Jangkaan kegagalan untuk mengembalikan keamanan di Iraq setelah penaklukan Amerika dan sekutunya menjadi kenyataan apabila usaha-usaha penyelesaian kemelut di Iraq terus menghadapi kegagalan dan kebuntuan. Keganasan yang dilakukan oleh tentera Amerika dan anti-Amerika di Iraq semakin hari semakin berleluasa. Pastinya, ramai anak-anak kecil, wanita dan orang tua menjadi korban kerana kerakusan dan perebutan kuasa politik.
Sejak kejatuhan kerajaan pimpinan Saddam Hussein, timbul pula permasalahan besar apabila puak Shia dan Sunni bertelaga sesama sendiri. Keadaan ini sudah pasti memaksa Amerika dan sekutunya dilihat masih berkaitan dan diperlukan di Iraq.
Mungkin rakyat Iraq masih memerlukan pemimpin setegas Saddam untuk memimpin dan memerintah Iraq? Saddam sekarang dihadapkan ke mahkamah di luar bidang kuasa mahkamah antarabangsa, sebuah mahkamah ditubuhkan dengan restu Amerika yang diletakkan di bawah kuasa rakyat atas kerajaan baru Iraq. Keadaan ini unik dan membingungkan masyarakat antarabangsa kerana dalam dunia moden hari ini, bagaimana seorang Presiden sebuah negara boleh digulingkan oleh satu kuasa luar yang tidak mendapat restu daripada Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Bayangkan, yang Presiden Bush digulingkan oleh tentera Iraq, apa agaknya tindakbalas masyarakat antarabangsa? Ini menunjukkan bahawa dunia telah kembali kepada zaman batu di mana yang kuat akan terus menindas, tidak ada perimbangan kuasa dan negara yang besar dan kuat akan terus melaksanakan kerakusan kuasa tanpa menghiraukan nilai-nilai kemanusiaan. Di sinilah kita melihat peranan penting yang dimainkan oleh agama dalam siasah untuk mengelak apa yang berlaku di muka bumi pada hari ini. Peranan agama sebagai landasan untuk nilai-nilai berteraskan faham kemanusiaan yang mampu membataskan kerakusan nafsu manusia menindas hak orang lain.
Serangan yang dilakukan oleh Amerika dan sekutunya ke atas Iraq berikutan peristiwa serangan pengganas pada 11 Sept 2001 menjanjikan keganasan antarabangsa dapat ditumpaskan, namun siri keganasan; letupan bom terus berlaku di serata dunia yang disasarkan ke atas kepentingan Amerika dan sekutunya sekaligus mengheret negara-negara berkecuali ke dalam kancah kemusnahan.
Sekiranya undang-undang antarabangsa dengan jelas melindungi sesebuah negara berdaulat daripada diserang, mengapa tidak ada sebarang tindakan undang-undang untuk mengheret Presiden Bush ke meja pengadilan antarabangsa di atas kesalahan melakukan jenayah peperangan atau jenayah ke atas kemanusiaan? Sudah jelas, Bush telah meningkatkan lagi keadaan huru hara dunia dan menghindari ketetapan PBB dalam tindakannya menyerang Iraq dan Afghanistan. Ini menunjukkan PBB adalah institusi yang lemah.
Hari ini, keadaan politik di Iraq adalah amat teruk. Rantau Asia Barat berhadapan dengan gambaran ketidakpastian, belenggu dan dilema yang mencacatkan perkembangan ekonomi dunia. Janji manis Amerika terhadap rakyat Iraq dan masyarakat antarabangsa untuk mengembalikan keamanan gagal dicapai setelah 4 tahun penaklukan Iraq. Jumlah kematian rakyat Iraq semakin bertambah. Di awal penaklukan Iraq, kematian disebabkan serangan penaklukan tentera, tetapi di pasca penaklukan Iraq; penambahan jumlah kematian disebabkan letupan bom berani mati dan perbalahan di kalangan rakyat Iraq semakin menjadi-jadi. Andaikan kalau dalam sehari 5 orang mati disebabkan tindakan ketenteraan, keganasan, kekurangan makanan dan sebagainya, sebulan 150 kematian, setahun seramai 1800 dan untuk tempoh 4 tahun mencecah 7200 kematian. Jumlah ini belum mengambil kira korban jiwa semasa serangan udara dilakukan yang sudah tentu membunuh lebih banyak nyawa.
Kegagalan Amerika untuk memulihkan Iraq sudah dijangka oleh ramai penganalisa dan pengamal politik serta dirasai oleh pengamal politik. James A. Baker, bekas Setiausaha Negara Amerika, tidak menafikan kegagalan ini dengan mengesyorkan perubahan dasar Bush terhadap Iraq. Baker, yang mempengerusikan ‘Bipartisan Iraq Study Group’ yang akan mengeluarkan laporan lengkap penghujung November 2006 telah menyuarakan untuk melibatkan Syria dan Iran untuk menyelesaikan konflik yang berlaku di Iraq. Menurut temuramah bersama Baker di BBC, peranannya sebagai mediator konflik di Iraq akan meminta Iran dan Syria untuk melibatkan diri secara langsung menyelesaikan perbalahan/konflik di antara Shia dan Sunni.
