Pada 18 – 19 Ogos 1999 yang lalu, IKIM telah menganjurkan satu seminar yang bertajuk “Pemartabatan Wanita di Malaysia” yang telah dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid. Secara ringkasnya, seminar tersebut bertujuan untuk melihat apakah pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam membangunkan wanitanya berjaya mengangkat martabat wanita ke kedudukan mereka yang sewajarnya. Apa yang dimaksudkan dengan “kedudukan mereka yang sewajarnya” ialah golongan wanita diberi hak-hak yang wajar mereka miliki seperti yang dituntut oleh Islam.
Bagi mencapai tujuan tersebut, seminar itu telah dibahagikan kepada beberapa sesi untuk membincangkan beberapa isu yang berkaitan. Sesi pertama merupakan Ucaputama dari Ketua Pengarah IKIM tentang hak-hak wanita dalam Islam. Sebagaimana yang ramai ketahui, hak-hak inilah yang menyebabkan Islam dikenali sebagai agama yang memartabatkan wanita. Jadi, tujuan sesi ini ialah untuk memaklumkan para peserta tentang hak-hak tersebut dan sinilah definisi “kedudukan mereka yang sewajarnya” dapat difahami.
Pada sesi kedua pula, diketengahkan tajuk “Pencapaian Wanita di Malaysia”. Bidang-bidang pencapaian ini akan dapat menggambarkan tentang peluang-peluang yang terbuka untuk diceburi oleh wanita Malaysia. Dalam kata lain, ia merupakan hak-hak yang diberi oleh Malaysia kepada kaum wanita. Sekiranya hak-hak ini merangkumi hak-hak yang dituntut oleh Islam, maka bolehlah kita katakan Malaysia telah memartabatkan wanitanya. Dalam sesi ini, bidang-bidang yang disentuh ialah pendidikan (sosial), pekerjaan (ekonomi) dan politik.
Pencapaian wanita di Brunei dan Indonesia merupakan dua topik yang dibincangkan dalam sesi 3. Tujuan sesi ini ialah untuk melihat pengalaman wanita-wanita di negara lain di Asia Tenggara yang majoriti penduduknya adalah Islam, sama seperti Malaysia. Melaluinya, perbandingan boleh dilakukan tentang apakah wanita-wanita di ketiga-tiga negara ini mendapat hak mereka sewajarnya atau kurang dari itu. Perbandingan ini juga membolehkan kita belajar di antara satu sama lain agar dapat memperbaiki kedudukan wanita di negara-negara tersebut.
Sesi empat pula melihat pembangunan wanita dalam bidang politik, sosial dan ekonomi di Malaysia, dari perspektif Islam. Dalam kata lain, apakah pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam membangunkan wanitanya dalam ketiga-tiga aspek ini selari dengan Islam ataupun sebaliknya.
Sesi akhir, iaitu sesi lima merupakan perbincangan panel yang membincangkan isu-isu berkaitan wanita di abad-21. Antara isu-isu yang diketengahkan ialah cabaran dan persediaan wanita ke abad-21, manfaat yang boleh diambil oleh wanita dengan perkembangan IT, pembangunan wanita dari perspektif Islam dan peri pentingnya golongan wanita mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan mereka.
Seminar selama sehari setengah itu telah berjalan seperti yang dirancangkan dan dalam banyak keadaan ia berjaya mencapai objektifnya. Walau bagaimanapun, dapat dikesan bahawa wujud kekeliruan tentang maksud konsep pemartabatan wanita di kalangan peserta, terutamanya pada hari pertama.
Walaupun ada yang mengatakan bahawa hakikat Islam telah memartabatkan wanita itu telahpun difahami dan dimaklumi dan tidak perlu lagi dibicarakan, tetapi saya tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Ini kerana sekiranya kita benar-benar faham tentang hal tersebut, mengapa wanita-wanita kita masih berhadapan dengan masalah-masalah yang menunjukkan seolah-olah mereka tiada hak-hak yang telah dijelaskan oleh Islam? Isu-isu keganasan rumahtangga, digantung tak bertali, ibu tunggal, isteri dijadikan seperti hamba di rumah dan sebagainya merupakan manifestasi kepada kejahilan kita terhadap hak-hak wanita dalam Islam. Semua yang terlibat, baik di pihak lelaki yang melakukan kesalahan itu, kaum wanita yang rela diperlakukan sedemikian, pihak berwajib yang dikatakan begitu sukar untuk memahami masalah yang dihadapi oleh wanita, mahupun kita sendiri yang sekadar memerhati, bolehlah dikatakan telah tidak memberikan wanita hak-hak mereka yang sewajarnya.
