang larangan menjalankan urusan lain selain dari melibatkan tugasan hakiki. Dalam masa yang sama, para graduan sibuk mencari ruang perjawatan untuk makan gaji menanti pengiklanan kekosongan jawatan. Akhirnya, pengisian gunatenaga Malaysia akan menjadi tepu dan masalah pengangguran seperti yang kita alami sekarang akan lambat berakhir.
Masyarakat perlu faham bahawa penumpuan boleh juga diberikan kepada banyak perkara dan bukannya ke atas hanya semata-mata satu perkara sahaja. Yang penting di sini ialah tahap profesional seorang pekerja untuk membuat keputusan. Selama mana tidak bercanggah dengan kepentingan dan penggabaian kepada tugas hakiki, seorang pekerja boleh membentuk portfolionya tersendiri mengikut kecenderungannya seperti terlibat dengan bidang pertanian atau perusahaan.
Di Malaysia, peluang untuk membentuk portfolio pelaburan amat besar. Sejajarnya dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan ramai usahawan terutamanya di kalangan bumiputera, peluang ini perlu direbut oleh semua orang. Pekerja yang makan gaji boleh dengan kemahiran yang dimilikinya membentuk himpunan pelaburannya sama ada berasaskan kepada kekuatan kewangannya atau kemahiran dan pengetahuan. Dengan adanya portfolio pelaburan dalam bidang lain, mereka berupaya membuat pilihan dan dalam masa yang sama mengganjak mutu kehidupannya dengan menambahkan pendapatan dan akhirnya memberi tumpuan kepada pemilikan perniagaan dalam bidang yang mereka ceburi. Mereka yang memilih bidang yang paling sesuai pula akan meninggalkan kekosongan jawatan kepada para graduan yang baru memasuki medan kerjaya untuk belajar berdikari.
Anjakan minda bahawa kerja makan gaji bukanlah jawatan tetap seumur hidup perlu dipupuk pada peringkat awal lagi. Kadang-kadang, kita mengharapkan graduan yang masih tiada pengalaman menceburi bidang perniagaan sedangkan pihak yang terbabit dalam melahirkan usahawan boleh memberi pilihan kepada mereka yang sudahpun terdedah kepada alam pekerjaan dan perusahaan dengan kemahiran tertentu untuk melibatkan diri. Penumpuan pandangan secara menyempit di kalangan kebanyakan tenaga kerja membuatkan putaran dinamik kerjaya tersekat. Kesan dari ketiadaan kekosongan perjawatan, graduan berterusan yang menanti peluang pekerjaan akhirnya melibatkan diri dalam bidang secara terpaksa dan tiada pilihan.
Saranan untuk menambah bilangan pemilikan ekuiti tidak boleh memandang sepi perkara ini. Pekerja yang mempunyai kemahiran tidak wajar dihalang dari terlibat dengan perniagaan atau pelaburan semasa mereka masih menjawat jawatan tertentu selama mana tidak menjejaskan tugasannya. Pihak yang menentang perlu membuktikan bahawa perkara ini boleh memberi kesan buruk kepada kerjanya seperti terdapatnya percanggahan dan penggunaan kepentingan atau pengabaian tugasan berlaku.
Usaha pembangunan modal insan perlu mengambilkira pasaran gunatenaga sedia ada dari sudut pandangan alam Islam. Mereka yang menjawat apa-apa jawatan terutamanya dalam sektor swasta perlu diberi peluang membentuk portfolio mereka tersendiri. Lama kelamaan, apabila minda dan budaya masyarakat meningkat matang, mereka akan boleh menerima hakikat bahawa penjawat sesuatu jawatan juga boleh membentuk portfolio tersendiri dengan tanpa prasangka.