Apakah satu unsur persamaan (common denominator) di antara berita video YouTube “1 hari di Hari Raya”, penggunaan surau untuk ritual agama bukan Islam dan video “Berbuka puasa dengan Bak Kut Teh”? Ya, jawapannya ialah teknologi informasi – komunikasi atau ICT dalam bentuk laman sosial yang begitu ghairah penggunaannya hari ini. Di dalam dua kes yang pertama, sekiranya kita boleh bersangka baik, iaitu menerima penjelasan individu-individu terbabit bahawa mereka tidak ada niat untuk menghina Islam mahu pun orang Islam, kita harus memikirkan apakah yang perlu kita (pihak yang berwajib/otoriti agama/NGO mahu pun individu) lakukan selain daripada menjatuhkan hukuman sekiranya sudah wujud undang-undang yang berkenaan. Tidakkah juga sepatutnya turut atau perlu ada, proses pentarbiyahan dan pendidikan untuk individu-individu yang terbabit, kerana tanpa berbunyi berprejudis, kita semua tahu bahawa tingkat iman dan ilmu tidak sama di antara individu dan bagi umat Islam “sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambanya hanyalah orang yang berilmu.” (al-Fathir, ayat 28).
Selain daripada melaksanakan hukuman yang dijalankan yang diharap akan menjadi pengajaran kepada sesiapa lagi yang mungkin akan membuat perkara-perkara yang sama, mungkin berfaedah juga sekiranya kedua-dua pihak beragama Islam di dalam kejadian-kejadian yang disebut ini ditanyakan apakah hujah dan asas-asas tindakan mereka, dan sama ada mereka menyedari atau tidak akan impak perbuatan mereka tersebut terhadap masyarakat Islam dan hukum Islam di sekitar mereka. Setiap penjelasan dan hujah mereka ini perlu diberi respons dalam bentuk persepsi serta peraturan-peraturan (budaya dan agama) yang sepatutnya. Seseorang yang memeluk Islam diandaikan seharusnya menghayati kehidupannya mengikut pandangan hidup (worldview) agama tersebut keseluruhannya, tetapi andaian ini tidak semestinya benar secara realitinya.
Tanpa ada niat untuk merendahkan sesiapa, dalam dua kes yang melibatkan orang Islam tersebut, mungkin wujud situasi kekurangan ilmu agama seperti yang dijelaskan oleh Surah al-Fatir tadi. Berkemungkinan juga, daripada apa yang dilaporkan, ada niat dalam kes yang pertama untuk mempromosi atau menyokong hak spesis haiwan seperti anjing yang diperjuangkan oleh kumpulan animal rights tetapi pendirian sebegini adalah yang didokong oleh kumpulan animal rights yang ekstrim yang menyamakan hak haiwan dan manusia. Sememangnya Islam menganjurkan manusia tidak menyakiti dan menzalimi haiwan kerana mereka juga ciptaan Tuhan namun tetap wujud adab dan prinsip yang perlu dipatuhi oleh manusia di dalam dia berinteraksi/menternak/mengguna dan menamakan makhluk yang lain (adab dan hukum penyembelihan misalnya) di atas sebab-sebab yang ada asas saintifiknya.
Dari sudut psikologinya mungkinkah video ini manifestasi perasaan tidak puas hati/satu bentuk protes terhadap keluarga dan masyarakat yang mencerminkan rasa keterasingan dan kurang penerimaan dan kasih sayang?
Di dalam cara yang sama, adakah individu pengusaha resort yang memberi kebenaran kepada penggunaan surau berbuat sedemikian di atas prinsip toleransi dan menghormati komuniti lain yang difikirkannya adalah sebahagian daripada akhlak orang-orang Islam tanpa memahami bahawa di dalam konteks ini juga ada batas-batas tertentu. Atau adakah beliau bertindak sebagai usahawan yang mementingkan keuntungan semata-mata dengan mendokong falsafah “the customer is always right“? Di sinilah landasan-landasan kehidupan yang diberikan oleh falsafah hidup atau worldview keagamaan beroperasi di dalam proses kita membuat keputusan di dalam kehidupan. Di satu sudut lain lagi kita akan dilabel berfahaman pluralis (falsafah pluralisme menyamakan semua agama) dengan tindakan membolehkan rumah ibadat satu agama digunapakai untuk upacara/ritual agama lain.