Reaksi Iran dan Syria dengan jelas meletakan syarat ketat pengunduran tentera bersekutu Amerika sebelum tawaran tersebut diterima. Mungkin Baker akan menggunakan pelbagai strategi untuk mempengaruhi Iran dan Syria untuk bekerjasama dengan Amerika. Di Iraq pula, satu perjumpaan umum telah dibuat di antara Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki dan juga pemimpin puak Shia Iraq, Muktadar al-Sadr untuk menentukan hala tuju penyelesai konflik melalui pembentukan sistem pemerintahan yang akan diterimapakai, samada pentadbiran Iraq akan ditadbir mengikut sistem federalisme ataupun sempadan autonomi. Kata sepakat telah dicapai di pertemuan ini bahawa hanya rakyat Iraq yang berhak menentukan bentuk kerajaan yang ingin mereka bentuk.
Baker mungkin mencadangkan paling kurang enam langkah penambahbaikan dasar luar Amerika terhadap Iraq. Pertama, menukar kerajaan pimpinan Nouri al-Malik kerana dia tidak cukup kuat untuk menyatukan puak Shia dan Sunni. Kedua, mengundurkan kesemua tentera Amerika dan sekutunya dari Iraq. Ketiga, membahagikan Iraq kepada tiga bahagian mengikut puak Shia’ Sunni dan Kurdis berlandaskan sistem federalisme. Keempat, menghantar lebih banyak tentera ke Iraq. Kelima, menghantar tenaga pelatih Amerika dan sekutunya yang berpengalaman untuk melatih tentera Iraq. Keenam, menetapkan tarikh akhir kepada kerajaan pimpinan Nouri al-Maliki untuk mencapai kata putus penyatuan di antara puak Shia, Sunni dan Kurdis dan seterusnya mengadakan satu perjanjian dengan negara Jiran Iraq dan kuasa-kuasa besar untuk membantu memulihkan dan menstabilkan Iraq. Kemungkinan besar, candangan kelima dan keenam adalah yang paling berkaitan kepada Amerika.
Pelawaan Baker menunjukkan pendekatan mudah Amerika Syarikat untuk memindahkan tanggungjawab memulihkan Iraq kepada negara-negara Islam. Duta Syria ke Amerika Syarikat, Imad Muostpha semasa ditemuramah oleh pihak BBC menyampai pesanan yang amat jelas berhubung pelawaan Baker, iaitu tentera Amerika dan sekutunya mesti serta merta keluar dari Iraq sebelum mereka boleh membantu dan memberikan hak kepada rakyat Iraq untuk mencapai musyawarah tanpa pengaruh Amaerika dan sekutunya. Menurut beliau, konflik di Iraq memberi kesan yang buruk kepada rantau Asia Barat dan bependapat bahawa jika kemelut di Iraq tidak dibendung dengan baik, ianya akan menjejas kestabilan politik dunia dan keganasan antarabangsa.
Persoalannya sekarang ialah bukankah negara-negara Islam wajib menolong menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sekiranya dipinta, khususnya Iraq? Adakah negara-negara Islam perlu memberi tindakbalas yang baik terhadap saranan Baker setelah mengetahui konflik di Iraq berpunca daripada dasar luar Amerika? Sejak daripada awal penaklukan Iraq, rancangan dan agenda pembangunan Iraq merupakan perkara eksklusif Amerika dan sekutunya. Iraq yang kaya dengan sumber minyak mentah itu menjadi milik mutlak Amerika kerana tidak ada negara lain yang boleh menyertai usaha membaik-pulih Iraq melainkan setelah mendapat restu daripada Amerika.
Oleh yang demikian, negara-negara Islam harus melakukan sesuatu dengan menyuarakan teguran membina khususnya kepada Presiden Amerika. Pada masa yang sama, agama Islam mengkehendaki umatnya berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan yang boleh membahayakan dirinya dan juga diri orang lain. Sudah tiba masanya, pemimpin-pemimpin negara Islam bersepakat untuk meyuarakan suara umat Islam dan memberi nasihat ke atas kepincangan dasar Amerika di Iraq. Penderitaan umat Islam di serata dunia akibat khianat, merupakan kesengsaraan kita bersama. Menurut sebahagian daripada hadis Qudsi yang bermaksud “Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya dari suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang meringankan penderitaan seorang yang susah, nescaya Allah akan meringankan penderitaan dirinya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di akhirat. Dan Allah selalu menolong hambaNya, selagi hambaNya berusaha menolong saudaranya”. Maka jelaslah bahawa tanggungjawab dan usaha untuk menyelesaikan sebarang masalah orang lain yang memerlukannya merupakan satu kewajiban kepada kita dan kunci kejayaan di akhirat kelak.