Oleh itu, saya merasakan selagi kaum wanita tidak mendapat layanan yang sewajarnya dalam masyarakat, selagi itulah masyarakat perlu didedahkan kepada hak-hak mereka menurut Islam. Cuma apa yang perlu diperbaiki di masa hadapan ialah khalayaknya. Apabila kita bercakap tentang hak-hak wanita, tentunya kedua-dua jantina harus mengetahui hak-hak itu agar yang lelaki dapat menunaikannya dan yang perempuan memperolehi haknya. Keadaan tidak akan berubah sekiranya hanya wanita sahaja yang tahu hak mereka sedangkan lelaki yang sepatutnya memberikan wanita hak-hak itu tidak mengetahui atau bersikap sambil lewa tentangnya.
Inilah salah satu faktor yang menghalang objektif seminar tersebut untuk “memberi kefahaman” bila mana kurang dari 10 orang lelaki yang hadir ke seminar tersebut. Mungkin di masa-masa yang akan datang, pihak-pihak yang terbabit dalam menamakan wakil organisasi mereka untuk menghadiri seminar-seminar tentang wanita dapat memberhentikan kecenderungan untuk menghantar peserta wanita dan mula untuk menghantar peserta lelaki. Ini penting kerana saya merasakan golongan wanita telahpun melepasi tahap di mana mereka perlu didedahkan kepada isu-isu seperti ini. Kalau 10 atau 20 tahun dahulu, mungkin masih ramai wanita yang tidak tahu hak mereka. Tetapi kini, dengan maklumat tentang hak-hak wanita yang kita dengar dan baca saban hari di media eletronik mahupun media cetak, saya merasakan wanita sudah cukup terdedah kepada hak mereka. Kini merupakan masa untuk kaum lelaki mengetahu hak-hak tersebut serta tanggungjawab mereka terhadap orang-orang di bawah tanggunggannya, termasuklah kaum wanita. Selagi seminar-seminar seumpama ini hanya dihadiri oleh kaum wanita, selagi itulah sebahagian daripada halangan wanita untuk maju, tidak akan dapat diatasi.
Berbalik kita kepada kekeliruan tentang konsep pemartabatan wanita yang disebutkan tadi. Kekeliruan ini terpancar dari pandangan-pandangan pembentang dan peserta yang telah diketengahkan semasa seminar tersebut.
Pandangan pertama melihat pemartabatan wanita sebagai usaha-usaha untuk memudahkan wanita memainkan peranan mereka yang pelbagai dalam masyarakat. Untuk itu, perlulah difikirkan faktor-faktor yang meningkatkan dan yang merendahkan martabat wanita. Misalnya, walaupun pencapaian akademik wanita tinggi, tetapi bila mereka berhadapan dengan realiti kehidupan, mereka tidak dapat mengimbangi peranan domestik dan publicnya. Akibatnya, ada wanita yang tidak mahu belajar tinggi atau tidak mahu menerima kenaikan pangkat atau mencari kerja lain semata-mata untuk membolehkan mereka mengimbangi kedua-dua peranan tersebut. Jadi, dalam hal ini, untuk meningkatkan martabat wanita, perlulah diwujudkan kemudahan-kemudahan sokongan untuk membantu wanita mengimbangi peranan mereka ataupun mempromosikan konsep perkongsian tanggungjawab rumahtangga antara suami-isteri dengan lebih bersungguh-sungguh.