Pentingnya Maklumat Tentang Agama-Agama
Sama ada kita suka atau tidak, di dalam zaman globalisasi hari ini teknologi komunikasi dan informasi telah merobohkan hieraki ilmu dan sempadan-sempadan nilai/cita rasa agama – budaya. Hal ini telah membuat ramai tokoh dan ilmuan Muslim menyuarakan pendapat bahawa sudah sampai masanya, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk negara ini, setiap kita mengetahui unsur-unsur penting kepercayaan penduduk negara yang bukan seagama dengan kita, bermula dengan andaian-andaian/asas kepercayaan di dalam agama kita sendiri. Dengan pengetahuan ini setiap orang dapat memahami di mana, kenapa dan bagaimana wujud perbezaan di antara agama yang mesti diterima dan dihormati.
Di peringkat paling luar, kita mungkin boleh mengambil maklum simbol-simbol sesebuah agama yang dapat kita lihat dan dalam bentuk bahasa, objek, pemakaian dan konsep-konsep mahupun perkataan-perkataan khas yang digunakan di dalam ritual. Lebih luas skopnya selepas ritual adalah amalan atau akhlak penganut agama yang pula merupakan manifestasi nilai (kepercayaan yang diyakini) di dalam bentuk peraturan-peraturan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak. Bagi orang Islam misalnya amat penting difahami apakah yang baik (halal) dan yang tidak (haram). Sempurna/kukuh atau tidak penghayatan nilai-nilai ini pula tergantung kepada ilmu dan pemahaman penganut agama tersebut. Bagi umat Islam, persoalan-persoalan kefahaman tentang hal-hal ini tidak boleh dicapai dan digarap oleh manusia dengan akalnya semata-mata, kerana itulah wahyu (Quran) dan penyampai wahyu (Nabi) diperlukan. Seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Alaq (96): 1-7 yang juga merupakan wahyu pertama diterima oleh Rasulullah, Tuhanlah yang mencipta manusia, mengajarnya dengan pena segala yang diketahuinya; namun manusia sering merasakan dirinya sudah cukup sempurna dan dengan itu ia tidak lagi bersyukur, dan melampaui batas.
Video Menghina Islam
Di dalam bidang ICT sebenarnya wujud apa yang dikatakan Etika Penggunaan ICT. Selain dari memberi tumpuan kepada jenayah siber dalam bentuk penipuan yang berkait isu-isu pencurian maklumat, pencerobohan sistem, data, privacy dan keselamatan misalnya, isu ICT juga menyentuh soal bagaimana ICT dalam bentuk laman-laman sosial boleh mengakibatkan gangguan kepada masyarakat apabila berlaku penyebaran berita palsu, bahan-bahan mengakibatkan kemarahan (kes video Ramadan dan Bak Kut Teh) dan perpecahan perpaduan. Setakat mana “freedom of speech” boleh dibiarkan merupakah satu debat yang tidak pernah selesai atau belum mencapai kata putus. Etika merupakan prinsip moral yang boleh membimbing kelakuan, tindakan dan pilihan dan ia diperkukuhkan oleh rasa tanggungjawab dan akauntabiliti. Di sinilah nilai dan pegangan agama serta undang-undang boleh diseiringjalankan dalam memastikan pembenterasan penyalahgunaan teknologi-teknologi komunikasi yang begitu canggih tetapi boleh juga disalahguna dengan kesan yang menimbulkan konflik sosial hari ini.
Penyelarasan pendapat melalui dialog amat perlu khususnya apabila di dalam masyarakat berlaku pertembungan pandangan alam yang berbeza di antara pengguna laman sosial; sebagai contoh antara golongan yang mempercayai Tuhan dengan set nilai yang mengiringi kepercayaan tersebut dengan sistem liberal demokrasi yang ekstrim di mana tidak ada tempat untuk hormat kepada agama, rukun negara, wawasan negara, perlembagaan, sejarah dan patriotisme. Pemilik-pemilik laman sosial yang sedemikian mengeksploitasi teknologi canggih dengan melihat tiada sumber otoriti yang mutlak wujud dan mereka sudah merasa cukup dengan pendapat mereka sahaja.
Bagi orang-orang Mukmin agama juga adalah nasihat menasihati. Setiap individu yang sedar bertanggungjawab menyebarkan muhibah dan kebaikan. Seelok-eloknya bagi mengatasi isu/masalah ‘keceluparan’ melalui laman sosial ini ditangani melalui gabungan undang-undang, tarbiyah/pendidikan dan tegur menegur.