Pandangan kedua melihat isu pemartabatan wanita dari segenap aspek iaitu pemartabatan wanita dalam keluarga, dalam masyarakat (pembangunan negara) dan di peringkat global. Mereka yang dalam kumpulan ini berpendapat, pemartabatan wanita tidak seharusnya melihat wanita sebagai pekerja semata-mata (peranan wanita dalam masyarakat dan pembangunan negara) tetapi juga sebagai anak gadis, isteri dan ibu (dalam keluarga). Di peringkat global pula, dikatakan bahawa pemartabatan wanita harus merujuk kepada penampilan wanita di peringkat antarabangsa di mana di peringkat ini, martabat wanita dikira tinggi sekiranya ia memenuhi kriteria-kriteria berikut: (i) memiliki kuasa beli; (ii) bilangan wanita yang menduduki peringkat pengurusan tertinggi yang ramai; (iii) kekuatan suara wanita dalam membuat keputusan-keputusan penting; (iv) memiliki kuasa ekonomi; (v) adanya undang-undang yang melindungi wanita; dan, (vi) wujudnya hak dan peluang untuk mentafsir undang-undang. Jadi, untuk memartabatkan wanita, kita perlu mengorak langkah untuk membolehkan wanita memenuhi kriteria-kriteria tersebut.
Pandangan ketiga pula melihat konsep memartabatkan wanita sebagai usaha-usaha untuk melahirkan wanita-wanita yang diberi martabat yang tinggi seperti yang tercatat dalam sejarah.
Walaupun semua pendapat itu ada benarnya, namun di pihak IKIM sendiri, semasa merancang seminar tersebut, berpegang kepada maksud pemberian hak-hak yang ditetapkan oleh Islam kepada wanita, baik hak-hak sosial, ekonomi, mahupun politik. Dalam konteks Malaysia, seminar tersebut bertujuan untuk melihat apakah Malaysia, dalam membangunkan wanitanya, memberikan kaum wanita hak-hak tersebut.
Namun, secara tidak langsung, kertaskerja serta perbincangan yang diadakan telah menyentuh sedikit sebanyak pandangan golongan pertama iaitu pengenalpastian perkara-perkara yang menjatuhkan martabat wanita serta usaha-usaha untuk mempertingkatkannya. Sebagai contoh, kertas saya sendiri yang bertajuk “Pembangunan Wanita di Malaysia dari Perspektif Islam (Sosial dan Ekonomi) membincangkan beberapa perkara yang menjatuhkan martabat wanita dan bagaimana untuk mengatasinya.
Walau bagaimanpun, tidak dinafikan bahawa seminar ini tidak membincangkan martabat wanita di dalam keluarga di mana Islam telah meletakkan ibu, isteri dan anak perempuan di suatu kedudukan yang mulia di dalam keluarga. Begitu juga dari segi tokoh-tokoh wanita mithali yang tinggi martabatnya dalam Islam, tidak juga diketengahkan untuk tatapan peserta. Walaupun tidak dinafikan bahawa perkara ini merupakan sebahagian penting dari konsep pemartabatan wanita itu, namun ia bukanlah satu masalah besar kerana ia bukanlah merupakan salah satu daripada objektif seminar ini. Mungkin isu ini boleh dibincangkan dalam tajuk seminar lain yang lebih sesuai.
Tentang martabat wanita di peringkat antarabangsa pula, walaupun ada yang berpendapat bahawa kriteria-kriteria tadi merupakan acuan Barat dan oleh itu ia kurang relevan bagi Islam, tetapi bagi saya, jika diperhalusi, terkandung di dalamnya unsur-unsur yang Islamik. Jadi, bagi saya, sekiranya wanita-wanita di Malaysia diberikan hak-hak mereka seperti yang dituntut oleh Islam (sosial, ekonomi, politik dan agama), nescaya mereka tiada halangan untuk memenuhi kriteria-kriteria tersebut.
Walaupun ada kekurangan di sana-sini, saya merasakan seminar ini berjaya menunjukkan bahawa pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam membangunkan wanitanya dari aspek sosial, ekonomi dan politik adalah selari dengan Islam. Selain itu, seminar ini juga berjaya mengenengahkan dua isu penting yang perlu diberi perhatian. Pertama, dari segi pendekatan dalam menjelaskan isu-isu tentang wanita dan kedua, dari segi beberapa aspek yang telah dipinggirkan dari perbincangan seminar tersebut.
Berkaitan dengan isu yang pertama, sebagaimana yang kita maklum, salah satu perkara yang menyukarkan orang bukan Islam untuk menerima Islam ialah layanan Islam terhadap wanita. Pada pandangan mereka, segala ketetapan berkaitan wanita seperti perlu menutup aurat, bahagian pusaka yang lebih kecil berbanding lelaki, poligami dan seumpamanya merupakan cara bagaimana Islam menindas kaum wanita. Segala penjelasan yang diberikan, walaupun boleh diterima oleh orang Islam, seringkali gagal meyakinkan orang bukan Islam tentang hakikat bahawa segala hukum dan ketetapan yang ada tidak menindas wanita.
Oleh itu, dalam ucaputama beliau, Y. Bhg. Ketua Pengarah IKIM berpendapat bahawa kita perlu memikirkan satu pendekatan yang lebih berkesan tentang cara-cara untuk menjelaskan isu-isu wanita (pembahagian harta pusaka, poligami, lelaki sebagai ketua keluarga dan seumpamanya) kepada golongan bukan Islam agar mereka faham dan tidak lagi memburuk-burukkan Islam. Kita memerlukan penjelasan-penjelasan dari perspektif ekonomi, politik, sosial dan seumpamanya, dan bukan lagi penjelasan-penjelasan yang berdasarkan kepada agama semata-mata (peraturan Allah dengan hikmah-hikmahnya yang tersendiri). Ini adalah kerana orang bukan Islam tidak boleh menerima penjelasan yang berbentuk keagamaan, misalnya hakikat bahawa kita (orang Islam) tidak boleh mempersoalkan hukum atau alasan bahawa setiap hukum dan perintah itu ada hikmah yang tersendiri. Sebaliknya mereka hanya dapat diyakini dengan penjelasan yang mereka rasakan boleh diterima akal. Tentunya mereka tidak boleh disalahkan kerana itulah cara pemikiran mereka. Jadi, jika kita ingin meyakinkan mereka, kita perlu melayani kehendak pemikiran mereka itu.
Perkara kedua pula ialah tentang aspek-aspek berkaitan wanita yang telah terpinggir dari perbincangan seminar tersebut seperti wanita yang mengalami kemiskinan, wanita yang terjebak dalam kancah keruntuhan akhlak, pembangunan wanita luar bandar dan aspek kerohanian dalam pembangunan wanita. Kesemua aspek ini sedikit-sebanyak telah menggambarkan ruang-ruang yang boleh dan perlu diperbaiki dalam konteks pembangunan wanita di Malaysia.
Secara keseluruhannya seminar tersebut berjaya menunjukkan bahawa Malaysia, dalam membangunkan wanitanya, memberikan kaum wanitanya hak-hak yang ditetapkan oleh Islam. Walaupun wujud kekurangan di sana-sini, namun yang pasti peluang-peluang untuk memajukan diri, terbuka kepada semua kaum wanita di Malaysia. Yang lebih utama ialah peluang-peluang ini dapat direbut oleh wanita Islam tanpa perlu mengorbankan prinsip-prinsip dan identiti keislaman mereka. Jika dibandingkan dengan negara-negara jiran pula, kedudukan wanita di Malaysia adalah lebih baik lagi. Di Brunei misalnya, tiada seorangpun menteri wanita sedangkan di Malaysia, kewujudan menteri wanita bukanlah sesuatu yang asing. Di Indonesia pula, kadar buta huruf di kalangan wanitanya pula masih tinggi dan ini diburukkan lagi oleh kegawatan ekonomi dan politik yang melanda negara itu. Keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia.
Jadi, terpulanglah kepada kita untuk melihat keadaan di Malaysia ini sebagai meransang atau membantutkan pembangunan wanita. Atau apakah kita masih merasakan pembangunan wanita di Malaysia bertentangan dengan Islam. Sesetangah orang melihat perkembangan ini sebagai gelas yang separa penuh. Namun, tidak kurang juga yang melihatnya sebagai separa kosong. Mungkin juga perlu kita fikirkan apakah soalan “Apakah sumbangan negara kepada kaum wanita?” masih relevan? Mungkin juga soalan yang lebih relevan ialah, “Apakah sumbangan wanita kepada negara?” Tepuk dada, tanya selera.